Jemaah haji tetap lontar jamrah meski suhu melebihi 40 darjah Celsius
Cuaca panas yang melanda Mina hari ini (28 Mei) tidak menghalang para jemaah haji untuk meneruskan ibadah melontar jamrah buat kali kedua.
Cuaca panas yang melanda Mina pada 28 Mei 2026 tidak menghalang para jemaah haji untuk meneruskan ibadah melontar jamrah buat kali kedua. (Gambar: Bernama)
Dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius, para jemaah dilihat bergerak perlahan dan berhati-hati menuju ke kompleks Jamrah sambil ditemani petugas Tabung Haji (TH) yang sentiasa memantau keadaan semasa.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan jemaah membawa payung, botol air serta kain basah bagi mengurangkan kesan cuaca panas ketika berjalan bersama jutaan umat Islam lain dari seluruh dunia.
“Cuaca panas memang mencabar tetapi apabila sampai dan dapat menyempurnakan lontaran, rasa semua itu berbaloi,” kata jemaah Malaysia Ahmad Zulqanain Zainal, 49, ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Seorang lagi jemaah Siti Mariam Hassan, 34, berkata walaupun keadaan cuaca panas dan perjalanan agak jauh, beliau tetap bersyukur dapat menyempurnakan ibadah itu dengan tenang.
“Ini pengalaman yang sangat bermakna. Walaupun penat, hati rasa kuat,” katanya.
Abdul Rahman Ismail, 52, yang turut berkongsi pengalaman berkata suasana di Mina yang padat dengan jutaan jemaah menjadikan ibadah melontar jamrah satu pengalaman yang menginsafkan.
“Dalam kepanasan dan kesesakan ini, kami benar-benar belajar erti kesabaran,” katanya.
Walaupun berdepan kepenatan dan perjalanan yang jauh dari khemah penginapan di Mina, rata-rata jemaah tetap tenang dan tabah menyempurnakan ibadah melontar yang melambangkan penolakan terhadap godaan syaitan serta kepatuhan kepada perintah Allah.
Petugas TH turut menasihatkan jemaah supaya menjaga kesihatan, mengelakkan berjalan terlalu laju serta segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami keletihan akibat cuaca panas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.