Skip to main content

Dunia

Jepun anggap peningkatan keupayaan ketenteraan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi

Pemerintah Jepun kini mengetengahkan peningkatan keupayaan ketenteraannya bukan sahaja sebagai langkah untuk melindungi negara itu, malah sebagai satu cara untuk meningkatkan kemakmuran dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun anggap peningkatan keupayaan ketenteraan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi

Naskhah terkini kertas putih pertahanan Jepun dengan kulitnya yang bergaya anime dalam gambar ilustrasi yang dirakam di Tokyo, Jepun, pada 4 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Tim Kelly)

Diterbitkan : 04 Aug 2026 06:10PM
TOKYO: Pemerintah Jepun kini mengetengahkan peningkatan keupayaan ketenteraannya bukan sahaja sebagai langkah untuk melindungi negara itu, malah sebagai satu cara untuk meningkatkan kemakmuran dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Dalam Kertas Putih Pertahanan terbaharunya, kerajaan Jepun berhujah bahawa pengeluaran senjata dan pelaburan dalam sektor pertahanan boleh memberi manfaat kepada ekonomi secara lebih luas.

Penilaian tahunan mengenai ancaman daripada negara-negara jiran seperti China, Rusia dan Korea Utara itu menggesa Jepun memanfaatkan teknologi, membiayai syarikat pemula dan menggunakan lebih banyak komponen komersial dalam pengeluaran senjata.

Menurut dokumen pembentangan Kementerian Pertahanan Jepun, Kertas Putih itu menekankan bahawa pelaburan dalam pertahanan memberi manfaat kepada ekonomi secara keseluruhan serta kehidupan rakyat.

Pendekatan tersebut sejajar dengan usaha Perdana Menteri Sanae Takaichi menggunakan perbelanjaan strategik kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

Mesej itu turut ditonjolkan menerusi muka depan Kertas Putih berkonsepkan anime yang memaparkan sebuah keluarga tersenyum dengan berlatarbelakangkan sebuah bandar moden.

Ia berbeza daripada kebanyakan edisi sebelum ini yang memaparkan anggota tentera, senjata dan lambang ketenteraan.

Seorang pegawai Kementerian Pertahanan Jepun berkata reka bentuk tersebut bertujuan menampilkan "imej masa depan".

CHINA CABARAN STRATEGIK TERBESAR JEPUN

Pendekatan yang mengaitkan pertahanan dengan kemakmuran masa depan itu diketengahkan sedang pentadbiran Cik Takaichi menyiapkan strategi keselamatan negara yang baharu.

Pakar ketenteraan menjangkakan strategi tersebut akan menggesa perbelanjaan pertahanan ditingkatkan lagi, terutamanya untuk mencegah China daripada memulakan ketegangan dengan Taiwan yang boleh mengheret Jepun ke dalam peperangan berpanjangan.

Kertas Putih itu menyifatkan kegiatan ketenteraan China dan tindakan-tindakan lain negara itu sebagai perkara yang membimbangkan Jepun dan masyarakat antarabangsa.

Ia turut menyifatkan China sebagai "cabaran strategik terbesar" Jepun.

Beijing sebelum ini membantah keras kenyataan Cik Takaichi bahawa Jepun boleh mengerahkan Pasukan Pertahanan Diri sekiranya serangan China terhadap Taiwan turut mengancam kelangsungan Jepun.

PERBELANJAAN PERTAHANAN CAPAI 2% HASIL DALAM NEGERI KASAR

Tokyo menggunakan gabungan kenaikan cukai, pembaharuan perbelanjaan dan hasil sekali sahaja untuk membiayai peningkatan keupayaan ketenteraan terbesar Jepun sejak Perang Dunia Kedua.

Langkah itu sudah meningkatkan perbelanjaan berkaitan pertahanan kepada dua peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Jepun.

Namun, Cik Takaichi masih belum menjelaskan sepenuhnya bagaimana kerajaannya akan membiayai peningkatan perbelanjaan seterusnya tanpa menambah tekanan terhadap kewangan awam negara itu.

Kerajaan Jepun meluluskan belanjawan rekod 122.3 trilion yen (S$994.5 bilion) bagi tahun kewangan sehingga Mac 2027.

Ia kemudian menambah pakej belanjawan tambahan 3.1 trilion yen (S$25.2 bilion) untuk membantu isi rumah dan perniagaan menangani kenaikan kos tenaga.

Sebahagian besar perbelanjaan pertahanan baharu setakat ini digunakan untuk peluru berpandu yang mampu mengenai sasaran pada jarak lebih 1,000 kilometer.

Sebahagian besar daripada sebarang kenaikan perbelanjaan pada masa akan datang pula dijangka disalurkan kepada dron dan senjata tanpa pemandu lain, seperti yang digunakan secara meluas oleh Ukraine dalam perangnya dengan Rusia.
Sumber : Reuters/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita