jelasBERITA: Mengapa pemimpin AI sendiri mahu pembangunan teknologi diperlahankan?
Selepas bertahun-tahun berlumba menghasilkan sistem kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkuasa, beberapa pemimpin industri itu kini menggesa agar pembangunan teknologi tersebut diperlahankan.
Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic Dario Amodei (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI Sam Altman. Kedua-duanya menyokong usaha memperlahankan pembangunan AI. (Gambar fail: AFP/Alex Wong, Jung Yeon-je)
- Pemimpin syarikat AI utama seperti Anthropic, OpenAI, xAI dan Google DeepMind menggesa pembangunan AI diperlahankan kerana kebimbangan keselamatan.
- Gesaan ini disokong dengan cadangan penilaian bebas dan komitmen memperketat pengawasan terhadap sistem AI berkuasa tinggi.
- Pakar menekankan risiko AI, termasuk kemungkinan kehilangan kawalan manusia dan ancaman kepada infrastruktur penting, serta kebergantungan berlebihan kepada teknologi.
- Usaha memperlahankan pembangunan AI memerlukan kerjasama global, namun cabaran timbul kerana persaingan antara negara dan kemungkinan peraturan hanya menguntungkan syarikat besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic Dario Amodei membuat gesaan itu pada 12 September, sedang kebimbangan meningkat terhadap risiko sistem AI yang semakin berkeupayaan dan berpotensi mencapai tahap "superintelligence".
Gesaan itu turut disokong Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI Sam Altman, pemilik xAI Elon Musk dan Ketua Google DeepMind Demis Hassabis.
Perkembangan tersebut mencetuskan semula persoalan mengenai keselamatan AI: Seberapa pantas teknologi itu harus dibangunkan dan siapa yang menentukan bila ia berkembang terlalu cepat?
MENGAPA GESAAN INI TIMBUL SEKARANG?
Ini bukan kali pertama pakar dan tokoh industri menggesa pembangunan AI diperlahankan.
Pada 2023, tokoh teknologi dan penyelidik termasuk Encik Musk menggesa agar latihan sistem AI paling berkuasa dihentikan buat sementara waktu kerana bimbang terhadap risikonya.
Bezanya kali ini, gesaan Encik Amodei mendapat sokongan pemimpin beberapa syarikat AI utama, selain disertai komitmen untuk memperketat penilaian keselamatan.
Anthropic akan memberikan penilai bebas akses kepada sistemnya pada tahap serupa dengan pekerjanya. Encik Altman berkata OpenAI akan melakukan perkara yang sama.
Menurut para pakar, sebahagian risiko AI yang pada 2023 masih dianggap hanya andaian kini semakin nyata.
Profesor Jungpil Hanh dari Sekolah Pengkomputeran Universiti Nasional Singapura (NUS) menarik perhatian kepada insiden model AI yang didapati cuba memanipulasi penilaian sendiri dan melakukan tindakan yang tidak dibenarkan.
Satu lagi kebimbangan ialah keupayaan AI untuk mempertingkatkan dirinya sendiri secara berulang.
Encik Amodei memberi amaran perkembangan sedemikian, jika tidak dikawal, boleh mengatasi keupayaan manusia untuk memahami dan mengawal sistem AI.
ADAKAH AI BENAR-BENAR BOLEH MENGANCAM MANUSIA?
Sesetengah pihak memberi amaran bahawa perkembangan AI pada kadar semasa boleh mengancam penakatan manusia, manakala yang lain menyifatkan dakwaan itu sebagai keterlaluan atau tidak berasas.
Para pakar yang ditemui Mediacorp berhati-hati untuk menerima atau menolak sepenuhnya kedua-dua pandangan tersebut.
Ketua Penyelidikan Impak Digital di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) Benjamin Ang berkata kemungkinan AI menjejas sistem komputer yang menyokong perkhidmatan penting seperti bekalan makanan, air, tenaga, komunikasi dan kewangan tidak boleh diketepikan sepenuhnya.
Profesor Hanh pula menarik perhatian kepada risiko yang kurang dramatik: Semakin manusia dan institusi bergantung kepada AI, semakin besar kemungkinan mereka kehilangan keupayaan untuk memeriksa sendiri hasil kerja teknologi itu.
APA MAKSUDNYA MEMPERLAHANKAN PEMBANGUNAN AI?
Ia tidak bermakna pembangunan AI dihentikan.
Sebaliknya, lebih banyak pemeriksaan boleh dilaksanakan dan lebih banyak masa serta sumber diperuntukkan untuk memahami sistem AI sebelum keupayaannya dipertingkatkan lagi.
Antara cadangan Encik Amodei ialah memberikan penilai bebas akses kepada sistem AI termaju supaya mereka boleh memeriksa pematuhan terhadap komitmen keselamatan, melaporkan insiden dan menilai model sebelum digunakan secara meluas.
Negara-negara juga boleh menetapkan piawaian keselamatan bersama.
Secara praktik, syarikat boleh memperuntukkan lebih banyak masa antara pelancaran keupayaan baharu, menjalankan ujian lebih ketat dan mengehadkan penggunaan AI yang membawa risiko paling tinggi.
BAGAIMANA UNTUK TAHU INDUSTRI BENAR-BENAR MEMPERLAHANKAN PEMBANGUNAN?
Jumlah model AI baharu yang dilancarkan bukan satu-satunya petunjuk.
Syarikat boleh melancarkan lebih sedikit produk kepada umum tetapi terus membangunkan sistem lebih berkuasa di sebalik tabir.
Salah satu petunjuk ialah jumlah kuasa pengkomputeran yang digunakan untuk melatih model baharu.
Penilaian juga perlu melihat berapa banyak sumber diperuntukkan untuk meningkatkan keupayaan AI berbanding usaha memahami dan mengawalnya.
BOLEHKAH IA BENAR-BENAR DILAKSANAKAN?
Ini mungkin cabaran terbesar.
Usaha memperlahankan pembangunan AI memerlukan kerjasama bukan sahaja antara syarikat yang bersaing, malah antara negara yang mengejar kelebihan teknologi dan ekonomi.
Pemerintah boleh mengawal akses kepada cip canggih, mewajibkan penilaian bebas dan menghendaki syarikat mendedahkan maklumat mengenai latihan model berskala besar.
Namun, banyak makmal AI utama berpangkalan di Amerika Syarikat, di mana Presiden Donald Trump menolak gesaan supaya pembangunan AI diperlahankan kerana bimbang China akan mendahului Amerika dalam perlumbaan teknologi.
Para pakar berpandangan Washington dan Beijing mungkin boleh mencapai persetujuan dalam bidang tertentu, seperti melarang pembangunan senjata biologi menggunakan AI.
Namun, persetujuan lebih luas lebih sukar dicapai kerana sesebuah negara berisiko ketinggalan jika ia memperlahankan pembangunan sedangkan pesaingnya tidak berbuat demikian.
ADAKAH SYARIKAT AI MEMBESAR-BESARKAN RISIKO?
Pengkritik turut mempersoalkan sama ada amaran daripada syarikat AI sebahagiannya bertujuan meningkatkan perhatian terhadap keupayaan produk mereka.
Usaha memperlahankan industri juga boleh melindungi syarikat AI terbesar daripada pesaing baharu.
Peraturan lebih ketat mungkin lebih mudah ditanggung syarikat besar yang mempunyai sumber kewangan dan khidmat guaman lebih kukuh berbanding pemain kecil.
Namun, para pakar menegaskan kemungkinan tersebut tidak bermakna usaha meningkatkan keselamatan AI harus diketepikan.
Sebarang peraturan perlu memastikan syarikat AI terbesar turut tertakluk kepada penelitian, sedang pengawasan bebas terhadap pembangunan teknologi itu dipertingkatkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.