Skip to main content

Dunia

Jemaah haji mulakan ibadah lontar jamrah; sambut Aidiladha & lakukan korban di Mina

Anggaran Waktu Membaca:
Jemaah haji mulakan ibadah lontar jamrah; sambut Aidiladha & lakukan korban di Mina

Para jemaah melontar jamrah pada 29 Jun 2023. (Gambar: Sajjad Hussain/AFP)

Diterbitkan : 16 Jun 2024 01:01PM Dikemas Kini : 16 Jun 2024 02:12PM
MINA: Jemaah haji di Arab Saudi mula menunaikan ibadah melontar jamrah pada Ahad (16 Jun) pagi.

Jemaah tiba di Mina selepas bermalam di Muzdalifah, di mana mereka mengumpulkan batu-batu untuk ibadah tersebut.
Ibadah melontar jamrah itu dijalankan serentak dengan sambutan Aidiladha dan ibadah berkorban di Mina.

Hari ini para jemaah haji hanya melontar Jamrah Aqabah sebelum melakukan tahalul awal.

Pada dua atau tiga hari berikutnya di Mina, para jemaah akan melontar ketiga-tiga jamrah, setiap hari.

Dalam tempoh itu juga mereka boleh ke Makkah untuk melakukan Tawaf Ifada dan Sai.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr. Tawfiq Al-Rabiah sementara itu mengisytiharkan kejayaan dalam khidmat memudahkan pergerakan para jemaah haji dari Makkah ke Mina dan Arafah. Ketika berucap dalam satu sidang media di Arafah, beliau juga mendedahkan kejayaan dalam khidmat kesihatan di Arafah pada Sabtu (15 Jun).

Encik Al-Rabia berkata jumlah keseluruhan jemaah haji tahun ini adalah lebih daripada 1.8 juta orang.

Pengarah Keselamatan Awam dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Haji Leftenan Jeneral Muhammad Al-Bassami berkata, pasukan keselamatan sudah menjalankan tugas yang diberikan bagi musim haji tahun ini, dengan mengikut rancangan keselamatan dan pencegahan berdasarkan satu set peraturan yang menguji kesediaan mereka, dan mencerminkan kemahiran dalam merancang serta ketepatan melaksanakan tugas mereka.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita