Skip to main content

Dunia

Jepun adakan latihan kapal selam pertama di Laut China Selatan

Jepun mengadakan latihan kapal selamnya yang pertama di Laut China Selatan, menurut sebuah akhbar tempatan pada Isnin (17 Sep), suatu langkah yang boleh mencetuskan kemarahan Beijing.

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun adakan latihan kapal selam pertama di Laut China Selatan

Gambar fail Laut China Selatan (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Sep 2018 10:02PM Dikemas Kini : 17 Sep 2018 10:04PM

TOKYO: Jepun mengadakan latihan kapal selamnya yang pertama di Laut China Selatan, menurut sebuah akhbar tempatan pada Isnin (17 Sep), suatu langkah yang boleh mencetuskan kemarahan Beijing. China sudahpun menyuarakan tuntutan teradap kebanyakan kawasan perairan yang dipertikaikan itu.

Kapal selam Kuroshio pada Khamis menyertai tiga kapal perang Jepun di perairan di barat daya Scarborough Shoal yang dikuasai China, menurut akhbar Asahi Shimbun.

China menuntuk hak sebahagian besar Laut China Selatan yang kaya dengan sumber semula jadi. Barangan dagang bernilai AS$5 trilion (S$6.9 trilion) melalui perairan tersebut yang turut dituntut oleh Brunei Darussalam, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Ketegangan memuncak di Scarborough Shoal sejak Beijing merampasnya dari Manila pada 2012.

Akhbar itu melaporkan latihan kapal selam tersebut adalah yang pertama dikendalikan Tokyo di Laut China Selatan.

Angkatan Pertahanan Maritim mengadakan latihan 'praktikal' antikapal selam, termasuk latihan untuk mengesan kapal selam musuh dengan menggunakan alat sonar, menurut Asahi yang menukil sumber pemerintah.

Sumber-sumber menyifatkannya sebagai latihan kelautan yang sah di kawasan tidak berpihak, dengan hak akses diberikan di bawah undang-undang antarabangsa.

Namun demikian tiada pengesahan segera terhadap laporan Asahi Shimbun itu.

Jurucakap kementerian luar China Geng Shuang enggan mengulas tentang latihan itu, namun menekankan "situasi di Laut China Selatan semakin baik".

Jepun "seharusnya bertindak berhati-hati dan elakkan daripada melakukan apa-apa yang boleh menjejas keamanan dan kestabilan serantau," beliau berkata di satu taklimat media biasa.

Menyusuli latihan itu, kapal selam Jepun itu dijangka singgah di pelabuhan Cam Ranh di tengah Vietnam pada Isnin, untuk mempromosi kerjasama pertahanan dengan Hanoi, menurut laporan Asahi.

Ini merupakan persinggahan pertama oleh kapal selam berkenaan di sebuah pelabuhan penting sejak Perang Dunia Kedua, tambahnya.

China selama bertahun-tahun menambak tanah di terumbu-terumbu yang dikuasainya di Laut China Selatan dan membina kemudahan awam dan ketenteraan.

Awal bulan ini, Beijing menyelar Britain kerana menghantar kapal perang dekat dengan pulau-pulau yang haknya masih dipertikaikan - sebahagian daripada siri operasi "pengemudian kebebasan" dijalankan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita