Jenazah Mugabe dibawa pulang ke Zimbabwe
Sebuah kenderaan jenazah yang mengusung jenazah mantan presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, meninggalkan rumah urus mayat Singapore Casket pada Rabu (11 Sep) untuk ke lapangan terbang di mana mendiang akan diterbangkan pulang ke negaranya untuk disemadikan.
SINGAPURA: Sebuah kenderaan jenazah yang mengusung jenazah mantan presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, meninggalkan rumah urus mayat Singapore Casket pada Rabu (11 Sep) untuk ke lapangan terbang di mana mendiang akan diterbangkan pulang ke negaranya untuk disemadikan.
Mugabe, seorang pemimpin gerila yang meraih kuasa selepas kemerdekaan Zimbabwe dari Britain sudah memerintah negara itu selama 37 tahun sehingga beliau digulingkan pada 2017, meninggal dunia Jumaat (6 Sep) lalu pada usia 95 tahun.
Kesihatan Mugabe semakin gering setelah beliau digulingkan oleh tentera dan bekas pegawai yang taat kepadanya pada November 2017, mengakhiri pemerintahan kuku besi yang membawa kepada kehancuran ekonomi.
Anggota keluarga dan para pegawai pemerintah Zimbabwe melakukan perjalanan ke Singapura, di mana Mugabe menghembuskan nafas terakhirnya setelah menerima rawatan selama beberapa bulan, untuk membawa pulang jenazahnya. Mereka pulang ke Zimbabwe pada Rabu.
Rombongan yang datang ke Singapura untuk memberi penghormatan, termasuk Naib Presiden Kembo Mohadi, yang tiba di Singapura pada Selasa (10 Sep) dan mereka menghadiri upacara agama Katolik yang diadakan buat Mugabe secara privet di rumah urus mayat berkenaan, dipimpin oleh seorang paderi Zimbabwe.
Setibanya di Zimbabwe, jenazah Mugabe akan terus dibawa pulang ke kampung halamannya di Kutama di daerah Zvimba bahagian barat ibu kota Harare, bagi upacara penghormatan.
Pada Khamis dan Jumaat, jenazah akan ditempatkan di Stadium Rufaro di bandar Mbare di Harare - di mana Mugabe mengangkat sumpahnya selaku presiden - untuk orang awam memberi penghormatan terakhir.
Persemadian rasmi akan diadakan pada Sabtu di Stadium Sukan Nasional, dengan kapasiti sebanyak 60,000 tempat duduk, di Harare. Ia dijangka dihadiri para pemimpin asing.
Jenazah Mugabe akan disemadikan pada Ahad namun lokasinya masih belum diketahui.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.