Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jemaah Haji Indonesia harus kekal waspada di Madinah: Pegawai

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Ketua Jabatan Ehwal Jemaah bagi Panitia Penyenggara Ibadah Haji (PPIH) Indonesia menggesa jemaah Haji negara itu agar berhati-hati demi keselamatan mereka semasa berada di Masjid Nabawi di Madinah atau tempat-tempat lain di Arab Saudi sewaktu melakukan ibadah Haji. 

"Jemaah Haji harus kekal waspada dan tidak mempercayai orang yang tidak dikenali. Jemaah juga harus melaksanakan ibadah itu dengan tenang," kata Harun Al Rasyid, ketua jabatan PPIH bagi kawasan tugas Madinah, seperti dinukil Pusat Media Haji di Madinah pada Ahad (5 Jun). 

Pegawai tersebut menerangkan bahawa lima pos keselamatan yang dikendalikan  pegawai Indonesia telah ditubuhkan di Masjid Nabawi untuk memastikan keselamatan jemaah serta menyediakan bantuan buat mereka. 

Pegawai polis dan tentera Indonesia, pekerja kesihatan serta pegawai wanita disediakan di kelima-lima pos tersebut, tambah pegawai itu. 

Pegawai Haji tersebut juga menekankan, selain menyediakan bantuan, pegawai keselamatan di pos tersebut juga akan mengingatkan jemaah agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang kejadian rompakan dan penipuan yang biasanya berlaku di Tanah Suci itu. 

"Jemaah yang terpisah dari kumpulan atau warga emas selalu menjadi sasaran mereka. Pelaku akan menghampiri mangsa dan berkata ingin menghantar mereka ke tempat tinggal. Oleh itu, selain daripada pegawai keselamatan, jemaah harus berhati-hati dan tidak mempercayai sesiapa sahaja yang menghulurkan bantuan," ujar Encik Harun. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan