Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jenazah mangsa serangan masjid Christchurch mula dikebumikan

Seorang pelarian dari Syria, Khaled Mustafa, dan anak lelakinya, Hamza Mustafa, selamat dikebumikan di New Zealand hari ini (20 Mac), dalam upacara pengebumian yang pertama bagi mangsa-mangsa serangan pengganas yang dilancarkan ke atas dua buah masjid di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Mar 2019 10:49AM Dikemas Kini : 21 Mar 2019 12:40AM

CHRISTCHURCH, New Zealand: Seorang pelarian dari Syria, Khaled Mustafa, dan anak lelakinya, Hamza Mustafa, selamat dikebumikan di New Zealand hari ini (20 Mac), dalam upacara pengebumian yang pertama bagi mangsa-mangsa serangan pengganas yang dilancarkan ke atas dua buah masjid di negara itu.

Mereka adalah antara mangsa yang terbunuh dalam serangan di Masjid Al Noor, iaitu serangan pertama yang disasarkan.

Seorang lelaki bersenjata, iaitu seorang lelaki kulit putih rakyat Australia, menembak mati seramai 50 jemaah Muslim di dua masjid di bahagian selatan bandar Christchurch pada Jumaat (15 Mac) dan turut menyiarkan tindakan kejamnya itu secara langsung di media sosial.

Pada sebelah pagi Rabu (20 Mac), beratus-ratus orang yang kebanyakannya orang Muslim berhimpun di sebuah tanah perkuburan berhampiran Masjid Linwood, iaitu salah satu daripada dua masjid yang menjadi sasaran serangan tersebut.

Antara mereka yang menghadiri upacara pengebumian itu adalah Abdul Aziz, seorang pelarian dari Afghanistan, yang dengan berani bergelut dengan pengganas itu di Masjid Linwood. Beliau dipeluk orang ramai ketika di tanah perkuburan tersebut.

Setakat ini, hanya enam daripada 50 jenazah mangsa sudah diserahkan kepada keluarga mereka.

Menurut pihak berkuasa, ia sedang melakukan sedaya upaya untuk mempercepatkan proses bedah siasat dan proses mengenal pasti secara rasmi para mangsa yang terbunuh.

Pesuruhjaya Polis Mike Bush berkata proses itu memakan masa kerana perlu untuk mengesahkan identiti mangsa bagi mengelak daripada menghambat proses pendakwaan.

Semasa satu taklimat yang diadakan hari ini (20 Mac), Encik Bush berkata beliau berharap lagi enam jenazah dapat diserahkan kepada keluarga mereka sebelum tengah hari ini.

Beliau menambah bahawa sejauh ini, seramai 21 mangsa sudahpun dikenal pasti secara rasmi oleh para koroner.

Pembunuhan itu mencetuskan kemarahan di New Zealand dengan negara itu mengutuk keras serangan tersebut. Ia juga mencetuskan perdebatan mengenai undang-undang senjata api di negara itu dan sama ada pihak berkuasa melakukan yang secukupnya untuk memantau pergerakan para pelampau.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern melakukan lawatan ke Sekolah Tinggi Cashmere hari ini (20 Mac), di mana dua pelajarnya terkorban akibat serangan pengganas itu. Mereka ialah Sayyad Milne, 14 tahun, dan Hamza Mustafa, 16 tahun, seorang pelarian dari Syria. Ayah Hamza turut terkorban dalam serangan di Masjid Al Noor.

Ditanya oleh seorang pelajar mengenai perasaannya, Cik Ardern setakat berkata: "Saya berasa sedih."

Sehari sebelum ini, Cik Ardern berkirar bahawa pengganas itu, Brenton Tarrant, akan menghadapi "hukuman undang-undang yang setimpal atas kesalahannya".

Menyusuli serangan tembakan beramai-ramai itu, Cik Ardern berikrar akan meminda undang-undang New Zealand yang membolehkan lelaki berkenaan membeli senjata-senjata api yang digunakan dalam serangan tesebut.

Rakyat New Zealand juga sudah memberi respons kepada permohonan pemerintah negara itu untuk menyerahkan senjata api mereka. Ini termasuk John Hart, seorang petani yang tinggal di daerah Masterton di North Island.

Encik Hart berkata menyerahkan senjata api separa automatiknya adalah satu keputusan yang mudah. Dalam catatan Twitternya, beliau berkata: "Ia merupakan satu alat yang berguna ketika di kawasan ladang, tetapi ia tidak begitu penting berbanding risiko menyalahgunakannya. Kita tidak memerlukan senjata api di negara ini."

Cik Ardern berkata perincian mengenai pindaan yang diusulkan itu akan diumumkan menjelang minggu depan, namun beliau berkata ia mungkin melibatkan membeli senjata api daripada orang awam serta mengharamkan sesetengah jenis senapang separa automatik.  

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan