Skip to main content

Dunia

Jemaah haji mula tiba di Jeddah

Para jemaah haji tahun ini mula tiba di bandar Jeddah dari bandar-bandar utama Arab Saudi yang lain bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Jemaah haji mula tiba di Jeddah
Diterbitkan : 26 Jul 2020 07:49PM Dikemas Kini : 26 Jul 2020 08:18PM

RIYADH: Para jemaah haji tahun ini mula tiba di bandar Jeddah dari bandar-bandar utama Arab Saudi yang lain bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Menurut Saudi Gazette, kumpulan pertama jemaah haji mendarat di lapangan terbang antarabangsa baru Jeddah pada Jumaat (24 Jul).

Tahun ini, hanya 1,000 orang terpilih untuk menjalankan ibadah haji dengan 30 peratus merupakan warga Saudi manakala lagi 70 peratus pula adalah rakyat asing dari 160 negara yang tinggal dan bertugas di negara tersebut.

BERITAmediacorp dimaklumkan, di kalangan mereka termasuklah dua warga Singapura yang kini bekerja di Riyadh.

Jumlah jemaah haji tahun ini begitu terhad kerana buat julung-julung kalinya para jemaah dari luar Saudi tidak dibenarkan mengerjakan ibadah haji ekoran penularan COVID-19 di merata dunia.

Di bawah peraturan baru, semua jemaah yang tiba di Makkah perlu menjalani kuarantin di dalam bilik hotel masing-masing sehingga bermulanya kemuncak ibadah haji pada Khamis ini (30 Jul).

Ini bermakna mereka tidak dibenarkan keluar dan akan makan minum di dalam bilik masing-masing sahaja. Keadaan kesihatan mereka seperti suhu badan juga akan terus dipantau.

Selepas selesai mengerjakan haji, para jemaah juga perlu menjalani kuarantin setibanya di rumah masing-masing kelak.

Hanya mereka yang berusia 20 hingga 50 tahun dan bebas daripada sebarang masalah kesihatan dipilih pihak berkuasa Saudi untuk mengerjakan haji tahun ini. 

Sumber : Reuters/BERITAmediacorp/AA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita