Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Mengapa Trump mahu kaitkan perjanjian damai Iran dengan Perjanjian Abraham?

Anggaran Waktu Membaca:
 jelasBERITA: Mengapa Trump mahu kaitkan perjanjian damai Iran dengan Perjanjian Abraham?

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersama para wartawan di Rumah Putih di Washington, DC, Amerika Syarikat, pada 8 Mei 2026. (Gambar fail: Reuters/Elizabeth Frantz)

Diterbitkan : 26 May 2026 03:54PM Dikemas Kini : 26 May 2026 03:57PM
SINGAPURA: Ketika rundingan mengenai kemungkinan perjanjian damai antara Iran dengan Amerika Syarikat semakin rancak, Presiden Donald Trump menambah syarat baharu - iaitu lebih banyak negara mesti menyertai Perjanjian Abraham.

Perjanjian Abraham tersebut diusahakan semasa penggal pertama pentadbiran Encik Trump yang bertujuan untuk menormalisasikan hubungan diplomatik antara beberapa negara Timur Tengah dengan Israel.

Dalam satu catatan di media sosial pada Isnin (25 Mei), Encik Trump menyatakan bahawa “selepas segala usaha yang dilakukan oleh Amerika Syarikat untuk menyusun teka-teki yang sangat rumit ini, ia sepatutnya menjadi satu kewajipan untuk kesemua negara ini, sekurang-kurangnya secara serentak, menandatangani Perjanjian Abraham”.

Tuntutan tersebut dibuat ketika draf perjanjian yang sedang dirangka itu berdepan kritikan daripada rakan sekutunya dalam Parti Republican, yang mahukan pendekatan lebih tegas terhadap Iran.

Jadi, apakah sebenarnya Perjanjian Abraham ini, dan mengapa Trump mengaitkannya dengan potensi perjanjian Amerika Syarikat-Iran?

APAKAH ITU PERJANJIAN ABRAHAM?

Perjanjian Abraham adalah siri perjanjian yang diusahakan oleh Amerika Syarikat untuk menormalisasikan hubungan antara Israel dengan beberapa negara majoriti Islam.

Perjanjian ini ditandatangani antara Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan, dan Maghribi pada tahun 2020. Bagaimanapun, pergolakan yang masih berterusan di Sudan melambatkan proses rasmi hubungan diplomatiknya dengan Israel.

Kazakhstan pula menyertai perjanjian ini pada November 2025, walaupun negara itu sebenarnya sudah mempunyai hubungan normal dengan Israel sejak tahun 1990-an lagi.

Usaha untuk menyertakan Arab Saudi dalam perjanjian ini - yang dilihat semakin rancak sebelum tercetusnya perang Israel-Hamas - kini terhenti. Konflik tersebut menyebabkan Saudi bertegas bagi satu laluan ke arah pembentukan negara Palestin yang merdeka.

Walaupun perjanjian ini disambut baik dalam kalangan diplomat sebagai langkah ke arah Timur Tengah yang lebih aman, ia kekal tidak popular dalam kalangan masyarakat awam di kebanyakan rantau berkenaan. Ini kerana perjanjian tersebut langsung tidak menyentuh tentang konflik Israel-Palestin.

Nama perjanjian Abraham dipilih bagi menekankan persamaan asal usul pengajaran Nabi Ibrahim dalam agama-agama seperti Yahudi, Islam, dan Kristian.

Menurut Institut Timur Tengah perjanjian ini juga menandakan normalisasi hubungan diplomatik Arab-Israel yang pertama sejak perjanjian damai Israel dengan Jordan pada 1994, dan perjanjian Mesir-Israel pada 1979.

Melalui normalisasi ini, hubungan diplomatik mula diwujudkan dan kedutaan-kedutaan asing mula dibuka.

Penerbangan langsung juga dimulakan antara Israel dengan Maghribi pada Ogos 2021, manakala syarikat penerbangan Bahrain, Gulf Air, melancarkan penerbangan langsung ke Tel Aviv pada September tahun yang sama.

Menurut Institut Keamanan Perjanjian Abraham, tidak termasuk sektor pelancongan dan perkhidmatan, perdagangan antara Israel dengan negara-negara Arab di Timur Tengah meningkat 234 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2021 berbanding tempoh yang sama pada 2020.

Kejayaan terbesar bagi Israel dalam perjanjian ini adalah persetujuan bersama UAE, yang merupakan pengeluar minyak global utama serta hab komersial dan perdagangan yang mempunyai pengaruh diplomatik besar di seluruh Timur Tengah.

Sejak itu, Israel dan UAE sudah membangunkan hubungan ekonomi dan keselamatan yang erat, termasuk kerjasama pertahanan dan pakatan perdagangan bebas.

APAKAH KESANNYA TERHADAP RUNDINGAN DENGAN IRAN?

Dalam satu catatan panjang lebar di Truth Social pada Sabtu, Encik Trump menyenaraikan negara-negara yang pemimpinnya dihubungi beliau melalui satu panggilan persidangan bagi membincangkan usaha menamatkan perang dengan Iran.

Encik Trump berkata sebahagian besar negara yang dihubungi "sepatutnya bersedia, sanggup, dan mampu untuk menjadikan penyelesaian dengan Iran ini sebagai satu peristiwa yang jauh lebih bersejarah."

"Ia sepatutnya bermula dengan tandatangan segera oleh Arab Saudi dan Qatar, dan semua negara lain perlu mengikut jejak langkah yang sama. Jika tidak, mereka tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada perjanjian ini kerana ia menunjukkan niat yang tidak baik," tulisnya.

Negara-negara lain yang dihubungi oleh Presiden Amerika Syarikat itu termasuklah Pakistan, Turki, Mesir, dan Jordan.

Encik Trump malah memberi bayangan bahawa Iran sendiri juga perlu menandatangani Perjanjian Abraham tersebut.

Dr James M. Dorsey, Zamil Kanan Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berpendapat apa yang dilakukan oleh Encik Trump adalah serupa dengan tuntutan Iran untuk menamatkan perang.

Tehran sebelum ini menyatakan bahawa sebarang gencatan senjata mestilah merangkumi semua barisan hadapan konflik serantau, termasuk di Lubnan. Sementara itu, Hezbollah menyatakan keyakinan mereka bahawa Iran tidak akan mengabaikan kumpulan tersebut.

Media Iran melaporkan bahawa satu memorandum persefahaman (MOU) akan diumumkan terlebih dahulu, dengan menekankan usaha menghentikan pertempuran di semua medan, termasuk di Lubnan.

Dr Dorsey berkata tindakan Encik Trump ini adalah serupa dengan tuntutan Iran - iaitu mengaitkan konflik yang berbeza secara bersama-sama.

Namun, beliau menambah bahawa Encik Trump "seolah-olah terputus daripada realiti sebenar di Timur Tengah."

"Pertama sekali, Israel bersama Amerika Syarikat yang memulakan perang ini, dan negara-negara Arab atau negara majoriti Islam tidak akan sesekali memberikan 'ganjaran' kepada Israel atas tindakan tersebut. Ini kerana ia mencetuskan situasi yang tersangat sukar bagi pelbagai negara," kata Dr Dorsey kepada Mediacorp pada Selasa.

Apabila ditanya bagaimana Iran mungkin mentafsirkan penyertaan Perjanjian Abraham dalam rundingan dengan Amerika Syarikat, Dr Dorsey berkata ia mungkin mengukuhkan lagi pandangan lama Tehran -iaitu Israel mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam pentadbiran Encik Trump.

"Ia akan menguatkan apa yang sudahpun dipercayai oleh Iran... bahawa Israel mengekalkan pengaruh besar dalam pentadbiran Encik Trump, dan Amerika Syarikat pada dasarnya hanya melindungi Israel dan kepentingan mereka. Itulah analisis Iran sejak sekian lama. Perkara ini hanya mengesahkannya lagi dan tidak mengubah apa-apa," tambahnya.

APAKAH OBJEKTIF SEBENAR TRUMP?

Dr Dorsey menjelaskan terdapat beberapa sebab mengapa Encik Trump mungkin mahu menyertakan Perjanjian Abraham dalam sebarang perjanjian dengan Iran.

Ini termasuklah untuk meredakan kritikan dan mengekalkan sokongan dalam partinya serta gerakan Make America Great Again (MAGA), selain untuk mengambil hati pihak Israel.

"Kerana apa sahaja perjanjian yang akhirnya dicapai dengan pihak Iran, ia pastinya bukan satu perjanjian yang akan menggembirakan pihak Israel atau Netanyahu," katanya.

Rancangan perjanjian untuk menamatkan perang Iran ini turut mendapat kritikan hebat daripada beberapa rakan sekutu parti Republican yang mahukan pendekatan lebih keras terhadap pemerintah di Tehran.

Perjanjian yang menurut Encik Trump sudah "hampir dipersetujui" itu membuatkan segelintir penggubal undang-undang, bekas barisan menteri Kabinet, dan penganalisis konservatif tertanya-tanya sama ada syarat yang diketahui setakat ini akan menyebabkan konflik yang berlaku sebelum ini menjadi "sia-sia".

Presiden Amerika Syarikat itu bagaimanapun menolak bantahan tersebut dengan menyatakan bahawa perjanjian itu "belum pun dimuktamadkan sepenuhnya."

"Apa jua perjanjian yang bakal dicapai nanti tidak akan dapat membenarkan tindakan membatalkan perjanjian antarabangsa 2015 (JCPOA) yang mengekang program nuklear Iran sebelum ini, mahupun membenarkan kos serta kesan yang terpaksa ditanggung akibat perang," kata Dr Dorsey.

Di bawah perjanjian nuklear Iran 2015 yang dirundingkan semasa pentadbiran mantan presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Iran bersetuju untuk mengehadkan pengayaan uranium kepada 3.67 peratus dan membenarkan pemeriksaan menyeluruh oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Namun, Encik Trump menarik Amerika Syarikat keluar daripada perjanjian tersebut pada 2018 semasa penggal pertama beliau memegang jawatan.

Ali Vaez, Pengarah Projek Iran di International Crisis Group, berkata: "Trump cuba menjual perjanjian Iran ini sebagai kesinambungan Perjanjian Abraham: bagus untuk Israel, bagus untuk rantau itu, dan cukup tegas untuk Washington."

"Tetapi beliau sebenarnya sedang menukar satu fantasi kepada fantasi yang lain - daripada memaksa Iran menyerah kalah kepada berpura-pura bahawa satu perjanjian yang rapuh mampu menjadi tunjang kepada orde baharu Timur Tengah."

APA PERKEMBANGAN SETERUSNYA?

Aaron David Miller, Zamil Kanan di Carnegie Endowment for International Peace, berkata adalah sangat mustahil untuk tuntutan Encik Trump ini berjaya, sebahagian besarnya disebabkan oleh persaingan dan permusuhan serantau antara negara-negara terlibat.

Anna Jacobs dari Arab Gulf States Institute di Washington turut bersetuju dengan pandangan Encik Miller bahawa negara-negara Teluk tidak akan menerima tuntutan maksimum daripada Encik Trump itu.

"Keselamatan negara-negara Teluk telah terancam lebih daripada sebelum ini disebabkan oleh keputusan melulu Presiden Trump, dan kini beliau mengharapkan negara-negara Arab berterima kasih kepadanya serta menormalisasikan hubungan dengan Israel. Mereka tidak akan melakukannya pada tahap ini," katanya.

"Ia tidak akan berlaku. Muktamad. Ia semudah itu... Perkara ini tidak mempunyai peluang langsung untuk berjaya," kata Dr Dorsey merujuk kepada kemungkinan negara-negara tersebut menandatangani Perjanjian Abraham sebagai sebahagian daripada perjanjian damai.

Dr Dorsey turut menambah bahawa hubungan antara negara-negara Teluk dengan Amerika Syarikat - terutamanya dalam aspek pertahanan dan keselamatan - mungkin akan "menjadi lebih bersyarat dan memerlukan lebih banyak rundingan bersama."

Malah, mungkin terdapat lebih banyak kepelbagaian dalam pakatan yang boleh dibuat oleh negara-negara Teluk selepas ini.

"Terdapat perbincangan mengenai struktur keselamatan serantau yang tidak akan melibatkan pihak luar, dan perkara itulah yang telah dicadangkan oleh pihak Iran sejak sekian lama."

Namun, beliau juga mengingatkan bahawa negara-negara Teluk "tidak mempunyai pilihan lain dalam hal perlindungan pertahanan."

"Tiada negara lain selain Amerika Syarikat yang sanggup dan mampu menyediakan payung pertahanan tersebut. Masalahnya ialah, payung pertahanan ini sekarang menjadi seperti senjata makan tuan."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita