Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: Siapakah bakal pengganti Hassan Nasrallah dan bagaimanakah reaksi Iran?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Siapakah bakal pengganti Hassan Nasrallah dan bagaimanakah reaksi Iran?

Pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah. (Gambar: Hassan Ammar/AP)

BEIRUT: Pembunuhan pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah akan memberi kesan bukan sahaja di Lubnan, tetapi seluruh rantau Timur Tengah, sedang kumpulan itu menyusun semula strateginya, kata para penganalisis.

Nasrallah telah menerajui Hezbollah selama lebih tiga dekad. Kematiannya satu tamparan paling hebat kepada kumpulan yang disokong oleh Iran itu selepas berbulan-bulan berperang.

Di tengah-tengah serangan udara berterusan dari Israel, kumpulan itu kini perlu memilih pemimpin baharu, sedang Timur Tengah bersiap siaga menghadapi peningkatan ketegangan yang boleh berlanjutan kepada perang yang lebih luas.

“Selama bertahun-tahun, Nasrallah dan para pembantunya menerajui Hezbollah, dan memerintah sebahagian besar Lubnan. Ini adalah pengubah keadaan… bukan sahaja di Lubnan atau di Iran, tetapi juga di negara-negara berdekatan dan seluruh Timur Tengah,” kata Dr Cedomir Nestorovic, seorang profesor geopolitik di kampus Asia Pasifik ESSEC Business School.

Tentera Israel menyatakan pada Sabtu (28 Sep) bahawa Nasrallah terbunuh dalam serangan udara ke atas ibu pejabat Hezbollah di pinggir selatan Beirut sehari sebelumnya.

Hezbollah kemudian mengesahkan kematian Nasrallah.

Israel mendakwa serangan udara itu turut mengorbankan sejumlah komander Hezbollah yang lain.

APAKAH REAKSI IRAN?

Walaupun Iran dijangka akan bertindak balas, Dr Nestorovic berkata Tehran mempunyai rekod tindak balas yang buruk dalam insiden sebelumnya.

Beliau merujuk kepada reaksi Iran menyusuli pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Tehran pada Julai lalu, serta letupan alat kelui. Iran biasanya membuat ancaman dengan kata-kata yang lantang tetapi kurang mengambil tindakan.

“Saya tidak begitu pasti bahawa Iran akan bertindak balas dengan ketara, kerana akan ada tindak balas daripada Israel dan (sekutu-sekutunya),” katanya kepada CNA Asia Now.

James Dorsey, seorang zamil kanan adjung di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, berkata bahawa Iran kini dalam keadaan serba salah: Tehran mahu membina semula hubungan untuk mendapatkan pelepasan daripada sekatan-sekatan yang dikenakan ke atasnya tetapi ia juga tidak mahu dilihat lemah - terutamanya oleh sekutunya - jika ia tidak bertindak balas.

"Bagi Iran, tindak balas dengan cara yang tidak membawa kepada peningkatan yang akan menjadi sangat sukar dan sulit bagi negara itu," katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua Iran dan Hezbollah tidak mahu perang habis-habisan dengan Israel.

APAKAH LANGKAH ISRAEL SETERUSNYA?

Menurut Encik Dorsey, Israel berkemungkinan akan meneruskan kempen ketenteraannya di Lubnan. Israel mungkin mencari jalan untuk menyasarkan pemimpin Hezbollah yang lain- termasuk Safieddine, dan ia juga dijangka akan menumpukan perhatiannya kepada usaha untuk memusnahkan senjata Hezbollah.

Dr Nestorovic bagaimanapun mengambil pandangan yang berbeza, dengan berkata bahawa Israel berkemungkinan akan mencapai matlamatnya untuk melumpuhkan Hezbollah dan mungkin melihat rundingan dengan kepimpinan baharu kumpulan itu apabila ia dibentuk semula.

Israel menegaskan bahawa serangan udaranya di Lubnan bertujuan untuk menghentikan serangan udara Hezbollah, yang telah menyebabkan kira-kira 60,000 penduduk berpindah dari utara Israel.

Hezbollah telah melancarkan roket dan dron hampir setiap hari ke atas bahagian utara Israel sejak 8 Okt tahun lalu, sebagai tanda perpaduan dengan Hamas, sehari selepas perang Gaza tercetus pada 7 Okt lalu.

“Saya tidak fikir (Israel) akan menolak kelebihan mereka, kerana matlamatnya sudah jelas dari awal: Mereka mahu memastikan bahawa tiada sesiapa pun dari Lubnan yang boleh menyerang Israel,” kata Dr Nestorovic.

“Jika terdapat penyusunan semula dalam Hezbollah dan Israel berjaya mencapai perjanjian dengan Hezbollah untuk tidak menyerang bahagian utara Israel, saya fikir Israel akan menghentikan serangan.”

APA YANG AKAN BERLAKU SETERUSNYA?

Walaupun Hezbollah mengalami satu tamparan hebat, Encik Dorsey menegaskan bahawa ia mempunyai sejarah pemimpin yang menjadi sasaran dan dibunuh oleh Israel. Malah, pemimpin lalu, Nasrallah Abbas al-Musawi juga dibunuh oleh Israel pada 1992.

“Namun, pertubuhan-pertubuhan ini (Hezbollah dan Hamas) mampu bertahan dan terus berkembang,” kata Encik Dorsey.

Dr Nestorovic memberi amaran bahawa Hezbollah masih mempunyai bekalan senjata yang besar dan ramai pengikut setia.

“Saya tidak fikir Hezbollah telah disingkirkan – jauh dari itu. Mereka masih mempunyai peluru berpandu, mereka masih mempunyai puluhan ribu orang yang bersedia untuk berjuang dan mati untuk Hezbollah, jadi pasukan mereka masih kukuh,” katanya.

Beliau menambah bahawa Hezbollah kini bergantung kepada pendekatan kepimpinan baharu dan sama ada kedua-dua Israel dan Hezbollah bersedia untuk berunding.

Encik Dorsey menambah bahawa gencatan senjata di Gaza masih menjadi kunci utama untuk mencapai keamanan di Timur Tengah.
Sumber : CNA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan