Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jemaah umrah M'sia yang terkandas di Jakarta sudah berangkat ke Tanah Suci

Anggaran Waktu Membaca:
Jemaah umrah M'sia yang terkandas di Jakarta sudah berangkat ke Tanah Suci

(Gambar: Emraz Travel & Tours Sdn Bhd)

KUALA LUMPUR: Kesemua 62 jemaah umrah dari Malaysia yang terkandas di Jakarta, Indonesia sudah berlepas ke Tanah Suci menggunakan penerbangan Saudi Airlines pada pagi Jumaat (24 Feb).

Jemaah umrah yang mengalami kelewatan penerbangan akibat masalah teknikal, berlepas secara tiga peringkat sejak awal pagi Jumaat dan penerbangan kumpulan pertama akan tiba di Jeddah pada pukul 11.28 pagi waktu Arab Saudi (pukul 4.28 petang waktu tempatan), lapor Astro AWANI.

Unit komunikasi pemasaran Emraz Travel & Tours Sdn Bhd yang juga syarikat pengendali umrah itu berkata, isu kelewatan timbul akibat masalah teknikal melibatkan tiket penerbangan yang menyebabkan jemaah umrah tersebut tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk ke penerbangan dari Jakarta ke Jeddah.

“Tindakan pantas pihak pengurusan syarikat telah berjaya menyelesaikan isu tersebut dan jemaah yang terkesan telah dibawa ke hotel penginapan sementara menunggu jadual penerbangan mereka yang berikutnya.

“Situasi ini boleh berlaku sewaktu transit terutama melibatkan musim yang padat seperti cuti sekolah dan pihak syarikat sentiasa memastikan kebajikan jemaah sentiasa dijaga.

“Pihak Emraz akan terus memastikan semua pelanggan diberikan perkhidmatan terbaik,” kata syarikat itu kepada Astro AWANI.
Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan