Jepun akan lepaskan air terawat dari loji Fukushima ke laut: Laporan
Jepun memutuskan untuk melepaskan air terawat dari loji nuklear Fukushima ke dalam laut, menurut laporan pada Jumaat (9 Apr), meskipun ditentang oleh para nelayan tempatan.
(Gambar: AFP)
TOKYO: Jepun memutuskan untuk melepaskan air terawat dari loji nuklear Fukushima ke dalam laut, menurut laporan pada Jumaat (9 Apr), meskipun ditentang oleh para nelayan tempatan.
Kabinet Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga merancang untuk mengumumkan keputusannya seawal Selasa depan (13 Apr), menurut Jiji Press dan stesen penyiar tempatan NHK.
Langkah itu akan menamatkan perbahasan selama bertahun-tahun tentang bagaimana untuk menghapuskan cecair termasuk air yang digunakan untuk menyejukkan stesen penjana kuasa itu setelah ia dibadai tsunami besar lalu musnah pada 2011.
Pelepasan air dijangka mengambil masa bertahun-tahun. Air itu ditapis dahulu dan dilarutkan bagi memenuhi piawai antarabangsa sebelum ia dilepaskan, menurut NHK.
Laporan itu menyusuli pertemuan Encik Suga dengan ketua persekutuan perikanan Jepun pada Rabu (7 Apr) dan berkata pemerintah akan memutuskan bagaimana untuk menghapuskan air itu "dalam masa terdekat".
"Membuang air tercemar adalah tugas yang tidak dapat dielakkan bagi pembinaan semula Fukushima," kata Encik Suga kepada para wartawan selepas pertemuan itu.
Namun para aktivis sekitaran menentang usulan itu, dan para nelayan dan petani berasa khuatir para pengguna enggan membeli makanan laut dan hasil ternakan dari daerah itu, yang sudah pun berdepan masalah reputasi walaupun ujian keselamatan menyeluruh sudah dijalankan.
Sebuah panel kerajaan berkata pada tahun lalu bahawa melepaskan air itu ke dalam laut atau melakukan proses penyejatan kedua-duanya "pilihan realistik".
Kebanyakan daripada isotop radioaktif telah dikeluarkan daripada air itu melalui proses penapisan menyeluruh - namun satu bahan kekal iaitu tritium yang tidak dapat dihapuskan menggunakan teknologi sedia ada.
Tritium hanya berbahaya kepada manusia dalam jumlah dos yang tinggi, menurut para pakar, dan sisa air terawat sering dilepaskan ke dalam laut dari loji-loji nuklear di bahagian-bahagian lain di dunia.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa menyokong usulan untuk melepaskan air terawat itu dari Fukushima.
Sejauh ini, sekitar 1.25 juta tan air disimpan dalam tangki-tangki di kemudahan itu, menurut pengendali loji TEPCO, yang enggan mengulas mengenai laporan itu.
Satu keputusan perlu dicapai dengan segera kerana ruang untuk menyimpan air semakin terhad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.