Skip to main content

Dunia

Jeneral tentera Indonesia pernah disabit kesalahan dijangka sandang jawatan kanan Kementerian Kewangan

Indonesia dijangka melantik seorang pegawai tentera – yang pernah didapati bersalah menculik aktivis hak asasi manusia – bagi satu jawatan kanan di kementerian kewangan, menurut dua sumber, sekali gus menonjolkan peranan tentera yang semakin besar dalam pemerintahan demokrasi ketiga terbesar dunia itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Jeneral tentera Indonesia pernah disabit kesalahan dijangka sandang jawatan kanan Kementerian Kewangan

Bendera Indonesia di daerah Jakarta Pusat pada 13 Julai 2019. (Gambar fail: iStock)

JAKARTA: Indonesia dijangka melantik seorang pegawai tentera – yang pernah didapati bersalah menculik aktivis hak asasi manusia – bagi satu jawatan kanan di kementerian kewangan, menurut dua sumber, sekali gus menonjolkan peranan tentera yang semakin besar dalam pemerintahan demokrasi ketiga terbesar dunia itu.

Pelantikan tersebut, yang dijangka dimuktamadkan menteri kewangan pada Jumaat (23 Mei), merupakan jawatan awam paling tinggi yang diberikan kepada seorang pegawai tentera sejak pemerintah pada Mac lalu memberikan perlindungan undang-undang yang membenarkan pelantikan sedemikian, satu langkah yang mendatangkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan hak asasi berkenaan kemungkinan Indonesia kembali ke arah pemerintahan kuku besi.

Leftenan Jeneral Djaka Budhi Utama, yang merupakan anggota pasukan khas tentera darat pada 1990-an ketika ia diketuai Presiden Prabowo Subianto, dijangka mengetuai bahagian kastam dan eksais dalam jabatan hasil dalam negeri, menurut dua sumber yang mengetahui secara langsung akan perkara tersebut kepada Reuters.

Sumber-sumber tersebut meminta agar identiti mereka tidak didedahkan kerana tidak diberi kebenaran untuk bercakap kepada media mengenai isu itu.

Pejabat presiden tidak memberikan sebarang maklum balas meskipun beberapa permintaan dikemukakan, dan jurucakap tentera juga tidak memberi komen. Kementerian kewangan turut enggan untuk mengulas perkara tersebut.

Laporan media tempatan sebelum ini menyatakan bahawa Encik Utama dan beberapa anggota "Pasukan Mawar" dalam pasukan khas itu pernah didapati bersalah menculik dan menyebabkan kehilangan secara paksa aktivis hak asasi manusia pada 1990-an semasa pemerintahan Suharto, seorang jeneral yang menjadi presiden autoritarian sebelum digulingkan pada 1998.

Menurut laporan media tempatan, Encik Utama dijatuhi hukuman penjara selama setahun empat bulan pada 1999 selepas perbicaraan tentera, namun tidak jelas sama ada dia benar-benar menjalani hukuman itu. Dia kekal dalam perkhidmatan tentera walaupun selepas disabit kesalahan.

“Ini adalah langkah mundur daripada reformasi demokrasi Indonesia,” kata Usman Hamid dari Amnesty International Indonesia kepada Reuters, sambil menegaskan bahawa walaupun di bawah undang-undang baharu, anggota tentera yang dilantik ke beberapa jawatan awam, termasuk di bawah Kementerian Kewangan, perlu bersara terlebih dahulu.

Encik Utama masih lagi dalam perkhidmatan aktif.

“Inilah bukti nyata terhadap pengabaian hak mangsa,” kata Ardi Manto Adiputra dari kumpulan hak asasi Imparsial. Encik Utama sebelum ini pernah menyandang jawatan di beberapa kementerian lain, namun semuanya berkaitan keselamatan, berbeza dengan pelantikannya kali ini dalam kementerian kewangan.

“Untuk mengetuai bahagian kastam, sepatutnya ia dipimpin oleh individu yang memahami selok-belok isu kastam yang kompleks,” kata Jahen Rezki, ahli ekonomi dari Universiti Indonesia, yang turut mempersoalkan pelantikan tersebut.

Encik Prabowo, yang mengambil alih jawatan presiden pada Oktober lalu, sebelum ini dipecat daripada tentera susulan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia – walaupun tiada pertuduhan rasmi dikenakan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita