Jepun bakal sertai latihan tentera di Indonesia buat pertama kali
(Gambar: Kiyoshi Ota/POOL/AFP)
TOKYO: Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mengumumkan negaranya akan buat julung-julung kalinya menyertai latihan tentera di Indonesia pada bulan depan.
PM Kishida menyambut Presiden Indonesia Joko Widodo ke ibu kota Tokyo pada pagi Rabu (27 Jul), di mana kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mempertingkatkan kerjasama pertahanan di rantau Indo-Pasifik.
Presiden Indonesia Joko Widodo kini berada di Jepun - iaitu destinasi kedua beliau dalam siri lawatan ke tiga negara Asia Timur, selepas China.
Dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Fumio Kishida di Tokyo pada Rabu (27 Jul), Presiden Jokowi mengalu-alukan pelaburan Jepun di Indonesia.
"Kami terus mengharapkan sokongan pengetahuan dan teknologi baru Jepun untuk menyokong beberapa projek strategik di Indonesia, terutamanya bagi hiliran komoditi semula jadi, penghasilan kereta dan motosikal elektrik serta sektor kesihatan dan makanan," kata Presiden Jokowi.
Presiden Jokowi berkata Indonesia sudahpun menarik balik segala sekatan terhadap produk makanan Jepun yang diimport ke negara itu.
Sekatan itu dikuatkuasakan menyusuli krisis nuklear Fukushima pada 2011.
Sementara itu, PM Kishida menggesa agar bidang keselamatan maritim di rantau itu diperkukuhkan sedang kedua-dua negara mengesahkan lagi kerjasama bagi memastikan Indo-Pasifik bebas dan terbuka.
"Untuk kawasan Indo-Pasifik tahun depan, Indonesia akan menjadi pengerusi ASEAN dan Jepun akan menjadi pengerusi G-7.
"Kami akan terus menyelaras dalam merangka agenda utama untuk menyumbang kepada kedamaian dan kesejahteraan di rantau ini dan di dunia," ujar Jokowi.
Kedua-dua pihak juga telah bersetuju terhadap perubahan pada Perjanjian Kerjasama Ekonomi Indonesia-Jepun, yang dijadual dimeterai semasa Sidang Puncak Pemimpin G20 pada November ini.
Selain itu, Jepun akan mengikrarkan pinjaman lebih AS$300 juta kepada Indonesia bagi projek-projek prasarana dan usaha pencegahan bencana.
Semasa lawatannya ke Jepun ini, Presiden Jokowi turut menyampaikan ucapan takziah atas pemergian mantan Perdana Menteri Shinzo Abe, yang terbunuh pada awal bulan ini.
Presiden Jokowi juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Maharaja Naruhito dan Maharani Masako, selain bertemu dengan para wakil perniagaan di ibu kota Tokyo pada Rabu (27 Jul).
Beliau akan berangkat ke Seoul esok untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol.
Indonesia menyifatkan ketiga-tiga negara Asia Timur iaitu China, Jepun dan Korea Selatan sebagai rakan kerjasama ekonomi strategik dan serantau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.