Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jemaah haji bebas penyakit berjangkit di Arafah

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Tawfiq al-Rabiah berkata tiada tanda-tanda sebarang penularan penyakit berlaku ketika hampir 2 juta jemaah haji dari seluruh dunia berdepan hujan lebat dan ribut pasir sejak semalam (19 Ogos), untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Jemaah haji bebas penyakit berjangkit di Arafah

Para jemaah berjalan menuju ke khemah mereka di Mina. (Gambar: Zohra Bensemra/ Reuters)

Diterbitkan : 20 Aug 2018 01:30PM Dikemas Kini : 20 Aug 2018 01:37PM

ARAFAH: Menteri Kesihatan Arab Saudi, Tawfiq al-Rabiah berkata tiada tanda-tanda sebarang penularan penyakit berlaku ketika hampir 2 juta jemaah haji dari seluruh dunia berdepan hujan lebat dan ribut pasir sejak semalam (19 Ogos), untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Hujan lebat dan ribut petir memaksa jemaah haji berlindung di khemah-khemah dan mengharung air dengan pasukan pertahanan awam memberi amaran kemungkinan banjir berterusan sepanjang malam.

Semua jemaah dijangka tiba di Gunung Arafah pagi ini (20 Ogos)untuk wukuf dengan sambutan menjelang Aidiladha abermula esok apabila mereka mula keluar untuk upacara melontar selama tiga hari.

Pihak berkuasa sudah bersiap-sedia beberapa bulan lebih awal untuk memastikan keselamatan jemaah.

Menurut Menteri Kesihatan Saudi al-Rabiah kepada Reuters, lebih daripada 30,000 pekerja kesihatan mengendalikan 25 hospital dan menawarkan perkhidmatan perubatan percuma, termasuk prosedur yang kompleks seperti pembedahan jantung.

“Alhamdulillah, semuanya kini terkawal dan keadaan kesihatan sangat baik,” katanya dalam satu wawancara di Hospital Awam Mina.

Potensi penyebaran penyakit di kalangan jemaah haji, yang menghabiskan masa lima hari dalam ruang yang rapat, sering makan di luar dan tidur di atas lantai sering menjadi kebimbangan utama.

Pada masa lalu, perhimpunan umat Islam terbesar di dunia itu menyaksikan beberapa tragedi berdarah seperti rempuhan, kebakaran dan rusuhan, dengan pihak berkuasa kadang-kala berdepan halangan untuk bertindak balas.

Insiden rempuhan pada 2015 mengorbankan hampir 800 jemaah haji, menurut Riyadh, walaupun ada negara terbabit mendakwa ia mencecah 2,000 korban jiwa, lebih 400 daripadanya adalah warga Iran.

Musim haji dan umrah menjana pendapatan berbilion dolar setiap tahun kepada Arab Saudi.

Pihak berkuasa menyasarkan untuk meningkatkan angka jemaah umrah dan haji kepada masing-masing 15 juta dan 5 juta menjelang 2020 dan berharap jumlah jemaah umrah meningkat kepada 30 juta menjelang 2030.

Sumber : Reuters/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan