Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jemaah haji digesa waspada cuaca panas, elak strok haba

Anggaran Waktu Membaca:
SEPANG: Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan bakal jemaah haji supaya berwaspada terhadap cuaca panas di Arab Saudi, lapor Astro AWANI.

Pengarah Operasi Stesen Berlepas Sepang TH Khairul Azihar Rapar berkata, suhu di Saudi ketika ini mencecah 40 darjah Celsius dan boleh meningkat lebih tinggi.

"Kita (TH) selalu ingatkan jemaah haji supaya sentiasa waspada dengan keadaan cuaca panas untuk elak berlakunya strok haba.

"Kita sedia maklum di Malaysia pun ketika ini cuaca agak panas, jadi nasihat kita pada jemaah haji untuk jaga kesihatan dan ikut segala saranan yang telah dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pelepasan jemaah haji kumpulan ke-14 di Kompleks Tabung Haji Sepang pada Rabu (24 Mei).

Tambahnya, setakat ini, seramai lebih 4,000 jemaah haji sudah diterbangkan ke tanah suci bagi menunaikan ibadah berkenaan termasuk kumpulan yang bakal berlepas pada Rabu.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan kesemua jemaah haji agar membuat persediaan awal bagi mengelakkan berlaku kelewatan pada saat akhir.

"Jadual penerbangan tahun ini jaraknya kurang dari satu jam jadi kita galakkan bakal-bakal haji untuk datang lebih awal.

"Kita akan proses lebih awal untuk elak kelewatan jadi apabila kita panggil (jemaah haji) harap mereka segerakan urusan," ujarnya lagi.

Bagi tahun ini, hari wukuf iaitu 9 Zulhijah dijangka jatuh pada Selasa 27 Jun.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia bermula pada 21 Mei manakala penerbangan pulang terakhir adalah pada 1 Ogos.

Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines pada tahun ini berbanding 48 pada 2022.
Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan