Skip to main content

Dunia

Jenis baru COVID-19 akan akibatkan lebih banyak kematian di Britain, menurut kajian

Jenis baru COVID-19 yang menular di Britain secara purata 56 peratus lebih mudah berjangkit berbanding versi asal.

Anggaran Waktu Membaca:
Jenis baru COVID-19 akan akibatkan lebih banyak kematian di Britain, menurut kajian

(Gambar: REUTERS/Henry Nicholls)

Diterbitkan : 25 Dec 2020 09:13AM Dikemas Kini : 25 Dec 2020 09:15AM

PARIS: Jenis baru COVID-19 yang menular di Britain secara purata 56 peratus lebih mudah berjangkit berbanding versi asal.

Para saintis memberi amaran tersebut dalam satu kajian sambil menggesa pemberian vaksin dipercepatkan bagi membantu mencegah lebih banyak kematian.

Jenis baru itu yang muncul di tenggara England pada November lalu dan menular dengan cepat, mungkin akan meningkatkan jumlah pesakit di hospital dan kematian akibat COVID-19 pada tahun depan. Ini menurut kajian yang diterbitkan pada Rabu (23 Dis) oleh Pusat Pemodelan Matematik Penyakit Berjangkit di Sekolah Kebersihan dan Perubatan Tropika London.

Para pengkaji mengatakan masih belum pasti sama ada jenis bermutasi itu lebih atau kurang mengakibatkan kematian berbanding virus asal.


"Namun demikian, peningkatan kebolehjangkitan mungkin menyebabkan jumlah pesakit di hospital meningkat dan angka kematian akibat COVID-19 mencapai tahap yang lebih tinggi pada 2021 berbanding 2020," menurut para penyelidik itu.

Mereka mengingatkan bahawa perintah berkurung di seluruh England pada November mungkin tidak dapat mencegah peningkatan jangkitan "kecuali sekolah rendah, sekolah menengah, dan universiti juga ditutup"

Dalam mengumumkan langkah sekatan yang lebih ketat sepanjang cuti Krismas, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata pada Sabtu bahawa jenis baru virus itu "mungkin hingga 70 peratus lebih mudah dijangkiti berbanding versi asal penyakit itu".

Penemuan jenis COVID-19 yang baru itu mengejutkan dunia ketika lebih banyak negara memulakan kempen vaksinasi untuk menghentikan wabak yang meragut lebih 1.7 juta nyawa sejak ia muncul setahun lalu di China.

Banyak negara dengan cepat melarang perjalanan dari Britain, tetapi pemerintah Kesatuan Eropah sejak itu sudah mula melonggarkan sekatan berkenaan.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita