Skip to main content

Dunia

Jepun bersedia lepaskan air Fukushima pada Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun bersedia lepaskan air Fukushima pada Ogos

(Gambar: AFP/Philip Fong)

Diterbitkan : 05 Jul 2023 11:30AM
TOKYO: Pemerintah Jepun sedang merancang untuk melepaskan air radioaktif yang sudah dirawat dari loji nuklear Fukshima Daiichi seawal Ogos selepas mendapatkan kebenaran daripada badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Nikkei.

Dalam peristiwa penting untuk menutup loji tenaga yang musnah dalam gempa bumi dan tsunami teruk pada 2011 itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Selasa (4 Jul) menyatakan semakan selama dua tahun menunjukkan rancangan Jepun bagi pelepasan air itu sejajar dengan piawaian keselamatan global.
Tokyo menyatakan pada Januari bahawa ia merancang untuk melepaskan air tersebut ke dalam laut "sekitar musim bunga dan musim panas" namun tidak menetapkan tarikh sementara menunggu kebenaran badan kawal selia nuklear Jepun, yang dijangka diumumkan seawal minggu ini.

Dengan pengesahan IAEA, Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berkata pada Selasa bahawa negaranya menyasarkan untuk mendapatkan persetujuaan dalam negara dan antarabangsa.

Kesatuan nelayan tempatan sudah lama menentang rancangan itu, dengan menyatakan ia akan menjejas reputasi yang sudah dipulihkan selepas beberapa negara mengharamkan produk makanan Jepun atas kebimbangan terhadap radiasi.

Sejumlah negara jiran juga meluahkan kebimbangan terhadap ancaman kepada alam sekitar, dengan Beijing muncul sebagai pengkritik terbesar.

Jepun menyatakan air tersebut sudah ditapis untuk membuang kebanyakan elemen radioaktif kecuali tritium, sejenis isotop hidrogen yang sukar unutk dipisahkan daripada air.

Air yang dirawat itu akan dicairkan ke bawah paras tritium yang diluluskan peringkat antarabangsa sebelum dilepaskan ke Lautan Pasifik.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita