Skip to main content

Dunia

Jepun, China bincang kebimbangan maritim sedang Beijing lancar latihan simulasi serang Taiwan

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun, China  bincang kebimbangan maritim sedang Beijing lancar latihan simulasi serang Taiwan

(Gambar: AFP/STR/JAPAN POOL/JIJI PRESS)

Diterbitkan : 10 Apr 2023 05:36PM
TOKYO: Pegawai kanan Jepun dan China bertemu pada Isnin (10 Apr) untuk membincangkan kebimbangan tentang keadaan maritim di kawasan perairan yang dipertikaikan di Laut China Timur.

Pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada rundingan biasa mengenai hal ehwal maritim yang dimulakan pada 2012.

Ia diadakan selepas jet pejuang dan kapal perang China melakukan simulasi serangan ke atas Taiwan pada Ahad, dengan mengepung pulau itu, sebagai tindak balas kepada pertemuan Presiden Taiwan Tsai Ing-wen dengan Speaker Dewan Amerika Syarikat (AS) Kevin McCarthy.

Sebelum rundingan itu, seorang jurucakap tertinggi kerajaan Jepun berkata negaranya mengikuti perkembangan latihan ketenteraan China di sekeliling Taiwan dengan konsisten dan "penuh keprihatinan".

"Peri pentingnya keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan bukan sahaja penting bagi keselamatan Jepun, tetapi juga bagi kestabilan masyarakat antarabangsa secara keseluruhan," kata Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno kepada wartawan.

Rombongan China diketuai ketua pengarah Hal Ehwal Sempadan dan Lautan di Kementerian Luar China, Hong Liang, manakala pihak Jepun dipimpin ketua pengarah Asia dan Hal Ehwal Lautan Takehiro Funakoshi.

Semasa pertemuan mereka pada November lalu, Encik Hong mengecam Tokyo atas komen mereka mengenai kegiatan China di Selat Taiwan, yang memisahkan Taiwan dari China.

Beliau juga meminta kapal-kapal Jepun meninggalkan perairan di sekitar pulau di Laut China Timur yang dituntut kedua-dua negara.

Pada bulan lalu, China dan Jepun menubuhkan talian komunikasi ketenteran untuk membantu kedua-dua pihak meredakan sebarang insiden udara dan laut di kawasan perairan yang dipertikaikan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita