jelasBERITA: Mengapa Barisan Nasional mungkin adakan PRN Johor & Melaka lebih awal pada separuh kedua 2026?
Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (kedua dari kiri), Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan (kiri) dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki (ketiga dari kiri) di ibu pejabat Umno Johor pada bulan Mei. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Majlis yang diadakan di lokasi penubuhan UMNO itu turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar dan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Ibrahim. Ia berlangsung ketika spekulasi semakin meningkat bahawa Barisan Nasional (BN) sedang mempertimbangkan pilihan raya negeri lebih awal di Johor dan Melaka.
Para penganalisis politik berpendapat kemenangan awal dalam pilihan raya negeri boleh membantu BN membina semula momentum politik secara bebas daripada kerajaan perpaduan persekutuan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung sebelum awal 2028.
Spekulasi itu semakin kuat selepas laporan tempatan mendakwa pemimpin UMNO Johor sedang mendesak agar pilihan raya diadakan seawal Ogos atau September, dengan mesyuarat parti kini semakin tertumpu kepada persediaan menghadapi pilihan raya. Pilihan raya negeri Johor sebenarnya hanya dijadualkan menjelang pertengahan 2027, manakala Melaka pula pada awal 2027.
Namun, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi cuba meredakan spekulasi tersebut.
“Saya dengan ini mengumumkan bahawa pilihan raya negeri Johor tidak akan diadakan esok,” katanya sambil bergurau ketika ditanya media.
Encik Zahid turut menjelaskan bahawa pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong tidak menyentuh soal pilihan raya dan menyifatkan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebagai pertemuan biasa. Namun begitu, beliau menegaskan sebarang keputusan tetap memerlukan perbincangan dengan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi serta perkenan Sultan Johor.
Sekalipun demikian, para pengamat politik melihat susunan mesyuarat UMNO di Melaka dan Johor serta gerakan jentera di peringkat akar umbi sebagai petanda bahawa persiapan pilihan raya sebenarnya sudah bermula.
Seorang ADUN UMNO Johor yang enggan identitinya didedahkan memberitahu Mediacorp bahawa jentera parti sudah mula digerakkan secara senyap bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya pada separuh kedua tahun ini.
“Kami tidak pasti tarikh sebenar, tetapi persiapan sudah bermula,” katanya sambil menambah pilihan raya mungkin diadakan selepas Hari Raya Aidiladha.
BN MAHU BINA MOMENTUM JELANG PRU16
Penganalisis berpendapat BN mempunyai alasan kukuh untuk mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada PRU16. Kadar keluar mengundi yang lebih rendah dalam pilihan raya negeri lazimnya memberi kelebihan kepada BN, manakala Pakatan Harapan (PH) sering terjejas, terutama di Johor yang mempunyai ramai pengundi bekerja di Singapura dan kurang cenderung pulang hanya untuk pilihan raya negeri.
Mantan Anggota Parlimen DAP Ong Kian Ming berkata BN mahu memanfaatkan populariti Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan menggunakan kemenangan besar di Johor untuk meningkatkan keyakinan parti menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada Ogos nanti.
Menurut Encik Ong, kemenangan di Johor dan Melaka juga boleh mengukuhkan keyakinan BN untuk bergerak lebih bebas menjelang PRU16 tanpa terlalu bergantung kepada kerjasama dalam kerajaan perpaduan.
Keyakinan BN turut disokong rekod kemenangan besar dalam pilihan raya negeri sebelum ini. Di Melaka pada 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala di Johor pada 2022, gabungan itu memperoleh 40 daripada 56 kerusi. Sebaliknya, PH hanya memenangi lima kerusi di Melaka dan 12 di Johor.
Penganalisis dari ISEAS-Yusof Ishak Institute, Francis Hutchinson berkata PH lazimnya lebih cemerlang apabila pilihan raya negeri dan persekutuan diadakan serentak seperti pada PRU 2018.
“PH memerlukan kadar keluar mengundi yang tinggi untuk mencatat keputusan baik, manakala jentera BN lebih berdisiplin dan mampu menggerakkan penyokong mereka tanpa mengira keadaan pilihan raya,” katanya.
PEMBANGKANG PERSOAL MASA & KOS
Pemimpin pembangkang pula berpendapat pilihan raya negeri berasingan akan meningkatkan kos kerajaan ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.
Laporan media tempatan menganggarkan pilihan raya berasingan boleh menelan kos tambahan sekitar RM150 juta (S$48 juta) berbanding jika diadakan serentak dengan PRU16.
Presiden MUDA Amira Aisya Abdul Aziz berkata partinya tetap membuat persiapan menghadapi pilihan raya, namun mempersoalkan sama ada sekarang masa yang sesuai untuk berpolitik.
“Secara realistik, kerajaan negeri tidak sepatutnya memanggil pilihan raya ketika kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.
Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching turut mengkritik kerajaan negeri Johor pimpinan BN kerana didakwa lebih mengutamakan politik berbanding isu rakyat seperti gangguan bekalan air dan masalah tadbir urus.
HUBUNGAN TEGANG BN & PH
Walaupun BN dan PH bekerjasama di peringkat persekutuan, penganalisis menjangka persaingan sengit akan berlaku di Johor dan Melaka.
Pemimpin PH mengesahkan tiada perbincangan dengan BN untuk mengelakkan pertembungan di kerusi tertentu.
Ketegangan politik turut meningkat selepas Dewan Undangan Negeri Johor meluluskan Rang Undang-Undang yang membolehkan pelantikan lima ADUN bukan pilihan rakyat. Pengkritik mendakwa langkah itu boleh mengukuhkan kuasa BN tanpa mandat langsung daripada pengundi.
Encik Teo mendakwa kerajaan negeri cuba mengukuhkan kuasa politik berbanding menghuraikan isu persempadanan kawasan undi yang sudah lama tertangguh.
Walaupun persaingan semakin sengit, penganalisis percaya BN dan PH masih boleh bekerjasama secara strategik selepas pilihan raya negeri bergantung kepada keadaan politik menjelang PRU16.
Encik Ong turut berpandangan bahawa pilihan raya negeri ini boleh menjadi ujian terhadap hubungan BN dengan Perikatan Nasional (PN), khususnya dalam usaha membentuk kerjasama politik Melayu-Islam selepas PRU16.
Bagi PH pula, cabaran di peringkat nasional dilihat lebih rumit. Hutchinson berkata sokongan terhadap gabungan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunjukkan tanda-tanda semakin lemah, termasuk di beberapa kawasan tradisi mereka.
“Tanda-tanda semasa menunjukkan PH dan PKR khususnya berada dalam keadaan sangat mudah terjejas,” katanya sambil menambah gabungan itu dijangka cuba membina semula momentum sebelum PRU16.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.