Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Pilihan raya pertengahan penggal Amerika - Apakah kuasa Trump terhadap Asia kini terbatas?

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tidak bertanding dalam pilihan raya pertengahan penggal, namun beliau sebelum ini menggesa rakyat Amerika Syarikat supaya mengundi seolah-olah beliau sendiri adalah calon yang bertanding dalam pilihan raya berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Pilihan raya pertengahan penggal Amerika - Apakah kuasa Trump terhadap Asia kini terbatas?

Presiden Donald Trump di Pusat Sivik Memorial Lubbock, Texas, pada Selasa, 27 Oktober 2026. (Gambar: AP/Alex Brandon)

Diterbitkan : 04 Nov 2026 11:27PM
jelasBERITA: US midterm elections – Is Trump’s power over Asia now limited?
  • In the US midterm elections, the Democratic Party took 21 seats in the House of Representatives and seven Senate seats, defeating the Republicans led by President Donald Trump.
  • Voters’ dissatisfaction with the economy, the cost of living and foreign policy, particularly the war in Iran and energy prices, contributed to the Democrats’ sweeping victory.
  • The new majority allows the Democrats to scrutinise Trump’s actions, control spending and block appointments, but their failure to secure a two-thirds majority means the president retains broad powers over foreign policy.
  • Asia is not expected to feel an immediate impact. Uncertainty remains over dialogue with North Korea, tariffs and relations with China, while regional countries are advised to continue working with Washington on security, rare earth minerals and supply chains.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tidak bertanding dalam pilihan raya pertengahan penggal, namun beliau sebelum ini menggesa rakyat Amerika Syarikat supaya mengundi seolah-olah beliau sendiri adalah calon yang bertanding dalam pilihan raya berkenaan.

Keputusannya jelas: Parti Democrat berjaya menawan kedua-dua dewan Kongres daripada Parti Republican pimpinan beliau.

Pilihan raya tersebut pada dasarnya menjadi pungutan suara terhadap dasar-dasar Encik Trump. Para pengundi tidak berpuas hati dengan cara beliau menguruskan ekonomi serta isu-isu berkaitan seperti kos sara hidup. Rasa tidak puas hati terhadap dasar luar Encik Trump, khususnya perang di Iran dan kesannya terhadap harga tenaga, turut menyebabkan para pengundi menjauhkan diri daripada calon Parti Republican.

Kekecewaan itu bukan sekadar mencetuskan 'tsunami biru' Parti Democrat, malah membawa kepada kemenangan besar kepada parti tersebut meskipun Republican cuba menyusun semula strategi dan sempadan pilihan raya.

Parti Democrat memerlukan penambahan tiga kerusi yang dikuasai Parti Republican di Dewan Perwakilan dan empat kerusi di Senat untuk memperoleh majoriti.

Ketika artikel ini pertama kali ditulis, Democrat sudah merampas 21 kerusi Dewan Perwakilan dan tujuh kerusi Senat daripada Republican.

ADAKAH TRUMP AKAN MENJADI PRESIDEN YANG LEBIH AGRESIF?

Secara teori, Democrat kini mempunyai kuasa untuk menyekat agenda domestik Encik Trump. Hal tersebut sekali gus membataskan kuasa Encik Trump sepanjang baki tempoh pentadbirannya.

Dengan majoriti di Dewan Perwakilan, Democrat dapat memantau rang undang-undang perbelanjaan utama dan meneliti tindakan Encik Trump.

Dengan menguasai Senat pula, Democrat juga dapat menghalang pengesahan calon-calon yang dinamakan Encik Trump untuk menyandang jawatan penting dalam pemerintah persekutuan.

Bagaimanapun, Encik Trump sebelum ini menunjukkan kesediaan untuk mengetepikan kelaziman politik demi mencapai matlamatnya.

Pada 2019, apabila Kongres yang dikuasai Democrat enggan menyediakan pembiayaan penuh bagi pembinaan tembok sempadan di selatan Amerika Syarikat, beliau mengisytiharkan perintah darurat dan menyalurkan dana daripada peruntukan lain untuk meneruskan projek tersebut.

Justeru, daripada menjadi presiden yang terbatas kuasanya, Encik Trump mungkin menjadi seorang pemimpin yang lebih agresif, menggunakan kuasa veto dan pengaruh jawatannya untuk melancarkan pertarungan politik.

SEJAUH MANA KONGRES BOLEH MENGEKANG DASAR LUAR TRUMP?

Rancangan dasar luar Encik Trump mungkin menjadi tanda tanya terbesar.

Presiden Amerika Syarikat diberikan budi bicara yang luas dalam dasar luar, membolehkan mereka bertemu dengan pemimpin asing dan bahkan melancarkan serangan ketenteraan terhad tanpa kelulusan Kongres.

Presiden-presiden terdahulu pernah menggunakan kuasa tersebut.

Sebagai contoh, meskipun Democrat menang pilihan raya pertengahan penggal pada 2006, Presiden ketika itu, George W Bush, tetap meneruskan pelan kontroversialnya untuk menambah jumlah tentera Amerika Syarikat di Iraq pada 2007.

Keupayaan Kongres untuk menyekat tindakan presiden adalah terhad tanpa majoriti dua pertiga di kedua-dua dewan. 

Kemenangan besar Democrat dalam pilihan raya pertengahan penggal kali ini tidak memberikan mereka majoriti tersebut.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai perang di Iran yang semakin memuncak, atau bahkan tercetusnya konflik di Cuba.

APAKAH MAKNA KEPUTUSAN PILIHAN RAYA INI BAGI ASIA?

Bagi Asia, pilihan raya tersebut dijangka tidak membawa kesan serta-merta.

Dalam menghadapi kekangan domestik dan kemungkinan tindakannya diteliti Kongres, Encik Trump mungkin cuba memperkukuh legasi diplomatiknya dengan mengusahakan dialog bersama Korea Utara. Namun, langkah itu boleh menimbulkan kebimbangan di Korea Selatan.

Bagaimanapun, Pyongyang nampaknya tidak berminat untuk mengadakan dialog sedemikian.

Amerika Syarikat juga mungkin meneruskan ancamannya untuk mengenakan tarif tambahan terhadap rakan-rakan dagang yang dikatakan terlibat dalam apa yang disifatkan Washington sebagai "penipuan penghantaran semula", iaitu tindakan menyalurkan barangan China melalui negara lain bagi mengelakkan tarif Amerika Syarikat.

Siasatan tarif di bawah Seksyen 301 terhadap beberapa ekonomi Asia berhubung lebihan kapasiti pengeluaran industri juga masih diteruskan. Sebarang usaha untuk mencabar langkah tersebut melalui perundangan akan mengambil masa.

Terdapat juga ketidaktentuan berhubung kesan pilihan raya tersebut terhadap hubungan Amerika Syarikat-China.

Dua pertemuan yang dijadualkan antara Encik Trump dengan Presiden China Xi Jinping akan diadakan sebelum Dewan Perwakilan kembali bersidang pada Januari 2027. Oleh itu, kemungkinan berlaku gangguan menerusi proses perundangan adalah rendah.

Sekalipun demikian, sebelum Kongres yang dikuasai Democrat cuba memainkan peranan lebih besar dalam hubungan yang disebut sebagai "kestabilan strategik yang membina", parti tersebut terlebih dahulu perlu menyelesaikan perdebatan dalaman mengenai pendiriannya terhadap dasar berkaitan China.

Namun, keadaan di Washington yang menyaksikan kuasa pemerintah dan Kongres dikuasai parti yang berbeza tidak seharusnya menjadi alasan bagi pemerintah negara-negara serantau untuk kurang mendampingi Amerika Syarikat.

Kepentingan keselamatan negara Amerika Syarikat, khususnya berkaitan unsur nadir bumi dan rantaian bekalan, tidak akan berubah sekelip mata.

Ia merupakan langkah yang lebih bijak untuk terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama dan membina kepercayaan, daripada menangguhkan kerjasama sementara menunggu presiden baharu dipilih.

*Rencana bertajuk 'Snap Insight: US midterms – what an angry ‘lame duck’ president could mean for Asia' diterbitkan oleh CNA pada 4 Nov.

Kevin Chen ialah Zamil Penyelidik Bersekutu bagi Program Amerika Syarikat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura.

Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita