Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: Siapa Pope Leo XIV - pemimpin baharu Gereja Roman Katholik?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Siapa Pope Leo XIV - pemimpin baharu Gereja Roman Katholik?

Pope Leo XIV yang baru dipilih melambai-lambai kepada para penganut Katolik yang berkumpul di Dataran St Peter sejurus selepas pemilihannya pada 8 Mei 2025. (Foto: Vatican Media melalui AP)

Diterbitkan : 09 May 2025 09:52AM Dikemas Kini : 09 May 2025 09:54AM
VATICAN: Robert Prevost, pilihan para kardinal Katolik dunia untuk berkhidmat sebagai pemimpin Katolik dengan seramai 1.4 bilion penganut, adalah Pope pertama dari Amerika Syarikat dan beliau tidak begitu dikenali di peringkat global.

Berusia 69 tahun dan berasal dari Chicago, Prevost telah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya sebagai paderi di Peru dan hanya menjadi kardinal pada 2023. Sebelum ini, beliau pernah memberikan beberapa wawancara media.

Selepas dipilih untuk menggalas tugas sebagai Pope, beliau mengambil nama Pope Leo XIV, dan menggantikan mendiang Pope Francis, yang telah memimpin Gereja Katolik sejak 2013.

Paderi Mark Francis, rakan Prevost sejak tahun 1970-an, memberitahu Reuters bahawa Prevost adalah penyokong tegar Pope Francis, terutama sekali komitmen mendiang terhadap isu-isu melibatkan keadilan sosial.

Beliau sudah mengenali Prevost sejak mereka berdua tinggal di Rome pada tahun 2000-an.

"Beliau bukan seseorang yang mahu mencari perhatian," kata Paderi Francis.
Pope Leo XIV yang baru dipilih muncul di balkoni Basilika St Peter di Vatican, 8 Mei 2025. (Foto: AP/Bernat Armangue)
Prevost pertama kali berkhidmat sebagai seorang biskop di Chiclayo, barat laut Peru, dari 2015 hingga 2023, dan menjadi warga Peru pada 2015.

Prevost memegang dua kerakyatan - Amerika dan Peru.

Pope Francis membawanya ke Rome pada tahun itu untuk mengetuai Pejabat Vatican yang bertanggungjawab memilih paderi mana yang harus berkhidmat sebagai biskop Katolik di seluruh dunia, yang bermakna beliau telah mengambil bahagian dalam usaha memilih ramai biskop di dunia.

Pandangan Pope baharu mengenai banyak isu masih belum diketahui.

Rekod Prevost mengenai kes penderaan seksual, isu utama bagi Gereja Katolik di peringkat global, belum diketahui secara menyeluruh di khalayak ramai.

Bishop Accountability, sebuah kumpulan yang memantau penderaan seksual paderi, berkata dalam satu kenyataan selepas pemilihan Pope baharu bahawa Prevost mempunyai rekod bercampur-campur dalam isu tersebut. Kumpulan itu bagaimanapun memuji usahanya membantu seorang mangsa penderaan di Peru, tetapi menimbulkan tanda tanya tentang cara beliau menangani dakwaan lain terhadap dua orang paderi.

CIRI PERIBADI POPE BAHARU

Jesus Leon Angeles, penyelaras kumpulan Katolik di Chiclayo yang mengenali Prevost sejak 2018, menyifatkan Prevost sebagai seseorang yang "akan sentiasa membantu orang lain".

Leon Angeles berkata Prevost sangat prihatin terhadap nasib para pendatang Venezuela di Peru, dengan berkata: "Beliau seorang yang suka membantu." Lebih 1.5 juta rakyat Venezuela telah berpindah ke Peru sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebahagiannya untuk melarikan diri daripada krisis ekonomi negara mereka.

Dalam temu bual pada 2023 dengan saluran berita Vatican, Prevost memfokuskan perhatiannya kepada usaha untuk mengembangkan Gereja Katolik.

“Kami terlalu mengutamakan doktrin ajaran Katolik... sehingga kami berisiko terlupa bahawa tugas pertama kami adalah untuk mengajar apa yang dimaksudkan untuk mengenali dan menghayati Nabi Isa,” katanya.

Prevost pernah mengatakan semasa sidang media Vatican pada 2023: "Kerja kami adalah untuk mengukuhkan penganut Katolik dan memberitahu semua orang bahawa mereka dialu-alukan di Gereja Katolik."
Pope Leo XIV muncul di balkoni Basilika St Peter selepas pemilihannya di Vatican pada 8 Mei 2025. (Foto: AP/Luca Bruno)
TEKUN MENDENGAR PANDANGAN, MAKLUM BALAS

Prevost dilahirkan pada tahun 1955 dan beliau merupakan ahli Mazhab Augustin, yang merangkumi kira-kira 2,500 paderi dan penganut, beroperasi di 50 negara dan mempunyai tumpuan khusus kepada kehidupan bermasyarakat dan kesaksamaan dalam kalangan anggotanya.

Beliau berpendidikan ijazah sarjana muda dari Universiti Villanova di pinggir bandar Philadelphia, sarjana dari Kesatuan Teologi Katolik di Chicago, dan ijazah kedoktoran dalam jurusan undang-undang Gereja dari Pontifical College of St Thomas Aquinas di Rome.

Prevost pertama kali pergi ke Peru sebagai mubaligh Katolik pada tahun 1985, sebelum kembali ke Amerika Syarikat pada 1999 untuk menggalas peranan kepimpinan.

Beliau kemudian berpindah ke Rome untuk berkhidmat selama dua penggal, dengan setiap penggal selama enam tahun, sebagai ketua Mazhab Augustin dan melawat banyak masyarakat Augustin di merata dunia. Beliau terkenal atas kefasihannya berbahasa Inggeris, Sepanyol, Itali, Perancis dan Portugis.

Selepas pulang ke Rome pada 2023, Prevost secara amnya tidak mengambil bahagian dalam banyak acara sosial yang menarik perhatian pegawai Vatican di seluruh bandar tersebut.

Menurut Leon Angeles, Prevost adalah seseorang yang mempunyai kemahiran kepimpinan, "tetapi pada masa yang sama, beliau tahu bagaimana untuk mendengar. Beliau mempunyai sifat baik itu."

"Kardinal mempunyai budi bahasa untuk meminta pendapat, walaupun ia daripada orang yang paling sederhana atau paling rendah diri," katanya. "Beliau tahu bagaimana untuk mendengar semua orang."
 
Sumber : Reuters/fs/fh/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan