Jepun akan lepaskan air tercemar loji Fukushima ke dalam laut: PM Yoshihide Suga
Kerajaan Jepun merancang untuk melepaskan lebih daripada 1 juta tan air tercemar dari loji nuklear Fukushima yang musnah ke dalam laut, kata Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga pada Selasa (13 Apr) dalam satu keputusan yang mencetuskan kontroversi menyusuli rundingan selama bertahun-tahun.

(Gambar: AFP)
TOKYO: Kerajaan Jepun merancang untuk melepaskan lebih daripada 1 juta tan air tercemar dari loji nuklear Fukushima yang musnah ke dalam laut, kata Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga pada Selasa (13 Apr) dalam satu keputusan yang mencetuskan kontroversi menyusuli rundingan selama bertahun-tahun.
Kerja-kerja untuk melepaskan air berkenaan akan bemula dalam kira-kira dua tahun dan mungkin mengambil masa beberapa dekad untuk selesai, tetapi sudahpun mencetuskan tentangan hebat dari masyarakat nelayan tempatan, para aktivis anti-nuklear dan negara-negara jiran China dan Korea Selatan.
Kerajaan menegaskan bahawa pelepasan air itu adalah selamat kerana air itu telah diproses untuk menghapuskan hampir kesemua elemen radioaktif dan akan dilunturkan.
Namun masyarakat nelayan tempatan khuatir melepaskan air itu akan menjejas usaha selama bertahun-tahun untuk memulihkan keyakinan pada makanan laut dari daerah itu.
"Mereka kata bahawa mereka tidak akan melepaskan air itu ke dalam laut tanpa sokongan para nelayan," kata Kanji Tachiya, yang mengetuai sebuah koperasi nelayan tempatan di Fukushima, kepada NHK menjelang pengumuman itu.
"Kami tidak boleh menyokong langkah yang memungkiri janji itu dan melepaskan air tersebut ke dalam laut secara sepihak."
Keputusan itu juga mencetuskan bantahan di peringkat daerah sebelum menjadi rasmi, dengan menteri luar Korea Selatan pada Isnin (12 Apr) meluahkan "rasa amat kesal atas keputusan itu yang boleh menimbulkan kesan secara langsung atau tidak terhadap keselamatan penduduk dan sekitaran sekeliling di masa hadapan."
Jurucakap kementerian luar China Zhao Lijian menggesa Jepun supaya "bertindak secara bertanggungjawab" berhubung pelepasan air itu.
"Bagi melindungi kepentingan awam antarabangsa dan kesihatan dan keselamatan rakyat China, China meluahkan keprihatinan tinggi kepada pihak Jepun menerusi saluran diplomatik," kata Encik Zhao pada Isnin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.