Jenama produk kecantikan Innisfree mohon maaf 'botol kertas' didedahkan sebenarnya plastik
Jenama popular produk kecantikan dari Korea Selatan, Innisfree, memohon maaf setelah dituduh mengelirukan para pelanggan dengan bungkusan yang didakwa mesra alam sekitar.
(Gambar dari Media Sosial)
PETALING JAYA: Jenama popular produk kecantikan dari Korea Selatan, Innisfree, memohon maaf setelah dituduh mengelirukan para pelanggan dengan bungkusan yang didakwa mesra alam sekitar.
Korea Herald melaporkan bahawa seorang pelanggan Innisfree, yang enggan namanya didedahkan, berasa kecewa setelah mendapat tahu bahawa produk serum muka yang disimpan dalam 'botol kertas' sebenarnya sebuah botol plastik yang dibalut dengan kertas.
Beliau memotong sarung kertas tersebut menjadi dua dan mengongsinya gambarnya di kumpulan Facebook 'No Plastic Shopping' pada 6 April, sambil berkata bahawa beliau berasa "terpedaya"oleh tuntutan peduli sekitaran yang dibuat oleh syarikat berkenaan.
Wanita itu juga menyertakan sekali petikan skrin aduan rasmi yang dibuat kepada persatuan pengguna berhubung perkara itu.
Ramai orang menulis komen pada catatan itu dengan berkata bahawa Innisfree telah menyertai trend 'greenwashing'.
'Greenwashing' adalah istilah yang merujuk kepada taktik pemasaran yang bertujuan membuat para pengguna percaya bahawa produk-produk tertentu lebih mesra alam daripada yang sebenarnya.
Innisfree kemudian memohon maaf atas kejadian itu dan mengakui bahawa label "Hello, I'm Paper Bottle" mungkin mengelirukan para pelanggannya.
"Kami menggunakan istilah 'botol kertas' untuk menjelaskan peranan label kertas pada botol itu.
"Kami terlepas pandang kemungkinan penggunaan nama itu mungkin mengelirukan para pengguna untuk memikirkan bahawa keseluruhan bungkusan diperbuat daripada kertas.
"Kami mohon maaf kerana gagal menyampaikan maklumat secara terperinci," menurut Innisfree dalam satu kenyataan yang ditukil oleh The Korea Herald.
Innisfree menjelaskan bahawa botol plastik itu boleh dikitar semula dan menggunakan 51.8 peratus kurang plastik berbanding bungkusan biasa.
Jenama itu turut menarik perhatian bahawa sarung plastik itu mengandungi maklumat bagaimana untuk mengasingan dan mengitar semula bahan-bahan berbeza.
Pelanggan yang memuat naik gambar-gambar itu di Facebook kemudian memberitahu The Korea Herald bahawa jawapan yang diberikan oleh Innisfree "tidak mencukupi".
"Ramai yang memilih produk tersebut cuba untuk mengurangkan kesan berbahaya terhadap sekitaran.
"Saya rasa (syarikat itu) mengambil kesempatan ke atas mereka (melalui pemasaran yang mengelirukan)," katanya kepada mereka.
Beliau juga berkata bahawa Innisfree boleh menggunakan istilah yang lebih jelas seperti "separuh plastik" atau "kurang bahan plastik" bagi mengelakkan sebarang salah faham.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.