jelasBERITA: 'Tawuran' dan langkah-langkah untuk mencegahnya di Indonesia
Tangkap layar tawuran remaja yang dikongsi di media sosial, termasuk yang melibatkan anak-anak SD di Depok (tengah). (Instagram/hisnu_tangsel, Instagram/Seputar_Purwakasi, Instagram/fron17jakarta))
Ini menyebabkan munculnya seruan-seruan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan.
Apakah yang menjadi punca pergaduhan-pergaduhan tersebut dan apa pula yang dilakukan untuk mencegahnya?
Inilah video yang menjadi viral di Indonesia baru-baru ini setelah puluhan belia menyerang satu sama lain dengan palang besi.
Fenomena tersebut dalam masyarakat tempatan Indonesia, dipanggil 'tawuran'.
Bulan lalu, satu lagi insiden membuatkan masyarakat bimbang, setelah para pelajar semuda 10 tahun, berkelahi di jalanan ekoran satu kejadian ejek-mengejek.
Ketegangan tersebut akhirnya dihuraikan setelah satu pertemuan antara ibu bapa pelajar berkenaan, pihak sekolah dan polis.
Hakikatnya, pergaduhan sebegini suatu perkara biasa dan lazimnya bermula dek perkara-perkara kecil.
Penduduk seperti Encik Muhammad Lutfi pernah menjadi mangsa keganasan sedemikian apabila beliau diserang sekumpulan orang bersenjatakan sabit, ketika beliau sedang tidur.
Encik Lutfi percaya fenomena itu berlaku ekoran kurangnya aktiviti sihat untuk belia.
"Saya cuma minta untuk pemerintah memperbanyak lapangan pekerjaan. Jadi dari pihak kita dan pihak mereka itu disibukkan oleh pekerjaan kerana kalau pergaduhan jalanan itu mereka tidak ada kesibukan," kata Muhammad Lutfi, seorang mangsa keganasan.
Akhir-akhir ini, muncul perbincangan ekoran beberapa kematian akibat pergaduhan.
Para penganalisis menyatakan, pergaduhan sebegini sebenarnya sudah berlarutan selama berdekad-dekad.
"Kita harus, dan berharap pemerintah mula melihat bahawa pergaduhan jalanan ini boleh memberi kesan yang luas.
"Bahawa pergaduhan ini memang memiliki daya rosak yang tinggi.
"Baik untuk pendidikan mahupun untuk generasi ini.
"Kerana itu pemerintah harus mulai fokus dan juga katakanlah juga secara berkelanjutan berupaya untuk menyelesaikannya," kata Pensyarah di Universiti Pertahanan Indonesia, Ichsan Malik.
Gabenor Jakarta Pramono Anung bulan lalu sudahpun melancarkan satu program untuk menangani kegelisahan belia menerusi saluran agama dan budaya.
"Orang yang berselisih, berhadapan pasti ada penyebabnya.
"Apa yang menjadi penyebab utamanya? Maka yang menjadi penyebab utama inilah yang harus dicari.
"Salah satunya tenaga anak-anak di sini tidak tersalurkan secara baik," kata Encik Pramono.
Pihak berkuasa kini berikrar untuk menangani golongan pencetus kekacauan dengan melakukan lebih banyak rondaan.
Ini selain mencari saluran alternatif untuk belia menerusi sukan dan sebagainya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.