Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jeneral polis Indonesia didakwa atas pembunuhan dirancang lebih awal ke atas pengawal peribadi

Ada bukti bahawa jeneral dua bintang Ferdy Sambo mengarahkan orang bawahannya untuk menembak dan membunuh Nofriansyah Yosua Hutabarat.

Anggaran Waktu Membaca:
Jeneral polis Indonesia didakwa atas pembunuhan dirancang lebih awal ke atas pengawal peribadi

Ketua Polis Indonesia Listyo Sigit Prabowo. (Gambar: Polis Negara Indonesia)

JAKARTA: Polis Republik Indonesia mendakwa jeneral dua bintang Ferdy Sambo atas pembunuhan yang dirancang terlebih dahulu selepas pengawal peribadinya maut di rumah jeneral itu bulan lalu akibat beberapa luka tembakan.

Ketua Jeneral Polis Negara Listyo Sigit Prabowo dan enam jeneral polis lain mengadakan sidang media pada sebelah malam Selasa (9 Ogos) bagi memberi kemas kini kepada orang ramai berhubung kes itu.

Awal dari itu, Encik Sambo digantung kerja sebagai ketua ehwal dalaman.

"Pasukan bertindak khas (bagi kes itu) menamakan FS sebagai suspek," kata Encik Prabowo, sambil merujuk kepada Encik Sambo.

Encik Prabowo menambah bahawa Encik Sambo dan tiga lagi orang bawahannya didakwa atas pembunuhan yang dirancang terlebih dahulu.

Beliau berkata ada bukti bahawa Encik Sambo mengarahkan orang bawahannya untuk menembak dan membunuh Encik Nofriansyah Yosua Hutabarat, 27 tahun. Selain beberapa kesan tembakan, mangsa juga didapati mengalami lebam dan kesan luka pada tubuhnya.

Bercakap di sidang media yang sama pada Selasa, ketua agensi siasatan jenayah Pesuruhjaya Jeneral Agus Andrianto berkata empat suspek itu boleh berdepan hukuman mati.

"Hukuman maksimum adalah hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara maksimum 20 tahun," kata Encik Andrianto.

Berita tentang kematian luar biasa Encik Hutabarat di rumah pegawai atasannya mengemparkan seluruh negara.

Encik Hutabarat, seorang sarjan polis yang ditugaskan untuk mengawal keluarga Encik Sambo, mati pada 8 Julai tetapi polis hanya mendedahkan insiden itu pada 11 Julai.

Polis sebelum ini menyatakan Encik Hutabarat dibunuh oleh seorang lagi pegawai polis di rumah Encik Sambo dalam insiden tembak-menembak ketika dia cuba menyerang secara seksual isteri Encik Sambo.

Namun, Encik Prabowo berkata semasa sidang media pada Selasa bahawa insiden tembak-menembak tidak berlaku dan bahawa Encik Sambo sudahpun mereka-reka senario itu untuk menutup pembunuhan tersebut.

Beliau menambah polis masih menyiasat motif Encik Sambo bagi pembunuhan itu.

Menteri Penyelaras bagi Politik, Guaman dan Ehwal Keselamatan, Mahfud MD berkata pada Selasa selepas sidang media tersebut bahawa kes itu "agak berbeza sedikit".

Beliau berkata setakat ini, polis berjaya mengenal pasti suspek utama iaitu Encik Sambo.

"Berhubung motifnya, para penyiasat akan mendedahkannya kemudian kerana ia masih dalam siasatan.

"Motifnya juga mungkin terlalu sensitif (untuk dinyatakan secara terbuka)," kata menteri itu.

Awal dari itu pada Selasa, Presiden Joko Widodo menekankan polis mesti mencari penyelesaian bagi kes itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan