Jenazah Sasterawan Negara M'sia Shahnon Ahmad selamat dikebumikan
Allahyarham Shahnon, 84 tahun, meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang akibat pneumonia kira-kira 7.30 pagi tadi.
Sasterawan Negara M'sia, Allahyarham Shahnon Ahmad. (Gambar: Watlekmedia.com/Facebook)
BANGI, SELANGOR: Jenazah Sasterawan Negara Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi selepas solat Zuhur hari ini (26 Dis).
Allahyarham Shahnon, 84 tahun, meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang akibat pneumonia kira-kira 7.30 pagi tadi.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Wan Fatimah Wan Salleh, 82 tahun, tiga anak berumur antara 54 hingga 58 tahun, 14 cucu serta tiga cicit.
Antara karya beliau yang paling meninggalkan kesan dalam bidang kesusasteraan adalah ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ yang mengajar pembaca erti kesusahan hidup. - A. Samad Said
Anak sulungnya, Norhayati, 58 tahun, berkata Allahyarham sepatutnya pulang ke rumah hari ini setelah dimasukkan ke hospital empat hari lepas.
“Arwah bapa dimasukkan ke hospital setelah mengalami batuk dan hasil pemeriksaan mendapati beliau menghidap pneumonia,” kata Cik Norhayati.
Mereka sekeluarga pada awalnya berasa gembira kerana pihak hospital membenarkan bapanya pulang ke rumah, namun terkejut menerima berita kematian Shahnon.
Cik Norhayati, yang menyifatkan arwah bapanya sebagai seorang yang mementingkan pendidikan keluarga, memberitahu bahawa Allahyarham juga amat rapat dengan cucu-cucunya dan selalu bertanya perkembangan pendidikan mereka meskipun keadaan kesihatan semakin merosot.
“Beliau sering mengingatkan cucu dan cicitnya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat paling tinggi,” katanya.
KARYA ALLAHYARHAM AJAR PEMBACA ERTI KESUSAHAN HIDUP
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, yang turut hadir pada majlis pengebumian Allahyarham, menyifatkan beliau sebagai sasterawan yang gemar menghasilkan karya menyentuh kisah masyarakat sekeliling.
“Antara karya beliau yang paling meninggalkan kesan dalam bidang kesusasteraan adalah ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ yang mengajar pembaca erti kesusahan hidup.
“Kesusahan hidup yang dilalui watak utama dalam novel tersebut memberi motivasi kepada pembaca supaya lebih tabah dan sabar dalam kehidupan terutama ketika zaman kegawatan ekonomi, di mana tanpa usaha dan pengorbanan sesebuah kejayaan dan kesenangan tidak mudah dikecapi,” kata beliau.
Sementara itu Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Tan Sri Prof Dr Mohd Yusof Noor berkata Allahyarham bukan sahaja seorang sasterawan negara malah boleh dianggap sebagai pejuang negara.
“Negara kehilangan seorang lagi pejuang negara dalam bidang kesusasteraan dan saya berharap kehilangan ini dapat diganti dengan tunas baharu (sasterawan) agar kita tidak ketandusan sasterawan seperti beliau,” katanya.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.