Skip to main content

Dunia

Jenazah Ani Yudhoyono selamat disemadikan di makam Pahlawan

Indonesia berduka, menjelang beberapa hari sambutan Aidilfitri, meratapi pemergian bekas wanita pertama, Allahyarhamha Ibu Ani Yudhoyono, isteri kepada Presiden ke-6, Dr Susilo Bambang Yudhoyono (SBY).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Jun 2019 05:38PM Dikemas Kini : 02 Jun 2019 09:04PM

JAKARTA: Indonesia berduka, menjelang beberapa hari sambutan Aidilfitri, meratapi pemergian bekas wanita pertama, Allahyarhamha Ibu Ani Yudhoyono, isteri kepada Presiden ke-6, Dr Susilo Bambang Yudhoyono (SBY).

Jenazah Ibu Ani, 66 tahun, disemadikan di Taman Makam Pahlawan Nasional Utama, Kalibata, jam 2.55 petang waktu Indonesia Barat (WIB), dengan penuh istiadat pemakaman ketenteraan, yang dihadiri Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi), bekas presiden ketiga, BJ Habibie dan bekas presiden kelima, Cik Megawati Soekarnoputri.

Allahyarhama, yang pernah menerima penganugerahan tertinggi negara Indonesia iaitu Bintang Jasa Adipradana pada 2011 atas jasanya sebagai wanita pertama Indonesia, diberikan penghormatan terakhir, dengan istiadat pemakaman ketenteraan itu turut disiarkan secara langsung televisyen tempatan.

Allahyarhamha Ibu Ani menghembuskan nafasnya yang terakhir jam 11.50 pagi semalam (1 Jun), di Hospital Universiti Nasional Singapura (NUH), selepas menjalani rawatan barah darah sejak Februari lepas.

Jenazah dibawa pulang malam semalam menggunakan pesawat tentera Indonesia ke Jakarta, sebelum dibawa ke Puri Cikeas, Bogor, kediaman bekas presiden bagi tempoh 2004 hingga 2014 itu kira-kira jam 11.00 malam WIB.

Jenazah disembahyangkan dengan diimamkan Ma'ruf Amin, (pasangan kepada Presiden Jokowi bagi jawatan naib presiden pada Pilihan Raya Presiden Indonesia 2019) di Puri Cikeas, sebelum disemadikan di Kalibata.

Sejak semalam, kediaman SBY, Ketua Umum Parti Demokrat itu diziarahi Presiden Jokowi dan ramai pemimpin politik, menzahirkan kedukaan mereka dan bersilaturrahim ketika "suhu politik agak dingin" selepas pasca keputusan Pilihan Raya Indonesia dan rusuhan di Jakarta baru-baru ini.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita