jelasBERITA: Perhimpunan Agung PBB ke-80 bermula 23 Sep, ini yang perlu anda tahu
Perbahasan sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang dikenali secara tidak rasmi sebagai UNGA80 akan dibuka pada Selasa (23 Sep), berlangsung sehingga Sabtu.
Bendera PBB di New York. (Gambar fail: Ludovic Marin/AFP)
Tema tahun ini adalah "Better together: 80 years and more for peace, development and human rights" (Lebih baik bersama: 80 tahun dan lebih untuk keamanan, pembangunan dan hak asasi manusia).
Wakil dari semua 193 Negara Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – bersama-sama dengan dua delegasi Pemerhati – akan berucap dalam perbahasan umum pertubuhan itu, yang diadakan di Dewan Perhimpunan Agung yang ikonik.
Sementara itu, di sekitar kampus PBB, beberapa siri mesyuarat peringkat tinggi akan menangani beberapa cabaran paling mendesak yang dihadapi oleh manusia.
Dengan krisis global yang merangkumi peperangan dan perubahan iklim hingga ketaksamaan jantina dan dilema etika yang ditimbulkan oleh kecerdasan buatan, minggu peringkat tinggi ini lebih daripada sekadar tradisi.
Ia adalah detik penting untuk masyarakat antarabangsa merenung, mengulangi komitmen, dan membayangkan semula masa depan bersama.
Berikut adalah yang perlu anda iktui semasa UNGA80.
PERBAHASAN UMUM
Perbahasan umum, yang bermula pada 23 September, adalah tumpuan utama sesi Perhimpunan Agung bagi ramai pihak. Pemimpin dunia akan naik ke podium di hadapan Dewan Perhimpunan untuk menjelaskan keutamaan mereka kepada khalayak global.
Had masa nominal dan sukarela untuk setiap ucapan bagi membolehkan penjadualan 193+ penceramah yang cekap dalam tempoh enam hari adalah 15 minit, tetapi ia jarang dipatuhi sepenuhnya.
Secara tradisinya, Brazil berucap dahulu diikuti oleh Amerika Syarikat sebagai negara tuan rumah.
Presiden Perhimpunan Agung yang baharu, Annalena Baerbock, hanya wanita kelima dalam sejarah 80 tahun PBB yang memegang jawatan itu, akan mempengerusikan perbahasan.
HURAIAN 2 NEGARA
Huraian Dua Negara, iaitu rangka kerja yang dicadangkan untuk menyelesaikan konflik antara Israel dengan Palestin yang akan mewujudkan dua negara untuk dua bangsa, adalah “lebih jauh untuk dicapai berbanding sebelum ini” menurut Setiausaha Agung PBB yang berucap pada Julai 2025.
Huraian dua negara wujud sebelum konflik semasa di Gaza yang bermula pada Oktober 2023 berikutan serangan maut di selatan Israel oleh Hamas.
Dengan lebih 65,000 orang dilaporkan terbunuh di Gaza dan tebusan yang diambil di Israel masih dalam tahanan di wilayah itu, Negara Anggota PBB akan meneruskan rundingan mengenai huraian dua negara di sebuah persidangan antarabangsa di Ibu Pejabat PBB pada Isnin 22 September.
Persidangan itu adalah kesinambungan mesyuarat yang diadakan oleh Perhimpunan Agung PBB pada Julai 2025, di mana Israel mahupun Amerika Syarikat tidak mengambil bahagian.
PERINGATI 30 TAHUN PENGISYTIHARAN BEIJING
Pengisytiharan dan Platform Tindakan Beijing 1995, dianggap sebagai pelan tindakan paling progresif untuk mencapai kesaksamaan jantina dan memajukan hak-hak wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia.
Tiga dekad selepas pengisytiharan penting ini, walaupun terdapat beberapa kemajuan, UN Women, agensi khusus PBB yang menumpukan kepada isu jantina, menyatakan bahawa terdapat “tentangan yang semakin meningkat terhadap hak wanita", menurut laman PBB.
Pada 22 September, pemimpin dunia akan membincangkan Agenda Tindakan Beijing+30 yang bertujuan untuk mencapai perkara berikut untuk semua wanita dan kanak-kanak perempuan: revolusi digital, kebebasan daripada kemiskinan, sifar keganasan, kuasa membuat keputusan yang penuh dan sama rata, hak bersuara yang sama dalam hal keamanan dan keselamatan serta keadilan iklim.
IKLIM: BERDEPAN SUHU PANAS
Ketika dunia berjuang untuk mengekalkan kenaikan suhu di bawah 1.5 darjah Celsius yang dipersetujui di peringkat antarabangsa di atas paras praindustri, satu sidang puncak akan diadakan pada Rabu 24 September untuk menilai tahap dan skala krisis iklim yang membimbangkan di seluruh dunia.
Pemimpin dunia akan membentangkan rancangan tindakan iklim nasional baharu mereka, iaitu komitmen peringkat negara yang menggariskan langkah-langkah untuk menangani perubahan iklim.
“Ini adalah peluang kita,” kata Setiausaha Agung PBB António Guterres.
Sidang puncak itu juga akan mengumpulkan pemimpin dari pemerintah, perniagaan, dan masyarakat sivil, untuk mengemukakan idea bagi memacu tindakan merentasi mitigasi, penyesuaian, kewangan dan integriti maklumat.
Sidang puncak itu berlangsung menjelang persidangan perubahan iklim PBB yang penting, dikenali sebagai COP30, yang akan bermula di Brazil pada November.
KECERDASAN BUATAN
Kecerdasan Buatan atau AI mengubah dunia dengan pantas termasuk segala-galanya dari kereta pandu sendiri hingga analisis imej perubatan, dari pengurusan inventori untuk perniagaan hingga algoritma perdagangan kewangan dan dari pembantu maya hingga terjemahan bahasa masa nyata.
Sekalipun demikian, manfaat AI tidak sama rata, dan banyak negara bergelut untuk mengakses alat yang boleh mengubah masyarakat mereka dengan menyokong pembangunan dan meningkatkan kehidupan orang biasa.
Perkembangannya yang pesat sudah tentu membawa bersamanya pelbagai risiko dan cabaran, termasuk ancaman kepada ketepatan maklumat dan hak asasi manusia, contohnya pengawasan, menurut laman PBB.
Buat masa ini, tiada badan yang diiktiraf untuk mengawal selia AI di peringkat global, jadi pemimpin dunia berkumpul di New York pada 25 September untuk membincangkan rangka kerja untuk tadbir urus AI yang inklusif dan bertanggungjawab.
“Tanpa panduan yang mencukupi, AI boleh memburukkan lagi ketaksamaan dan jurang digital dan secara tidak seimbang menjejaskan mereka yang paling terdedah. Kita mesti merebut peluang bersejarah ini... untuk manfaat semua manusia,” kata Encik Guterres.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.