Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: Sebab pengundi 7 negeri jadi penentu Presiden Amerika Syarikat

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Sebab pengundi 7 negeri jadi penentu Presiden Amerika Syarikat

(Gambar: AFP/Brendan SMIALOWSKI, Ian Maule)

Diterbitkan : 04 Nov 2024 10:49PM Dikemas Kini : 04 Nov 2024 10:53PM
WASHINGTON: Pemenang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 5 November akan mentadbir negara yang mempunyai lebih 330 juta penduduk. Bagaimanapun, pertandingan itu hampir pasti akan diputuskan oleh hanya puluhan ribu pengundi di segelintir negeri.

Ini kerana hanya tujuh daripada 50 negeri yang menyaksikan persaingan hebat.

Selebihnya berada dalam genggaman selesa memilih Democrat atau Republican, menurut tinjauan pendapat awam.

Dalam kalangan tujuh negeri penentu itu, Pennsylvania, yang paling ramai penduduk, menonjol sebagai negeri yang paling berkemungkinan untuk menentukan sama ada calon Democrat, Cik Kamala Harris atau calon Republican, Encik Donald Trump, akan membolot mandat menerajui Amerika seterusnya.

Strategi calon mencerminkan realiti ini, dengan sebahagian besar perbelanjaan iklan dan acara kempen mereka ditujukan kepada tujuh negeri yang boleh bertukar sokongan kepada parti politik.

KENAPA PILIHAN RAYA TIDAK DIPUTUSKAN UNDI POPULAR?

Tidak seperti pilihan raya lain, Pilihan Raya Presiden tidak berdasarkan undi popular semata-mata.

Sebaliknya, di bawah sistem yang dikenali sebagai badan perwakilan pemilih (Electoral College), calon yang menang di setiap negeri, serta Washington DC, menerima undi pilihan raya negeri itu, yang sebahagian besarnya berdasarkan penduduknya.

Seorang calon perlu memenangi majoriti 538 undi atau sekurang-kurangnya 270 undi, yang mungkin berlaku walaupun beliau kehilangan keseluruhan undi nasional seperti yang dihadapi Encik Trump ketika memenangi Rumah Putih pada 2016.

Sekiranya berlaku seri 269-269, Dewan Perwakilan Amerika akan memilih pemenang, dengan setiap delegasi negeri mendapat satu undian – senario yang menurut penganalisis mungkin akan memihak kepada mantan Presiden Trump.

Jika setiap negeri selain daripada medan pertempuran mengundi seperti yang dijangkakan, itu akan memberikan Naib Presiden Cik Harris sebanyak 226 undi dan Encik Trump sebanyak 219 undi, dengan baki 93 undi untuk direbut.

TUJUH NEGERI 'MEDAN TEMPUR'

Tujuh negeri yang boleh menjadi penentu itu ialah Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin serta Arizona, Georgia, Nevada dan North Carolina.

Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin telah menjadi kubu Democrat untuk satu generasi.

Namun, pada 2016, Encik Trump hampir memenangi ketiga-tiga negeri itu ketika menentang calon Democrat Cik Hillary Clinton.

Empat tahun kemudian, Encik Joe Biden memenangi jawatan presiden selepas menawan semula Michigan, Wisconsin dan Pennsylvania untuk Democrat yang turut mencatatkan kemenangan mengejut di Georgia dan Arizona, dua negeri yang secara sejarah mengundi Republican.

Sehingga 3 November, tinjauan pendapat awam oleh New York Times menunjukkan kesemua tujuh negeri medan pertempuran berada dalam pertarungan sengit.

Pennsylvania mempunyai 19 undi perwakilan, iaitu lebih banyak berbanding negeri 'medan tempur' yang lain.

Justeru, ia dilihat berpotensi menjadi negeri penentu sama ada Cik Kamala atau Encik Trump yang akan melangkah ke Rumah Putih.

Bahkan, kempen kedua-dua pihak dilaporkan telahmemberi tumpuan kepada Pennsylvania sebagai negeri paling penting.
Sumber : Reuters/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan