jelasBERITA: Rancangan kewarganegaraan 2 negara Indonesia raih sokongan diaspora, namun adakah ia cukup untuk pikat mereka pulang?
Selama dua dekad, Amerika Syarikat menjadi tempat tinggal warga Indonesia Vivi Fajar, suaminya dan tiga anak mereka.
Logo Direktorat Jenderal Imigrasi Indonesia di sebuah pejabat imigresen di Jakarta, Indonesia. (Gambar: CNA/Ridhwan Siregar)
- Pemerintah Indonesia mencadangkan skim dua kewarganegaraan terhad untuk menarik balik diaspora berbakat seperti saintis, doktor, jurutera dan atlet.
- Cadangan diumumkan Presiden Prabowo pada 14 Ogos, namun butiran pelaksanaan dan kelayakan masih dikaji serta memerlukan kelulusan parlimen.
- Ramai warga Indonesia di luar negara menyambut baik usulan ini, tetapi mahukan ketelusan, kriteria jelas dan perlindungan hak asasi.
- Pakar dan organisasi menegaskan dasar harus adil, tidak terlalu subjektif, dan mempertimbangkan juga hak anak hasil perkahwinan campur serta warga diaspora bukan berasaskan bakat sahaja.
Namun, beliau tidak pernah benar-benar berfikir untuk memohon kewarganegaraan Amerika Syarikat sehinggalah muncul suatu berita baru-baru ini bahawa Indonesia sedang mempertimbangkan satu skim baharu yang membenarkan dua kewarganegaraan secara terhad bagi warga Indonesia yang memiliki “bakat” tertentu yang diperlukan negara itu – termasuk saintis, doktor, jurutera, pakar kecerdasan buatan (AI), penyelidik, usahawan, seniman dan atlet, khususnya pemain bola sepak.
Bagi Cik Vivi, suaminya yang juga merupakan seorang warga Indonesia serta tiga anak mereka yang berusia sembilan, 12 dan 14 tahun, skim itu berpotensi memberi lebih banyak pilihan kepada keluarganya untuk mengekalkan hubungan erat dengan negara asalnya sambil menikmati manfaat sebagai warga Amerika Syarikat.
Meskipun beliau tidak pasti sama ada dirinya layak dianggap sebagai “bakat luar biasa”, Cik Vivi berharap pekerjaannya sebagai pentadbir insurans dan kerjaya suaminya sebagai jurutera sofwe mungkin membuka peluang bagi keluarganya untuk dipertimbangkan.
“Saya teruja tetapi masih berhati-hati dan menantikan butiran mengenai yuran, cukai dan perkara lain,” kata Cik Vivi, yang menetap di California tetapi masih mengekalkan kewarganegaraan Indonesia.
“Indonesia mempunyai diaspora yang jumlahnya mencecah jutaan orang. Antaranya ialah saintis, doktor, jurutera, pakar kecerdasan buatan, penyelidik, usahawan, seniman dan atlet yang cemerlang, khususnya pemain bola sepak, serta karyawan bertaraf dunia,” kata Encik Prabowo.
“Sebahagian daripada mereka terpaksa mengambil kewarganegaraan lain atas keperluan kerjaya, pertimbangan keluarga atau pekerjaan mereka di luar negara. Kita tidak seharusnya memaksa bakat terbaik Indonesia memilih antara peluang untuk mengembangkan kerjaya di persada dunia dengan hubungan mereka dengan tanah air.”
Undang-undang Indonesia ketika ini tidak mengiktiraf kewarganegaraan bagi dua negara untuk orang dewasa. Golongan bawah umur yang memiliki dua pasport pula perlu memilih kewarganegaraan apabila mencapai usia 18 tahun, dengan tempoh kelonggaran wajib selama tiga tahun, sehingga usia 21 tahun.
Para anggota diaspora Indonesia yang ditemui Mediacorp secara umumnya menyambut baik usulan tersebut, namun mahukan lebih banyak butiran dan ketelusan berhubungan rancangan itu.
Pemerintah masih mengkaji bagaimana dasar sedemikian boleh dilaksanakan.
“Ia baru dikemukakan sebagai satu idea, dengan permintaan supaya kita mengkajinya secara bersama. Kita belum sampai ke peringkat untuk menentukan bentuk skim tersebut,” kata Setiausaha Negara Prasetyo Hadi kepada para wartawan pada 15 Ogos.
Encik Prasetyo berkata sekalipun usulan tersebut akhirnya diluluskan, kewarganegaraan bagi dua negara akan diberikan secara terpilih dan tidak menjadi hak secara automatik kepada semua.
Usulan tersebut dibuat sedang Indonesia mencari cara untuk mendapatkan semula kepakaran warga Indonesia yang menetap di luar negara serta menangani kebimbangan berhubung kehilangan bakat kepada pasaran luar negara.
Tinjauan YouGov pada Februari tahun lalu mendapati 41 peratus Gen Z Indonesia dan 31 peratus golongan milenial sedang mempertimbangkan secara aktif untuk berpindah ke luar negara. Tinjauan tersebut melibatkan 2,003 responden lelaki dan wanita.
Satu lagi tinjauan melibatkan 1,000 responden oleh Populix sebulan kemudian mendapati 82 peratus responden muda yang mahu berhijrah menyatakan pendapatan lebih tinggi di luar negara sebagai faktor utama untuk berbuat demikian.
Pada tahun yang sama, tanda pagar #KaburAjaDulu, yang bermaksud “pergi sahaja dahulu”, menjadi tular di media sosial.
Menurut data Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia) yang dikeluarkan pada 2026, hampir 8,000 warga Indonesia memohon untuk melepaskan kewarganegaraan mereka dalam tempoh lima tahun, atau secara purata sekitar 1,600 orang setahun.
Kebanyakan daripada mereka merupakan karyawan muda dan pelajar berusia antara 25 hingga 35 tahun, dengan Singapura sebagai destinasi utama, diikuti Australia dan Amerika Syarikat. Singapura tidak membenarkan kewarganegaraan bagi dua negara, manakala Australia dan Amerika Syarikat membenarkannya.
Sebelum ini, Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia Sufmi Dasco Ahmad memberitahu para wartawan bahawa para penggubal undang-undang telah memproses permohonan kewarganegaraan bagi para atlet.
Semakin ramai anggota diaspora Indonesia, yang kebanyakannya dilahirkan di Belanda, menyertai pasukan bola sepak kebangsaan negara itu. Setakat Julai, sekitar 13 pemain yang diberi kewarganegaraan Indonesia beraksi dalam Liga Super, liga bola sepak profesional lelaki peringkat tertinggi negara itu.
Namun, menurut para penganalisis, usulan kewarganegaraan bagi dua negara secara terhad itu menimbulkan persoalan lebih luas mengenai siapa yang layak, sama ada dasar tersebut mampu mencapai matlamatnya dan sama ada ia mencukupi untuk memikat pulang bakat yang diperlukan negara.
Encik Prabowo pada 14 Ogos berkata pemerintah akan merangka dasar tersebut menerusi pendekatan yang terpilih dan terukur.
“Ini termasuk ... menjalankan penilaian integriti, menetapkan kewajipan dengan jelas serta menyediakan perlindungan sepenuhnya bagi keselamatan dan kepentingan negara,” kata beliau.
Namun, para pemerhati mempersoalkan bagaimana Indonesia akan memilih individu yang dianggap bernilai kepada negara, bagaimana bakat akan ditakrifkan dan sama ada nilai profesional atau ekonomi harus menentukan kelayakan seseorang untuk mendapat kewarganegaraan.
Usulan tersebut menjangkaui program Global Citizenship of Indonesia (GCI, Kewarganegaraan Global Indonesia) sedia ada, yang membolehkan bekas warga Indonesia dan individu yang mempunyai hubungan dengan Indonesia menetap di negara itu tanpa perlu mendapatkan semula kewarganegaraan Indonesia.
Di bawah skim GCI yang dilancarkan tahun lalu, warga asing yang mempunyai pertalian darah, kekeluargaan, sejarah atau hubungan erat dengan Indonesia akan diberikan permit kediaman tetap tanpa had tempoh, tanpa perlu menukar kewarganegaraan asing mereka.
Program tersebut dilancarkan untuk menangani perdebatan mengenai kewarganegaraan bagi dua buah negara. Namun setakat Februari, hanya 11 orang memohon untuk menyertainya, menurut Kementerian Imigrasi dan Pemasyarakatan Indonesia.
Penolong Profesor Undang-Undang Perlembagaan di Universiti Padjadjaran Bilal Dewansyah memberitahu Mediacorp bahawa jumlah permohonan yang rendah mungkin disebabkan oleh yuran permohonan yang tinggi, iaitu 34.8 juta rupiah (S$2,486.73), di samping hakikat bahawa program tersebut masih baharu.
Menurut Penolong Profesor Bilal, Indonesia pada dasarnya boleh menyediakan laluan bagi kategori individu tertentu untuk memiliki dua kewarganegaraan.
Namun, beliau memberi amaran bahawa sistem berdasarkan bakat mungkin bercanggah dengan prinsip asas kewarganegaraan Indonesia jika ia mengetepikan warga Indonesia yang memperolehi kewarganegaraan melalui keturunan hanya kerana pekerjaan mereka tidak memenuhi kriteria “bakat luar biasa”.
Di bawah undang-undang Indonesia ketika ini, anak-anak daripada perkahwinan campur boleh memiliki dua kewarganegaraan secara terhad, tetapi akhirnya perlu memilih satu kewarganegaraan apabila mereka mencapai usia 21 tahun.
“Golongan ini juga harus diberi peluang untuk memiliki dua kewarganegaraan,” kata Profesor Bilal.
“Kewarganegaraan Indonesia mereka diperolehi sejak lahir berdasarkan prinsip 'ius sanguinis', yang menjadi asas penting undang-undang kewarganegaraan Indonesia sejak kemerdekaan.”
'Ius sanguinis' merupakan istilah Latin yang bermaksud “hak berdasarkan keturunan” dan merujuk kepada prinsip undang-undang yang menentukan kewarganegaraan seseorang anak berdasarkan keturunan atau kewarganegaraan ibu bapanya, dan bukan tempat kelahirannya.
Profesor Bilal berkata mereka daripada golongan tersebut yang memperolehi dua kewarganegaraan harus diberikan hak sivil, ekonomi, sosial dan budaya yang sama, tetapi beberapa sekatan politik perlu dikenakan.
“Sebagai contoh, mereka yang memiliki dua kewarganegaraan boleh dilarang daripada memegang jawatan politik tertentu di peringkat nasional, seperti jawatan presiden atau menjadi Anggota Parlimen.”
Saintis politik Nicky Fahrizal dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) turut berkata sebarang pengelasan perlu memenuhi kriteria dan prosedur undang-undang yang jelas.
“Perlu ada peraturan lebih khusus bagi mereka yang benar-benar mahu memiliki pasport Indonesia, supaya keputusan mereka menjadi warga Indonesia tidak sia-sia,” kata Encik Nicky.
“Kita tidak mahu mereka merasakan bahawa keputusan itu sia-sia kerana mereka membuat pilihan berdasarkan tawaran tertentu, tetapi apabila tiba di Indonesia, keadaan sebenar tidak seperti yang dijanjikan.”
Namun, Indonesian Diaspora Network (IDN-Global) menyatakan, kewarganegaraan bagi dua buah negara akhirnya harus ditawarkan dengan lebih meluas.
Presiden IDN-Global Nathalia Widjaja berkata pendekatan yang hanya tertumpu kepada bakat tertentu boleh menyebabkan sebahagian besar diaspora Indonesia menjadi tidak layak.
“Kewarganegaraan bagi dua negara harus mencerminkan semangat keterangkuman dan bukannya mewujudkan perbezaan taraf dalam kalangan warga Indonesia,” kata beliau.
Persatuan Perkahwinan Campur Indonesia (PERCA, Organisasi Perkahwinan Campuran Indonesia) turut menyuarakan kebimbangan yang serupa.
Pengerusinya Rulita Anggraini berkata anak-anak hasil perkahwinan campur yang mempunyai ibu atau bapa warga Indonesia harus menjadi antara golongan pertama yang dipertimbangkan sekiranya Indonesia mahu memperluaskan kewarganegaraan bagi dua negara kepada golongan dewasa.
Beliau berkata golongan tersebut harus diberikan dua kewarganegaraan tanpa mengira pekerjaan kerana “rangka kerja kewarganegaraan Indonesia pada asasnya berdasarkan keturunan atau pertalian darah, dan ini harus kekal sebagai pertimbangan utama dalam menentukan dasar kewarganegaraan”.
“Berbeza dengan sistem berasaskan bakat, keturunan menyediakan asas yang objektif bagi kewarganegaraan dan kurang terdedah kepada tafsiran subjektif atau kemungkinan disalahgunakan demi kepentingan tertentu,” tambah beliau.
Menurutnya, jika kewarganegaraan bagi dua negara diberikan berdasarkan bakat atau kepakaran tertentu mengikut budi bicara pihak berkuasa, sistem itu boleh menjadi subjektif, mementingkan untung rugi dan berat sebelah.
“Ia boleh menjadi subjektif kerana takrifan mengenai apa yang dianggap strategik atau diperlukan bergantung kepada pihak yang membuat penilaian.”
Beliau berkata pemerintah harus terlebih dahulu menjalankan kajian yang teliti dan menyeluruh berdasarkan prinsip kesaksamaan dan hak asasi manusia, dan bukan pertimbangan yang subjektif, mementingkan untung rugi atau bersifat berat sebelah.
DIASPORA SAMBUT BAIK USULAN TERSEBUT, MAHUKAN LEBIH BANYAK BUTIRAN
Bagi warga Indonesia yang menetap di luar negara, kemungkinan untuk mengekalkan kewarganegaraan Indonesia di samping kewarganegaraan negara lain menawarkan beberapa manfaat praktikal.
Cik Vivi yang menetap di California berkata kewarganegaraan bagi dua negara juga mungkin mempengaruhi rancangan jangka panjang keluarganya.
Meskipun beliau dan suaminya kini mahu bersara di Amerika Syarikat supaya dapat tinggal berdekatan dengan anak-anak mereka yang masih bersekolah, Cik Vivi lebih terbuka untuk menetap di Indonesia pada masa depan sekiranya anak-anaknya boleh bekerja atau memulakan perniagaan di ekonomi terbesar Asia Tenggara itu sambil memegang dua kewarganegaraan.
“Pasport Indonesia membolehkan kami keluar masuk dan menetap di Indonesia serta memiliki hartanah atau perniagaan di sana. Jadi kami boleh menikmati semua manfaat berkaitan Indonesia ... manakala pasport asing, misalnya pasport Amerika Syarikat, membolehkan kami melancong ke kebanyakan negara tanpa visa dan menikmati manfaat sebagai warga Amerika Syarikat,” kata Cik Vivi, 43 tahun.
Warga Indonesia Santi Annewan yang menetap di Brisbane, Australia, turut berkongsi pandangan serupa.
Selepas bekerja sebagai ahli psikologi di Australia selama sekitar 15 tahun, beliau keberatan untuk kembali bekerja di Indonesia kerana suami dan dua anaknya yang berusia 12 dan 13 tahun merupakan warga Australia.
Namun, rancangan bagi dua kewarganegaraan itu boleh memudahkannya untuk membuka perniagaan di Indonesia dan terus berpangkalan di luar negara. Ini kerana urusan membangunkan perniagaan, termasuk cukai dan pentadbiran, mungkin menjadi lebih mudah jika beliau memiliki kewarganegaraan Indonesia dan Australia.
“Saya tahu dalam bidang kesihatan mental yang saya ceburi, khidmat seperti ini amat diperlukan di kedua-dua negara kerana saya melihat permintaan yang tinggi daripada warga Indonesia dan Australia,” kata Cik Santi, yang berusia dalam lingkungan 40-an.
“Dengan mengambil kira beberapa anggota keluarga saya di Indonesia yang memiliki klinik psikologi mereka sendiri, kerjasama perniagaan antara kedua-dua negara ini mungkin menjadi lebih berdaya maju pada masa depan.”
Sementara itu, seorang saintis Indonesia berkelulusan PhD yang menetap di Basel, Switzerland, dan mahu dikenali sebagai Miranda Senja, berkata beliau ragu-ragu sama ada usulan tersebut akan dilaksanakan.
Namun, beliau mengalu-alukan peluang untuk mengekalkan kewarganegaraan Indonesia sambil memegang pasport Switzerland.
Menurutnya, memiliki kedua-dua pasport akan mendatangkan banyak kelebihan, khususnya bagi perjalanan antarabangsa dan ketika pulang ke Indonesia kerana tidak perlu menguruskan keperluan visa.
Dr Miranda menyokong langkah untuk mengehadkan kelayakan kepada mereka yang mempunyai kemahiran yang diperlukan Indonesia. Namun, beliau berkata kriteria tersebut harus ditetapkan berdasarkan data, termasuk sektor-sektor yang mengalami kekurangan bakat.
“Saya rasa ia harus dilakukan berdasarkan data. Saya tidak fikir ini merupakan satu perdebatan yang bersifat idealistik,” kata wanita berusia 43 tahun itu.
USULAN UNTUK MENANGANI PENGHIJRAHAN BAKAT?
Menurut laman Global Economy, yang memberi tumpuan kepada data ekonomi dunia, Indeks Penghijrahan Manusia dan Penghijrahan Bakat Indonesia berada pada 5.4 pada 2024, lebih tinggi berbanding purata dunia 4.98 berdasarkan data daripada 176 negara.
Skor sifar bermakna tiada penghijrahan bakat berlaku, manakala skor 10 menunjukkan penghijrahan bakat yang serius.
Ferdiano Pradipta Salim, 34 tahun, yang mengetuai bidang e-dagang dan perdagangan sosial di sebuah syarikat penjagaan kesihatan di Jakarta, yang pernah belajar dan menetap di Singapura, berkata tawaran kewarganegaraan perlu disertai prospek pekerjaan dan taraf kehidupan yang lebih baik.
“Tidak cukup sekadar berkata, ‘Pulanglah dan jadilah warga Indonesia semula’,” kata beliau.
“Anda perlu menawarkan pekerjaan dan peluang kerjaya yang menarik.”
Usahawan Aditya Lesmana, 40 tahun, yang mengendalikan pasaran automotif Carro di Jakarta dan Singapura, berkata isu kewarganegaraan lazimnya tidak menjadi hambatan utama bagi anggota diaspora yang menjalankan perniagaan.
“Kebanyakan diaspora mempunyai pilihan untuk tidak pulang,” kata beliau. “Jika Indonesia mahu mereka kembali, negara itu perlu memberi sebab yang cukup kukuh untuk mereka memilih Indonesia.”
Daripada mewajibkan anggota diaspora untuk berpindah kembali secara fizikal, beliau berpendapat Indonesia harus memudahkan mereka menyumbang dari luar negara menerusi pelaburan, teknologi, kepakaran dan rangkaian antarabangsa.
Perdebatan tersebut juga berlaku sedang Indonesia mencuba satu lagi pendekatan untuk menjalin semula hubungan dengan diasporanya.
Jumlah permohonan yang rendah bagi GCI, program yang menawarkan hak menetap tanpa had kepada warga asing yang layak, menimbulkan persoalan sama ada hak menetap sahaja mencukupi untuk memikat mereka yang sudah membina kehidupan di luar negara.
Usulan kewarganegaraan bagi dua negara mungkin berdepan ujian serupa – sama ada manfaat yang ditawarkan cukup besar untuk mempengaruhi keputusan berhubung tempat tinggal, bekerja dan melabur, menurut para penganalisis.
Buat masa ini, pemerintah masih belum memutuskan persoalan paling asas berhubung kelayakan bagi usulan tersebut.
Setiausaha Negara Prasetyo berkata usulan itu memerlukan kajian lanjut secara bersama dan perlu mendapatkan kelulusan parlimen.
“Apa yang pasti, jika kita bersama-sama bersetuju dengannya, ia akan dilaksanakan menerusi proses pemilihan yang ketat,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.