Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jemaah menteri M'sia setuju tubuh jawatankuasa tangani isu doktor kontrak

Anggaran Waktu Membaca:
Jemaah menteri M'sia setuju tubuh jawatankuasa tangani isu doktor kontrak

Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zaliha Mustafa. (Gambar fail: Bernama)

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menjadi topik hangat di Malaysia ketika ini, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata persetujuan bagi menubuhkan jawatankuasa yang akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, termasuk penglibatan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali itu, dicapai oleh Jemaah Menteri pada Jumaat (31 Mac).

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu (1 Apr) ekoran desas-desus kemungkinan mogok oleh doktor kontrak pada 3 hingga 5 April ini, dan kemunculan catatan Instagram yang menggesa doktor kontrak seluruh negara itu untuk tampil menyertai mogok berkenaan atau meletak jawatan secara beramai-ramai pada 1 April.

Dr Zaliha berkata Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai mogok itu, bagaimanapun berpandangan mogok bukan satu penyelesaian terbaik terhadap permasalahan berkaitan kerjaya perubatan atau mana-mana skim karyawan yang lain.

“Sebaliknya, perkara ini perlu ditimbang dengan teliti kerana perkhidmatan kesihatan merupakan perkhidmatan kritikal, melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Beliau berkata kerajaan dari semasa ke semasa telah memberi respons terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan. Antaranya, mewujudkan perjawatan tetap, penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat berasaskan masa, peluang kenaikan ke gred khas dan mewujudkan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya.

Dr Zaliha menambah KKM sentiasa peka dengan permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan dan memastikan ia diteliti sesuai dengan isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara.

“Justeru, mogok bukan penyelesaian terbaik dan selaku penjawat awam, sama ada berjawatan tetap atau kontrak, mereka adalah tertakluk kepada integriti penjawat awam dan Etika Perkhidmatan Awam,” tegas Dr Zaliha.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan