Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jemaah wukuf di Arafah untuk kemuncak Haji

Anggaran Waktu Membaca:

ARAB SAUDI: Ratusan ribu jemaah haji mula berwukuf di Arafah awal pagi Jumaat (8 Jul) bagi menyempurnakan satu daripada enam rukun haji. 

Jumlah kehadiran berkenaan adalah tertinggi selepas pandemik COVID-19 yang memaksa pengurangan ketara jumlah jemaah bagi dua tahun berturut-turut. 

Demikian menurut laporan BH Online yang menukil AFP. 

Kehadiran jemaah musim ini dihadkan kepada satu juta orang termasuk 850,000 dari luar negara yang dipilih melalui kuota, yang akan bermalam di kem di Mina, tujuh kilometer dari Masjidil Haram di Makkah.

Pada awal hari ini (8 Jul), mereka berkumpul di Gunung Arafah, tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya.

Jemaah akan berada sepanjang hari di Padang Arafah untuk berdoa dan membaca al-Quran.

Selepas matahari terbenam, jemaah akan menuju ke Muzdalifah, separuh jalan antara Arafah dan Mina, untuk menyempurnakan ibadah melontar di tiga jamrah esok (9 Jul). 

Haji tahun ini berlangsung di sebalik kebimbangan peningkatan semula kes COVID-19 di rantau ini, dengan beberapa negara Teluk mengetatkan sekatan untuk mengawal pandemik.

Semua jemaah dikehendaki mengemukakan bukti vaksinasi penuh dan ujian PCR negatif. Sebaik tiba di Mina kelmarin (7 Jul), mereka dibekalkan beg kecil mengandungi pelitup muka dan sanitasi tangan.

Haji yang menyaksikan perhimpunan tahunan agama terbesar di dunia, adalah antara lima rukun Islam dan mesti dilakukan semua umat Islam, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Pada 2019, kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan ibadah itu, namun kehadiran pandemik COVID-19 sejak 2020 memaksa pihak berkuasa Arab Saudi mula mengecilkan jumlah kehadiran jemaah haji secara mendadak.

Hanya 60,000 rakyat dan penduduk Arab Saudi yang sudah lengkap divaksin mengambil bahagian menyempurnakan ibadah itu tahun lalu, meningkat daripada hanya beberapa ribu pada 2020.

Tahun ini, jemaah berdepan cabaran cuaca panas dan suhu meningkat kepada 42 darjah Selsius.

"Kita boleh bersabar (cuaca panas). Kami di sini untuk ibadah haji. Lebih banyak kita bersabar, lebih banyak untuk ibadah haji kita diterima," kata Laila, seorang jemaah Iraq berusia 64 tahun.

Pihak berkuasa Arab Saudi sudah memaklumkan persediaan mereka berdepan dengan cuaca terik, dengan ratusan katil hospital di sedia untuk merawat strok haba, bekalan kipas berkabus serta lori untuk mengagihkan payung, botol air dan kipas kecil. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan