Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jepun ikrar kerjasama 'lebih berdaya tahan' bantu ekonomi Afrika

Anggaran Waktu Membaca:
TUNIS: Jepun akan bekerjasama dengan negara-negara Afrika untuk merangsang ekonomi yang "lebih berdaya tahan".

Ini didedahkan oleh Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dalam sesi terakhir sidang pelaburan di Tunisia pada Ahad (28 Ogos).

Encik Kishida juga berjanji untuk menggunakan kedudukan Jepun dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mendapatkan kerusi tetap bagi Afrika dalam badan dunia itu, sehari selepas mengumumkan pembiayaan dana sektor awam dan swasta bernilai AS$30 bilion (S$42 bilion) untuk benua tersebut.

Jepun mahu "mewujudkan persekitaran di mana rakyat negara Afrika boleh hidup dengan aman dan selamat untuk mereka terus membangunkan negara masing-masing".

Encik Kishida berkata demikian menerusi sidang video yang disiarkan secara langsung selepas diuji positif COVID-19 beberapa hari sebelum itu.

Presiden Senegal Macky Sall, pengerusi Kesatuan Afrika dengan seramai 55 anggota, turut menyokong seruan Encik Kishida supaya benua tersebut diberikan satu kerusi dalam UNSC.

Konflik "yang menggugat kestabilan dan menghalang kita daripada membangun mesti diambil kira oleh Majlis Keselamatan" kerana misi majlis tersebut adalah untuk menggalak keamanan dan keselamatan antarabangsa, menurut Encik Sall.

Beliau turut menyarankan peranan yang lebih besar bagi Afrika sebagai penjaga keamaan dalam menghuraikan konflik.

"Tanpa keselamatan tidak mungkin ada pembangunan," tegas Encik Sall.

Persidangan Antarabangsa Tokyo mengenai Pembangunan Afrika (TICAD) yang kelapan diadakan di Tunisia, yang merupakan salah satu negara yang terjejas teruk akibat gangguan pada bekalan antarabangsa dan kenaikan harga yang disebabkan oleh pandemik koronavirus dan perang di Ukraine.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan