Skip to main content

Dunia

Jenazah suspek serangan di balai polis Ulu Tiram belum dituntut

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Jenazah lelaki yang maut ditembak dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Jumaat (17 Mei) masih belum dituntut anggota keluarganya di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI).

Proses bedah siasat sudah selesai tetapi proses pengebumian suspek masih tidak dapat dilakukan walaupun kuburnya di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram, Batu 19, Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru sudah sedia sejak Sabtu (18 Mei).

Pihak media sudah berada di tanah perkuburan tersebut sejak pukul 1.00 tengah hari sehingga pukul 8.00 malam, namun belum ada tanda-tanda jenazah akan dikebumikan pada Ahad (19 Mei) malam, lapor Sinar Harian.

Tinjauan ke tanah perkuburan tersebut mendapati persiapan bagi pengebumian jenazah sudah dilakukan dengan memasang khemah biru.

Kedudukan kubur yang sudah siap digali itu terletak di hujung tanah perkuburan tersebut iaitu kira-kira 300 meter dari kubur lain.

Selain itu, tidak kelihatan polis atau anggota keluarga termasuk saudara dan rakan suspek hadir di tanah perkuburan tersebut sehingga pukul 6.00 petang.

Suspek sebelum ini tinggal di Jalan Robani, Kampung Sungai Tiram iaitu tidak jauh dari tanah perkuburan tersebut.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi Jumaat, dua anggota di Balai Polis Ulu Tiram, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, maut manakala seorang lagi parah selepas ditetak dan tembak suspek.
 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita