Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: Sejauh mana China sudah berkembang selepas 75 tahun tertubuhnya PRC?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bulan ini, genap 75 tahun tertubuhnya Republik Rakyat China (PRC).

Suatu ketika dahulu, China dikenali sebagai gergasi Asia yang sedang tidur.

Namun kini ia sudah bangkit menjadi sebuah kuasa ekonomi global dan juga politik.

Kebangkitan China mencetuskan anjakan dalam sistem sejagat, sama ada kerjasama mahupun konflik,membina hubungan dan adakalanya, menyebabkan hubungan menjadi tegang.

1 Oktober 1949 merupakan tarikh keramat bagi China, apabila Mao Zedong mengisytiharkan kelahiran sebuah rejim baharu.

Ia menandakan berakhirnya perang saudara dan perebutan kuasa, dengan Parti Komunis China mengisytiharkan kemenangannya ke atas golongan nasionalis.

Sedang Amerika Syarikat dan negara-negara lain menikmati kemakmuran ekonomi atau Zaman Keemasan Kapitalisme selepas Perang Dunia Kedua, China pula memencilkan diri daripada dunia.

Mao membentuk haluan sosialisme yang mencontohi Soviet Union, iaitu perindustrian di bandar, dan pertanian kolektif di kawasan luar bandar.

Parti Komunis China mengawal segala-galanya - ekonomi, pendidikan, ketenteraan hinggalah politik.

Namun pembaharuan yang drastik itu membawa kepada penguncupan ekonomi yang teruk, sehingga berlaku kebuluran yang membunuh sekitar 30 juta orang.

Kemudian muncul pula Deng Xiaoping yang dianggap arkitek utama pemodenan China.

Beliaulah yang membuka ekonomi China sehingga membawa kepada pertumbuhan pesat selama tiga dekad yang sekali gus mengubah negara itu.

China menjadi "kilang dunia", dengan produk buatannya boleh didapati di mana-mana di dunia.

Penting kepada aliran perdagangan ini adalah Sungai Yangtze.

Sepanjang 6,300 kilometer, ia merupakan sungai paling panjang di Asia, dan sungai inilah yang menghubungkan China kepada dunia luar.

Di persimpangannya terletak bandar Shanghai - iaitu bandar terkaya di China.

Dahulunya ia sebuah kampung nelayan, namun kini sudah berubah menjadi pusat kewangan terkemuka.

Shanghai menempatkan lebih 250 bangunan pencakar langit yang tingginya melebihi 150 meter.

Bandar ini menjadi cerminan pertumbuhan China sehinggalah negara ini menjadi ekonomi kedua terbesar dunia.

Namun kini, sesetengah pakar yakin bahawa era pertumbuhan pesat China sudah sampai ke penghujungnya.

China berdepan dengan beberapa masalah, termasuklah peralihan dan cabaran demografi.

Pada tahun 1980, jumlah penduduknya mencecah hampir satu bilion.

Muncul isu kekurangan makanan dan perumahan.

Jika anda masih ingat, untuk menangani cabaran itu, dasar satu anak dilaksanakan.

Ini dianggarkan menghalang sekitar 400 juta kelahiran.

Bagaimanapun ekoran munculnya masalah penduduk yang semakin menua dan tenaga kerja yang berkurangan, China menamatkan dasar satu anak pada 2016.

Sekalipun demikian, kadar kelahiran di China menjunam, mencapai paras terendahnya pada tahun 2022 dan 2023.

Kini, China malah bukan lagi negara dengan jumlah paling ramai penduduk di dunia.

India sudah mengambil alih gelaran itu.

Cabaran demografi yang dihadapi China ternyata mengancam tenaga kerjanya yang menjadi pemacu ekonomi negara.


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa menjelang tahun 2040, hampir satu daripada setiap tiga orang di tanah besar China akan berusia sekurang-kurangnya 60 tahun.

Ini bermakna lebih 400 juta warga emas.

Untuk menangani cabaran itu, ia mengambil langkah menaikkan usia persaraan bagi tempoh 15 tahun akan datang.

Tetapi ia bukan sekadar tentang ekonomi atau menyokong khidmat sosial.

Sedang penduduknya menua, begitu juga ketenteraannya, dan ini boleh menjejas kuasa strategik China.

Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) mempunyai angkatan tentera aktif terbesar di dunia, dengan lebih dua juta anggota.

Untuk mengekalkan statusnya, PLA perlu merekrut ratusan ribu askar baharu setiap tahun.

Pelbagai langkah diambil untuk menambah jumlah kakitangannya - daripada melonggarkan had usia, hinggalah menurunkan syarat-syarat pendidikan dan syarat ketinggian individu.

Bagaimana pula dengan kekuatan nuklearnya?

China dianggarkan memiliki lebih 500 senjata nuklear.

Bekalannya tumbuh pantas berbanding mana-mana negara sejak ia mula membangunkan senjata nuklearnya pada tahun 1960an.

Tetapi jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan Rusia, China masih jauh ketinggalan.

Bilangan kapal selam yang dimilikinya bagaimanapun hampir setara dengan Amerika.

China mempunyai armada kapal selam ketiga terbesar di dunia... sebanyak 61 kapal selam hari ini.

Satu pencapaian yang hebat memandangkan ia tidak mempunyai sebarang kapal selam 75 tahun yang lalu.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan