Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: Pilihan Raya India libatkan 969 juta pengundi, 2,600 parti dan 6 minggu

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Pilihan Raya India libatkan 969 juta pengundi, 2,600 parti dan 6 minggu

(Gambar: AFP/R. Satish BABU)

Diterbitkan : 19 Apr 2024 12:41PM Dikemas Kini : 28 Apr 2024 06:47PM
MUMBAI: Negara paling ramai penduduk di dunia sedang bersiap sedia untuk keluar mengundi, dengan calon BJP Narendra Modi sebagai calon pendahulu dalam undian yang berakhir pada 1 Jun.

India, yang mempunyai lebih 1.4 bilion penduduk akan memulakan pilihan raya pada 19 April.

Disebabkan saiz negara yang sangat besar, undian tidak dijalankan sehari sahaja, namun diadakan dalam tujuh fasa di wilayah berbeza, selama enam minggu lapor  The Guardian.

Prosesnya akan menggunakan mesin-mesin elektronik di lebih sejuta pusat mengundi dan Suruhanjaya Pilihan Raya India akan mengerahkan 15 juta orang untuk mengawasi operasi tersebut.

Undian akan ditutup pada 1 Jun dan keputusan akhir akan dikira dan diisytiharkan pada 4 Jun.

MENGAPA IA PENTING?

Kali ini, India mempunyai 969 juta pengundi yang layak, iaitu lebih daripada 10% penduduk dunia. Mereka mewakili jumlah pengundi terbesar dan merangkumi 18 juta pengundi kali pertama.

Lebih 2,600 parti politik mendaftar dalam pilihan raya kali ini. Menurut sebahagian besar penganalisis dan tinjauan politik, calon pendahulu adalah Perdana Menteri India, Narendra Modi, dan parti Bharatiya Janata (BJP) beliau, yang berkuasa sejak 2014, dan sedang berusaha untuk memerintah bagi penggal ketiga.

Masar parti nasionalis Hindu Encik Modi dan pemerintah BJP dilihat sebagai sudah merubah landskap politik dan budaya India sepanjang sedekad lalu.

Ia dilihat sudah beralih daripada sekuralisme yang termaktub dalam perlembagaan negara, yang memastikan kesaksamaan untuk semua agama, kepada sistem pemerintahan majoriti Hindu.

Sebagai negara paling ramai penduduk dunia, serta salah satu ekonomi yang berkembang pesat, keputusan pilihan raya tersebut juga akan memberi kesan di peringkat antarabangsa.

Menurut laporan  The Guardian, India sudah menjadi rakan yang semakin penting bagi negara lain termasuk Britain, Amerika Syarikat dan Perancis, di mana mereka menandatangani perjanjian baru-baru ini dan menjalin hubungan yang lebih erat dengan Delhi untuk mengimbang balas China.

KENAPA KEMUNGKINAN BESAR BJP AKAN MENANG?

BJP yang dipimpin Encik Modi sudah menguasai majoriti parlimen selepas ia menyapu bersih pilihan raya 2019, dengan memenangi 303 kerusi, manakala undian untuk rakan-rakan gabungannya menjadikan jumlah keseluruhan kerusi kepada 352.

Kali ini, parti itu sungguh yakin dapat meraih kemenangan sehingga ia menyasarkan perikatan dipimpin BJP untuk menang lebih 400 kerusi daripada 543 kerusi di parlimen.

BJP juga mempunyai operasi akar umbi yang luas dan tersusun oleh aktivis dan sukarelawan dan mempunyai alat propagandanya sendiri. Ia disebarkan melalui media sosial dan aplikasi mesej seperti WhatsApp, di mana dalam pilihan raya sebelum ini mereka dituduh menyebarkan maklumat palsu pada skala besar.

Parti tersebut juga lebih kaya berbanding parti lain dan mempunyai sumber kewangan yang jauh lebih besar untuk dibelanjakan dalam pilihan raya.

Pada pilihan raya 2019, dianggarkan BJP membelanjakan hampir 418 bilion rupee (S$7.8 bilion), sperti dinukil laporan  The Guardian.

APAKAH FAKTOR MODI?

Agenda nasionalis Hindu Encik Modi berjaya meraih sokongan sebahagian besar daripada 80 peratus majoriti rakyat India beragama Hindu.

Ini seringkali membolehkan Encik Modi mengatasi halangan kasta dan kelas bersifat tradisional untuk meraih undi daripada masyarakat miskin, mereka yang di luar bandar dan kasta terendah selain pengundi bandar yang kaya dan daripada kalangan kelas pertengahan yang semakin meningkat.

BAGAIMANA DENGAN PIHAK PEMBANGKANG?

Selama 10 tahun lalu, parti pembangkang India sering berdepan serangan daripada agensi pemerintah yang berkuasa, sehingga melemahkan mereka.

Puluhan tokoh pembangkang disiasat atau diberkas berkaitan kes kewangan dan rasuah yang didakwa bermotif politik.

Usaha pemerintah untuk membanteras pihak pembangkang semakin meningkat apabila Arvind Kejriwal, Ketua Menteri Delhi dan salah seorang pemimpin utama dalam gabungan India, diberkas pada Mei berkaitan kes rasuah.

Beliau masih di dalam penjara. Pemerintah India menyangkal dakwaan ia mempunyai sebarang peranan dalam penahanan tersebut.
 

APA ISU UTAMA DALAM AGENDA BJP?

Di samping penekanan terhadap agama dan nasionalisme, fokus utama BJP adalah "Jaminan Modi ki", di mana Encik Modi mengutamakan pembangunan ekonomi, pembinaan prasarana dan mengeluarkan keluarga daripada kemiskinan, dalam kempennya.

Encik Modi mengadakan lawatan seluruh negara, di mana beliau mengumumkan projek prasarana bernilai berbilion rupee, termasuk lapangan terbang dan lebuh raya serta mempromosikan program kebajikan pemerintahannya, termasuk catuan makanan percuma, yang popular dalam kalangan pengundi miskin.

Sekalipun demikian, sedang ekonomi berkembang, sebahagian besar kekayaan itu kekal di bahagian teratas dan jurang antara golongan kaya dan miskin di India semakin meluas, lapor The Guardian.

ADAKAH PILIHAN RAYA DIJALANKAN SECARA ADIL?

Selama 75 tahun India meraih kemerdekaan, pilihan raya di negara itu secara amnya disifatkan sebagai bebas dan adil, meskipun terdapat tuduhan rasuah untuk mendapatkan undi.

Peratusan keluar mengundi biasanya tinggi, dengan 67 peratus dicatat pada 2019, dan keputusannya tidak dipertikaikan.

Walau bagaimanapun, ketika berkuasa selama sedekad lalu, pentadbiran Encik Modi dituduh pembangkang sebagai melaksanakan pelbagai langkah yang menjejas pilihan raya dan memihak kepada BJP.


Penangkapan Encik Kejriwal baru-baru ini dan pembekuan akaun Kongres menyebabkan Amerika, Jerman dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan kenyataan yang menggesa India supaya memastikan proses pilihan raya mereka "bebas dan adil".


APA MAKNANYA BAGI INDIA JIKA ENCIK MODI MEMERINTAH PENGGAL KETIGA?

Ramai yang percaya sekiranya BJP mengekalkan atau meraih lebih daripada majoriti kerusinya, ia akan mempercepatkan proses menguatkuasakan dasar asas agenda nasionalis Hindunya, seperti yang dilakukan parti tersebut pada 2019.

Ia juga akan memecahbelahkan masyarakat dengan lebih teruk berbanding sebelum ini.

Ini termasuk janji untuk melaksanakan kod sivil yang sama di seluruh negara. Ramai bimbang ia akan menghapuskan hak minoriti untuk mengamalkan agama dan budaya mereka dengan bebas.

Sekalipun demikian, kebimbangan utama oleh pembangkang terhadap sasaran BJP untuk meraih lebih 400 kerusi adalah ia akan memberi parti tersebut majoriti yang cukup untuk meminda perlembagaan sekularisme India.

Ini sekali gus secara rasmi menjadikan India negara yang berpegang kepada dasar yang mengutamakan Hindu.

Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan