Jenazah pendaki M'sia Everest dibawa turun, seorang lagi masih hilang
Gambar: Misi Malaysia Everest 2023
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Malaysia sedang menghulurkan bantuan untuk membawa turun jasad Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia pada Jumaat (19 Mei) semasa dalam Misi Malaysia Everest 2023.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menghulurkan bantuan membawa turun jasad Awang Askandar, 56 tahun, dari Gunung Everest ke hospital di Kathmandu bagi tujuan bedah siasat dan pengurusan jenazah.
Sementara itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran Muhammad Hawari Hashim, 33 tahun, yang dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest, berkemungkinan berhadapan kesukaran, sekiranya beliau terjatuh di kawasan kaki Gunung Lhotse.
Rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest M. Magendran berkata lereng Gunung Lhotse sangat curam, dan sekiranya pendaki tergelongsor, mereka boleh terjatuh ke kawasan kaki gunung yang penuh dengan glasier yang diliputi serpihan dan rekahan ais.
“Kawasan kaki Gunung Lhotse agak luas dan perlukan masa yang lama untuk cari, ditambah dengan rekahan ais yang ada…sekiranya mangsa termasuk dalam rekahan maka usaha mencari semakin sukar,” katanya ketika ditemu bual secara dalam talian oleh Bernama TV pada Ahad (21 Mei).
Namun, tambah beliau ia tidak mustahil untuk menemukan mangsa berdasarkan pengalaman pada tahun 1997, apabila seorang ‘sherpa’ yang tergelincir dan jatuh di lereng Gunung Lhotse dari ketinggian 1,000 meter ke bawah, berjaya ditemui.
Muhammad Hawari yang merupakan antara peserta misi Malaysia Everest 2023, dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.
ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud itu turut disertai ketua ekspedisi yang juga bekas pendaki Everest 2016 Azim Afif Ishak dan Vincent Tiong Ling Yang, telah memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.