Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Mengapa usaha damai China dalam konflik Israel-Iran bukan sekadar tentang keamanan?

China menampilkan diri sebagai pengantara dalam konflik yang semakin memuncak antara Israel dengan Iran - namun para penganalisis berkata usaha diplomatiknya adalah untuk melindungi kepentingan negaranya sendiri di samping menjamin keamanan serantau.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa usaha damai China dalam konflik Israel-Iran bukan sekadar tentang keamanan?

Sistem pertahanan udara Israel melepaskan tembakan untuk memintas serangan peluru berpandu Iran ke atas Tel Aviv, Israel, pada 18 Jun 2025. (Gambar: AP/Leo Correa)

BEIJING/SINGAPURA: China menampilkan diri sebagai pengantara dalam konflik yang semakin memuncak antara Israel dengan Iran - namun para penganalisis berkata usaha diplomatiknya adalah untuk melindungi kepentingan negaranya sendiri di samping menjamin keamanan serantau.

Meskipun Beijing secara terbuka menyeru agar situasi ditenangkan, para penganalisis mengatakan bahawa beberapa faktor seperti kebergantungan kepada tenaga, hubungan strategik dengan Iran, persaingan geopolitik dengan Amerika Syarikat serta kebimbangan terhadap konflik lebih meluas yang boleh menjejaskan pelaburan dan prasarana China, menjadi pemacu utama usaha perdamaian tersebut.

Namun, meskipun hubungan ekonomi Beijing dengan Tehran dan rantau Timur Tengah semakin kukuh, pemerhati berpendapat bahawa pengaruh China yang terhad ke atas para pemain utama, khususnya Israel, menjadikan campur tangan yang bermakna sebagai tugas yang sukar dilakukan.

Mereka turut menambah bahawa walaupun China secara terbuka menyokong Tehran, ia tidak mungkin mengambil risiko untuk terlibat secara langsung dalam konflik itu bagi menyebelahi Iran. Tindakan sedemikian boleh mencetuskan ketegangan dengan Amerika Syarikat dan menjejas kedudukan China yang diatur dengan teliti sebagai aktor neutral di rantau tersebut.

“China akan terheret dalam konflik serantau yang membawa kesan global, sesuatu yang pasti tidak diingini oleh Beijing,” kata Andrea Ghiselli, pensyarah politik antarabangsa di Universiti Exeter.

“Ini adalah kedudukan yang sangat sukar bagi diplomasi China.”

Craig Singleton, zamil kanan China di Pertubuhan bagi Pertahanan Demokrasi (FDD), sebuah badan pemikir bebas di Amerika Syarikat yang memberi tumpuan kepada dasar luar dan keselamatan negara berkata situasi itu mendedahkan masalah yang lebih besar bagi Beijing.

“Krisis hari ini dan ketidakmampuan China untuk mempengaruhi hasilnya menyerlahkan jurang antara retorik kuasa besar Beijing dan jangkauan pengaruhnya yang terhad di Timur Tengah.”

PERANAN CHINA SEBAGAI PENDAMAI - ATAU TIDAK?

Konflik tercetus pada Jumaat (13 Jun) apabila Israel melancarkan serangan mengejut ke atas beberapa sasaran di Iran. Serangan yang digambarkan Israel sebagai tindakan “pencegahan awal” bagi menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear itu mendapat tindak balas segera dari Tehran, yang secara konsisten menafikan sebarang usaha membina senjata sedemikian.

Serangan balas antara kedua-dua pihak masih berterusan sehingga kini. Lebih 200 orang dilaporkan terbunuh, kebanyakannya orang awam.

China kini menyertai suara-suara antarabangsa yang semakin lantang, menyeru agar semua pihak menahan diri ketika kebimbangan meningkat bahawa rantau itu mungkin berada di ambang konflik yang lebih meluas.

Menteri Luar China, Wang Yi, mengadakan panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Israel dan Iran pada 14 Jun. Beliau memaklumkan bahawa China bersedia memainkan “peranan konstruktif” untuk meredakan ketegangan, menurut kenyataan Kementerian Luar China.
Related article image
Presiden China, Xi Jinping, menyatakan bahawa China bersedia untuk memainkan “peranan konstruktif” bagi memulihkan keamanan di Timur Tengah. (Gambar fail: AFP/Kirill Kudryavtsev)
Presiden China, Xi Jinping, mengulangi gesaan tersebut dalam satu kenyataan yang dilaporkan agensi berita Xinhua pada Selasa, menyeru agar ketegangan dikurangkan dengan segera.

Beliau menambah bahawa China “bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memainkan peranan membina dalam memulihkan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah”.

Beberapa laporan memberi tumpuan kepada kemungkinan China bertindak sebagai pengantara. Negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini aktif menampilkan kedudukannya sebagai pendamai global, berbeza daripada pengaruh Amerika Syarikat.

“China adalah pihak berkecuali dan boleh memainkan peranan penting sebagai pengantara,” kata Wang Huiyao, pengasas dan presiden badan pemikir Pusat China dan Globalisasi (CCG), kepada Mediacorp, sambil menekankan rekod “baik” China di Timur Tengah dan ketiadaan “beban sejarah”.

Beijing pernah menjadi pengantara perjanjian perpaduan Palestin di Gaza pada Julai 2024. Setahun sebelumnya, China turut menjadi pengantara kepada perjanjian damai bersejarah antara Arab Saudi dan Iran, bersama Iraq dan Oman, tanpa penglibatan langsung Amerika Syarikat atau Eropah.

Usaha terbaharu ini mencerminkan corak biasa dalam diplomasi China, iaitu menampilkan kedudukannya sebagai penenang dan pengantara, tanpa benar-benar terlibat secara langsung. Dalam konflik-konflik terdahulu termasuk di Syria dan Yaman, China turut mengeluarkan kenyataan serupa tetapi memainkan peranan susulan yang terhad.

Namun, kebanyakan penganalisis yang ditemu bual Mediacorp berpendapat bahawa China tidak mempunyai pengaruh mencukupi untuk menjadi pengantara yang berkesan dalam konflik Israel-Iran.

Secara khusus, China “hampir tiada pengaruh” terhadap Israel, kata Jonathan Fulton, zamil kanan bukan tetap di Program Timur Tengah Majlis Atlantik.

Beliau memaklumkan Mediacorp bahawa pendirian China dalam konflik Israel-Palestin sejak 7 Oktober 2023 - apabila kumpulan militan Hamas menyerang Israel - melemahkan kewibawaan diplomatiknya di mata Tel Aviv, menjadikan pengaruh Beijing “amat terhad” dalam pandangan Israel.

“China sentiasa jelas menyokong Palestin, dan kali ini sokongan itu sangat terbuka. Saya rasa Israel kini sedar bahawa China tidak menawarkan sebarang sokongan untuk mereka dalam situasi ini.”

Andrea Ghiselli dari Universiti Exeter menyifatkan konflik Israel-Iran sebagai peperangan yang sudah "dirancang untuk beberapa dekad".

“Benar atau tidak, kedua-dua pihak percaya mereka sedang berjuang untuk kelangsungan hidup. Tiada perkara lain yang penting. Tambahan pula, tiada satu pun daripada mereka yang bergantung kepada China sehingga membolehkan Beijing memaksa mereka untuk berhenti,” kata Ghiselli, yang juga merupakan ketua penyelidikan projek China-Mediterranean di Universiti Turin.

“China tidak seperti Amerika Syarikat, yang boleh menghentikan jentera perang Israel dengan menarik balik sokongan.”

Profesor Sun Degang, ahli sains politik di Universiti Fudan dan pengarah Pusat Kajian Timur Tengah universiti tersebut, turut mengatakan bahawa kejayaan usaha pengantaraan China bergantung pada kesediaan politik kedua-dua pihak - sesuatu yang dilihat masih tidak wujud.

“Saya tidak fikir Israel bersedia umtuk menerima pengantaraan China,” katanya kepada Mediacorp. “Ia mahu memusnahkan kemudahan nuklear Iran dan melaksanakan perubahan rejim di negara itu.”

Craig Singleton dari FDD pula berkata bahawa China kekurangan kepercayaan, saluran perisikan, serta “alat tekanan” untuk mempengaruhi perancangan ketenteraan Israel mahupun Iran.

"Paling baik, ia boleh menyampaikan mesej; ia hampir pasti tidak dapat merundingkan syarat atau menguatkuasakan pematuhan," katanya, sambil menambah bahawa pengantaraan gencatan senjata hanya berfungsi apabila kedua-dua pihak menginginkannya.

“Buat masa ini, mereka tidak mahu.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita