jelasBERITA: Senarai perintah eksekutif Trump
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Isnin (20 Jan) bahawa beliau akan mengeluarkan apa yang dijangkakan sebagai perintah eksekutif dan arahan eksekutif, sedang beliau berusaha untuk mencarta hala tuju pentadbiran baharunya mengenai perkara-perkara dari isu tenaga hingga ke imigresen.

(Gambar: Reuters)
Dua sumber yang berpengetahuan tentang rancangan itu berkata lebih 200 perintah dan arahan sedemikian mungkin dikeluarkan melalui apa yang dikenali secara dalaman sebagai usaha "mengejutkan-dan-mengagumkan" (shock-and-awe).
Inilah yang kami ketahui tentang perintah eksekutif tersebut setakat ini:
IMIGRESEN
Dalam ucapannya sejurus selepas mengangkat sumpah untuk penggal kedua di Rumah Putih, Encik Trump berkata beliau akan mengisytiharkan pendatang haram di sempadan Amerika-Mexico sebagai darurat negara, mengerahkan tentera ke sana dan meningkatkan pengusiran penjenayah.
Encik Trump juga berkata bahawa beliau akan menggunakan undang-undang masa perang 1798 yang dikenali sebagai Akta Musuh Warga Aging untuk menyasarkan ahli sindiket dan kumpulan samseng di Amerika, dengan undang-undang itu kali terakhir digunakan untuk menahan bukan warga Amerika keturunan Jepun, Jerman dan Itali di kem tahanan semasa Perang Dunia II dan menyifatkan kartel jenayah sebagai pertubuhan pengganas asing.
Pentadbiran Trump juga menamatkan suaka bagi orang-orang yang melintasi sempadan Amerika secara haram, meningkatkan pemeriksaan dan penapisan "orang asing", menangguhkan penempatan semula pelarian dan komited untuk membina tembok di sempadan Amerika-Mexico, menurut laman web Rumah Putih.
Tidak lama selepas pelantikan Encik Trump, pihak berkuasa sempadan berkata mereka telah menutup program kemasukan CBP One pentadbiran mantan Presiden Joe Biden, yang telah membenarkan beratus-ratus ribu pendatang memasuki Amerika secara sah dengan menjadualkan temu janji melalui aplikasi.
Encik Trump bercadang untuk mencabar kerakyatan Amerika bagi kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu bapa di Amerika secara haram, kata seorang pegawai pada awal Isnin.
Apa yang dipanggil "kerakyatan berdasarkan hak kelahiran" berpunca daripada pindaan kepada Perlembagaan Amerika dan sebarang langkah untuk menyekatnya hampir pasti akan mencetuskan cabaran terhadap undang-undang.
TENAGA
Encik Trump berkata beliau akan segera mengisytiharkan darurat tenaga negara, sambil berjanji akan mempertingkatkan simpanan minyak strategik dan mengeksport tenaga Amerika ke seluruh dunia.
"Kita akan menjadi negara yang kaya sekali lagi," katanya.
Encik Trump, yang berikrar semasa kempen pilihan raya untuk "mengerudi minyak", juga akan menandatangani perintah eksekutif yang akan memberi tumpuan kepada Alaska, dedah seorang pegawai, sambil menambah bahawa wilayah itu kritikal terhadap keselamatan negara dan boleh membenarkan eksport cecair gas asli (LNG) ke bahagian lain Amerika dan sekutu-sekutunya.
Amerika juga akan menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris, menurut dokumen Rumah Putih. Selain itu, Encik Trump berkata beliau akan membatalkan apa yang beliau sifatkan sebagai mandat kenderaan elektrik.
Para anggota pasukannya menyarankan perubahan menyeluruh untuk memotong sokongan untuk EV dan stesen pengecasan dan untuk mengukuhkan langkah menyekat import kereta, komponen dan bahan bateri dari China, menurut dokumen yang dilihat oleh Reuters.
Mereka juga telah mengesyorkan kepadanya untuk mengenakan tarif ke atas semua bahan bateri di seluruh dunia, yang disifatkan sebagai percubaan untuk meningkatkan pengeluaran Amerika, dan kemudian merundingkan pengecualian dengan sekutu-sekutu Amerika.
Perintah eksekutif Trump juga berkemungkinan akan membatalkan peraturan iklim pentadbiran mantan Presiden Joe Biden mengenai loji jana kuasa, menamatkan eksport gas LNG, dan membatalkan pengecualian yang membenarkan California dan wilayah-wilayah lain mempunyai peraturan pencemaran yang lebih ketat.
TARIF
Encik Trump berkata pada Isnin (20 Jan) bahawa beliau akan mengenakan tarif dan cukai ke atas negara-negara lain untuk memperkayakan rakyat Amerika, menjanjikan baik pulih sistem perdagangan dan berkata Amerika akan mewujudkan "Khidmat Pendapatan Luar".
"Kami sedang menubuhkan Khidmat Pendapatan Luar untuk mengutip semua tarif, duti dan pendapatan. Ia akan menjadi sejumlah besar wang yang masuk ke dalam perbendaharaan kami, datang dari sumber-sumber asing," katanya.
Encik Trump juga akan mengeluarkan memo perdagangan yang luas pada Isnin bagi mengenakan tarif baharu sambil mengarahkan agensi-agensi persekutuan untuk menilai hubungan perdagangan Amerika dengan China, Kanada dan Mexico, kata seorang pegawai pentadbiran Trump.
Encik Trump sebelum ini berikrar akan mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas import global, 60 peratus ke atas barangan China dan surcaj import 25 peratus ke atas produk Kanada dan Mexico, duti yang mungkin menaikkan aliran perdagangan, meningkatkan kos dan mengundang tindak balas.
Pegawai itu, sambil mengesahkan laporan Wall Street Journal, berkata Encik Trump akan mengarahkan agensi-agensi untuk menyiasat dan menangani defisit perdagangan yang berterusan dan menangani dasar perdagangan dan mata wang yang tidak adil oleh negara-negara lain.
Memo itu akan memilih China, Kanada dan Mexico untuk diteliti tetapi tidak akan mengumumkan tarif baharu, kata pegawai itu. Ia akan mengarahkan agensi untuk menilai pematuhan Beijing terhadap Perjanjian Perdagangan 2020 dengan Amerika, serta status Perjanjian Amerika-Mexico-Kanada, atau USMCA, kata pegawai itu.
Encik Trump percaya tarif itu akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi Amerika, walaupun para penentang memberi amaran bahawa kos itu mungkin akan ditanggung oleh para pengguna.
KEPELBAGAIAN DAN HAK TRANSGENDER
Encik Trump akan mengeluarkan arahan eksekutif yang akan menangani program kepelbagaian, kesamarataan dan inklusiviti (DEI) serta mengisytiharkan bahawa pemerintah Amerika hanya akan mengiktiraf dua jantina - lelaki dan wanita - yang tidak boleh diubah, kata seorang pegawai Rumah Putih pada Isnin (20 Jan).
Pegawai itu menambah bahawa lebih banyak tindakan ke atas program DEI boleh dijangkakan "tidak lama lagi".
Dalam video kempen pilihan raya pada 2023, Encik Trump berkata bahawa pada hari pertamanya memegang jawatan presiden, beliau akan membatalkan dasar pentadbiran mantan Presiden Joe Biden yang menyediakan maklumat dan sumber kepada mereka yang mendapatkan rawatan perubatan supaya mereka dapat menyelaraskan tubuh mereka dengan jantina yang mereka kenal pasti. Khidmat jagaan itu boleh termasuk terapi hormon dan pembedahan.
Bagi atlet transgender, Encik Trump memberitahu perhimpunan pada Ahad (19 Jan) bahawa beliau akan bertindak pada hari pertamanya untuk menghentikan penyertaan atlet transgender dalam sukan wanita.
PENGAMPUNAN
Encik Trump sedang bersiap sedia untuk mengeluarkan pengampunan menyeluruh kepada defendan yang didakwa dalam rusuhan dan serangan ke atas Bangunan Capitol pada 6 Jan 2021 dan berhasrat untuk memotong hukuman bagi sesetengah orang yang menyerang polis, kata sumber yang mengetahui perkara itu pada Isnin.
Sumber itu bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai bila Encik Trump merancang untuk berbuat demikian.
Pelan itu, yang pertama kali dilaporkan oleh ABC News, mengusulkan pengampunan bagi mereka yang tidak melakukan keganasan semasa serangan itu, yang sekali gus menghapuskan hukuman daripada sabitan mereka.
BIROKRASI PERSEKUTUAN
Encik Trump akan membekukan pengambilan birokrat kecuali bagi bidang-bidang penting dan memaksa pekerja persekutuan bekerja di pejabat mereka, menurut laman web Rumah Putih.
Semasa kempen pilihan raya presiden, Encik Trump berikrar akan menamatkan aturan kerja dari rumah bagi puluhan ribu pekerja persekutuan, yang meningkat dengan ketara semasa pandemik COVID-19.
Pada Disember lalu, Encik Trump berkata jika pekerja persekutuan enggan kembali ke pejabat, "mereka akan diberhentikan kerja".
Dengan memaksa pekerja pemerintah kembali ke pejabat, Encik Trump dan sekutunya berharap ia boleh mencetuskan peletakan jawatan secara besar-besaran, yang akan membantu matlamat mereka untuk mengurangkan saiz birokrasi persekutuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.