Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jemaah haji S'pura sempurnakan lontaran pertama jamrah Aqaba

Jemaah haji Singapura selamat sampai di penginapan masing-masing di Shisha setelah selesai menyempurnakan lontaran pertama jamrah aqaba, sebelum Subuh tadi (9 Jul), waktu Arab Saudi.

Anggaran Waktu Membaca:
MINA: Jemaah haji Singapura selamat sampai di penginapan masing-masing di Shisha setelah selesai menyempurnakan lontaran pertama jamrah aqaba, sebelum Subuh tadi (9 Jul), waktu Arab Saudi.

Hari ini juga jemaah haji Singapura menyambut Hari Raya Aidiladha di Saudi.

Malam ini, mereka akan memenuhi syarat bermabit atau bermalam di Mina.

Setelah menamatkan ibadah wukuf di padang Arafah tengah hari Jumaat (8 Jul), jemaah haji Singapura berangkat ke Muzdalidah untuk singgah sementara.

Perjalanan para jemaah dari Arafah ke Muzdalifah dan kemudian ke Mina menggunakan khidmat bas ulang-alik berjalan lancar serta teratur.

Rata- rata perjalanan antara Arafah ke Muzdalifah dan Muzdalifah ke Mina mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit saja.

Ini kerana kurangnya jumlah jemaah haji kali ini iaitu sekitar 1 juta orang dari dalam dan luar Saudi berbanding lebih 2 juta pada 2019 sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Setibanya di Mina, jemaah Singapura perlu berjalan sekitar 4 kilometer dari terowong Muiassem sebelum sampai ke kompleks melontar jamrah.

Di sana, jemaah haji perlu melakukan lontaran tujuh biji batu di jamrah Aqaba.

"Bukan senang tetapi Alhamdulillah, kita masih berjaya melakukannya. Agak lancar tetapi tersekat-sekat sebab ramai orang yang sama jalan, sama haluan untuk ke tempat yang sama. Kawasannya sudah dibesarkan, jadi mungkin senang untuk jemaah melontar," kata Encik Jamil, seorang jemaah haji Singapura.

"Semua jalan teratur, tidak tolak menolak. Jadi senang untuk jemaah yang berkerusi roda, yang bertongkat, jadi tidak banyak masalah. Memandangkan perjalanannya dalam 3.8 kilometer, kita jalan perlahan jadi memakan stamina kita. Keadaan cuaca dalam situ juga sedikit panas. Stamina mesti hendak ada," kata Encik Sabiudin, seorang lagi jemaah dari Singapura yang menunaikan haji menggunakan kerusi roda.

Lontaran jamrah Aqaba yang pertama itu bermakna tamatnya segala pantang larang ihram jemaah haji. Ia juga menandakan bermulanya sambutan Aidiladha untuk jemaah haji di Saudi.

Jemaah haji kini perlu bermalam lagi dua hari di Mina dan melakukan lontaran ketiga-tiga jamrah untuk dua hari berturut-turut semasa hari-hari Tasyriq.
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan