Jemaah Haji SG wukuf di Arafah, semua sihat meski hadapi cuaca 44 darjah Selsius
ARAB SAUDI: Lebih 1,400 jemaah haji Singapura berhimpun di Padang Arafah bagi kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah hari ini.
Kesemua jemaah Singapura berada di Padang Arafah sekitar 2.00 petang waktu Singapura.
Menurut Ketua Delegasi Haji Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman, semua jemaah Singapura berada dalam keadaan sihat semasa tiba di Arafah.
"Bukan mudah untuk ke sini, tetapi ini lumrah ibadah Haji, kita harus banyak bersabar kerana ini cubaan dan ujian daripada Allah s.w.t. Semua jemaah Singapura sudah selamat sampai di sini. Cuaca begitu panas, lingkungan 44 darjah Celsius. Saya lihat ramai jemaah sudah bersedia dengan cuaca ini," kata beliau.
Dalam satu catatan di Facebook, Dr Maliki yang juga Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, mengingatkan para jemaah agar terus bersatu padu, menyokong satu sama lain dan mematuhi semua arahan dengan baik.
Dr Maliki berkata kerjasama para jemaah memastikan bukan sahaja keselamatan sendiri, malah keselamatan dan keharmonian seluruh kumpulan.
"Kami sudah banyak memberi arahan dan cadangan untuk menyiapkan diri mereka. Mereka banyak membawa kipas mudah alih. Ini menunjukkan keprihatinan mereka untuk bersedia untuk memastikan mereka berupaya untuk menangani cuaca yang begitu panas di sini," kata beliau.
Pegawai MUIS di Arafah yang dihubungi BERITA Mediacorp berkata jemaah Singapura berdoa di bawah langit Arafah selepas solat Asar (3.41 petang) waktu Saudi tadi.
Ini disebabkan cuaca di Arafah yang sangat panas iaitu 44 darjah Celsius.
Para jemaah Haji Singapura di Arafah (Gambar: Jalaluddin Travel & Services)
Selepas wukuf di Arafah, para jemaah akan mula berangkat ke Muzdalifah selepas 5.30 petang waktu tempatan iaitu sekitar 10.30 malam waktu Singapura.
Antara kumpulan jemaah yang akan mula bergerak ke Muzdalifah adalah mereka dari GSA Thoha Travels & Tours dan Halijah Travels.
SUASANA SELESA DI ARAFAH MESKI CUACA PANAS
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Shahidah Travel & Tours, Haji Ayoob Angullia memberi kemas kini kepada BERITA Mediacorp tentang keadaan para jemaah yang diuruskan syarikatnya.
Menurutnya, para jemaah ditempatkan dalam khemah-khemah yang lebih selesa.
Haji Ayoob berkata: "Alhamdulillah para jemaah Shahidah Travel & Tours sudah tiba di Arafah pada 8.00 malam waktu tempatan pada Jumaat (14 Jun). Alhamdulillah ada kemudahan terbaik sekali. Ada hawa dingin, khemah Arafah luas dan ada tempat katil sofa yang boleh lipat dan duduk. Ada juga hidangan bufet di dalam khemah."
Pasangan suami isteri Encik Tabrani Ramli dan Cik Hazlin Hashim yang merupakan jemaah Haji dari Jalaluddin Travel & Services pula berkongsi kepada wartawan Nurhelmy Hakim perasaan mereka berwukuf di Padang Arafah.
Encik Tabrani Ramli dan Cik Hazlin Hashim (Gambar: Jalaluddin Travel Travel & Services)
Encik Tabrani berkata: "Perasaan saya seperti mimpi menjadi kenyataan. Saya sangat gembira dan bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kami suami isteri dapat berada di Padang Arafah ini. Kalau nak dibandingkan dengan pengalaman rakan-rakan dan keluarga yang pernah ke sini, sudah di luar jangkaan tentang keadaan di sini. Saya amat gembira dengan apa yang disediakan untuk para jemaah."
"Perasaan bercampur aduk, seram, sedih gembira. Kita gembira dapat berwukuf di Arafah. Kita sedih juga memikirkan dosa-dosa yang kita telah lakukan. Tetapi berharap agar dosa-dosa kita dapat diampunkan Allah swt," tambah Cik Hazlin.
Setelah selesai berwukuf di Arafah, jemaah Haji Singapura beberapa GSA akan mula berangkat ke Muzdalifah selepas 5.30 petang waktu tempatan iaitu sekitar 10.30 malam waktu Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.