Skip to main content

Dunia

Jemaah haji Indonesia berangkat ikut jadual di tengah konflik Timur Tengah

Kumpulan pertama jemaah haji Singapura akan mula berangkat ke Arab Saudi pada 8 Mei.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Apr 2026 09:36PM Dikemas Kini : 30 Apr 2026 08:35PM
SINGAPURA: Kumpulan pertama jemaah haji Singapura akan mula berangkat ke Arab Saudi pada 8 Mei.

Jemaah dari Malaysia sudahpun berangkat pada 18 April, dan kumpulan pertamanya mula tiba di Makkah pada Jumaat (24 Apr) dari Madinah.

Bagi jemaah Indonesia pula, keberangkatan mereka ke Tanah Suci juga berjalan mengikut jadual bermula 22 April, walaupun kemelut perang Amerika-Iran masih berterusan.

Penduduk Jakarta, Muhammad Yunus Abdurrahman, akhirnya dapat mengerjakan haji setelah lebih 10 tahun menanti.

Beliau akan berangkat ke Tanah Suci bersama isterinya, dan kedua-dua mereka tidak sabar lagi mahu menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Alhamdulillah untuk persiapan keberangkatan haji kita sudah siapkan dari jauh-jauh hari sehingga kita boleh siap di hari ini.

"Pertama kita persiapkan mentalnya, juga persiapan kesihatannya. Terus persiapan segala sesuatunya yang diperlukan nanti untuk bekal ibadah haji nanti," kata Encik Muhammad Yunus.

HAJI DITERUSKAN IKUT JADUAL

Musim haji tahun ini muncul di tengah-tengah suasana perang yang luas di Timur Tengah.

Namun demikian kerajaan Arab Saudi mengesahkan bahawa ibadah haji akan diteruskan mengikut jadual.

"Sebenarnya kelmarin ada yang rasa takut atau apa, tapi sekarang sudah dekat begitu waktunya, alhamdulillah sudah hilang semuanya.

"Kerana di sana buat ibadah ya mudah-mudahan semua dilindungi sama Allah, semua dilindungi, sudah tidak ada rasa khuatir lagi," kata seorang lagi jemaah haji, Maryam Syarifuddin.

Ini juga merupakan kali pertama Kementerian Haji dan Umrah Indonesia menguruskan pengendalian haji sejak ia ditubuhkan pada September 2025.

PUSAT ASRAMA HAJI

Pusat Asrama Haji Pondok Gede di Jakarta Timur ialah salah satu daripada 16 pusat pelepasan di seluruh Indonesia.

Jemaah Haji berkumpul pusat asrama berkenaan untuk buat persiapan akhir, termasuk pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka benar-benar sihat untuk perjalanan.

Di pusat tersebut, para pegawai menjalankan pemeriksaan menyeluruh dokumen perjalanan yang diperlukan termasuk pasport, visa haji dan tiket penerbangan.

Jemaah haji akan mendapat elaun sebanyak 750 riyal atau sekitar S$250 bagi keperluan perbelanjaan harian mereka di Arab Saudi.

Walaupun perang Iran belum menjejas dengan besar harga pengguna di Arab Saudi, kos penerbangan kini lebih tinggi ekoran harga bahan api penerbangan yang menjulang.

"Presiden Prabowo dalam rapat lengkap pemerintahan baik kabinet maupun para ketua pengarah menyatakan bahawa memastikan bahawa perubahan-perubahan angka, perubahan-perubahan harga, perubahan-perubahan tarif tidak akan dibebankan kepada jemaah haji.

"Ini sekali lagi menunjukkan komitmen beliau kepada jemaah haji kita," kata Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Mochamad Irfan Yusuf.

KOS LEBIH TINGGI JIKA KONFLIK MENINGKAT

Persatuan Muslim Penyelenggara Haji dan Umrah Republik Indonesia atau AMPHURI dalam pada itu mengeluarkan amaran, jika konflik itu meningkat, harga bahan api akan juga melonjak.

Hal tersebut berpotensi memaksa kos lebih tinggi itu ditanggung oleh para jemaah.

AMPHURI adalah badan induk yang mewakili sekitar 800 pertubuhan pengurusan haji dan umrah privet, di serata Indonesia.

"Misalnya perang ini mengganggu perjalanan dari Indonesia menuju ke Arab Saudi, pesawat harus mengambil laluan lain yang lebih jauh.

"Laluan lain kerana kondisi perang itu. Indonesia dan Arab Saudi memang melalui Timur Tengah.

"Ya, kalau itu menjadi Timur Tengah lebih luas terjadi perangnya, boleh kita lewat lebih bawah, lewat selatan lagi. Tentu akan menjadi lebih panjang, terkesan pastinya adalah biaya perjalanan yang akan naik," kata Pengerusi, Persatuan Muslim Penyelenggara, AMPHURI, Firman Muhammad Nur.

BERSEDIA MENGHADAPI SENARIO TERBURUK

Pihak berkuasa Indonesia menyatakan, ia juga sedang bersiap sedia menghadapi senario terburuk, jika konflik di Timur Tengah menjadi lebih teruk lagi.

"Evakuasi adalah skema paling buruk ketika memang situasi di Timur Tengah (memburuk), terutama di Arab Saudi.

Tapi kami melihat sejauh ini, Saudi masih mempersiapkan 100 peratus apa pun yang berlaku.

Dari saat ini Arab Saudi belum mengatakan hal-hal yang kemungkinan yang tadi Bapa sebutkan, iaitu kemungkinan evakuasi.

Tapi kalau harus terjadi, mungkin itu menjadi solusi untuk melindungi jemaah. Tapi kami berdoa semoga tidak terjadi Pak," Ketua, Ehwal Ketibaan & Keberangkatan, Kementerian Haji & Umrah Indonesia, Rizhy Firmansyah.

Hakikatnya, bagi ramai anggota masyarakat Islam, menunaikan haji adalah pengalaman kerohanian sekali seumur hidup.

Suatu perjalanan yang tidak mahu mereka tangguhkan, walaupun perang di Timur Tengah menjadi cabaran tambahan.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita