jelasBERITA: Mengapa bantahan ganas Gen Z tercetus di seluruh Eropah?
Gelombang bantahan diterajui golongan muda melanda beberapa negara Eropah sejak beberapa minggu lalu, dengan Jerman menjadi negara terbaharu yang menyaksikan tunjuk perasaan besar-besaran pada Sabtu (31 Okt).
Para penunjuk perasaan menyertai bantahan Gen Z terhadap kekurangan dana bagi sekolah, pemotongan perbelanjaan pendidikan, perkhidmatan sosial, kebudayaan dan penjagaan kesihatan, kenaikan kos sara hidup serta kerahan tentera di Berlin, Jerman pada 31 Oktober 2026. (Gambar: Reuters/Sanne Schimanski)
- For several weeks, young people have held protests in Germany, France, Spain, Italy and other European countries, calling for better education and public services, more affordable living costs and housing, and investment in the future.
- The movements were sparked in particular by school problems and teacher shortages in Germany and France, a rental crisis in Spain, and concerns about education and the cost of living in Italy; slow economic growth and a sense of intergenerational unfairness also fuelled discontent.
- Most protests were peaceful, but small groups carried out looting, caused damage and clashed with police; social media spread movements that inspired one another, although they were not directly coordinated.
- Financial pressures limit the Government’s ability to meet the demands, while violence brings economic losses and political risks; measures such as additional substitute teachers in France and housing proposals in Spain show responses that still face challenges.
- Selama beberapa minggu, golongan muda mengadakan bantahan di Jerman, Perancis, Sepanyol, Itali dan negara Eropah lain, menuntut pendidikan serta perkhidmatan awam lebih baik, kos hidup dan perumahan lebih mampu milik, serta pelaburan untuk masa depan.
- Gerakan khususnya tercetus akibat masalah sekolah dan kekurangan guru di Jerman serta Perancis, krisis sewa di Sepanyol dan kebimbangan tentang pendidikan serta sara hidup di Itali; pertumbuhan ekonomi perlahan dan rasa tidak adil antara generasi turut menyemarakkan ketidakpuasan.
- Kebanyakan bantahan berlangsung aman, tetapi kumpulan kecil mencetuskan rompakan, kerosakan dan pertempuran dengan polis; media sosial menyebarkan gerakan yang saling menginspirasi, walaupun penganjurannya tidak diselaraskan secara langsung.
- Tekanan kewangan mengehadkan kemampuan pemerintah memenuhi tuntutan, sementara keganasan membawa kerugian ekonomi dan risiko politik; langkah seperti tambahan guru ganti di Perancis serta cadangan perumahan Sepanyol menunjukkan respons yang masih berdepan cabaran.
Para penunjuk perasaan menuntut perkhidmatan awam yang lebih baik, kos sara hidup yang lebih berpatutan serta pelaburan lebih besar demi masa depan generasi muda.
Namun, sebahagian bantahan bertukar ganas apabila kedai dijarah, bangunan dirosakkan dan pertempuran tercetus antara penunjuk perasaan dengan pihak polis.
Mediacorp menjelaskan punca bantahan tercetus di seluruh Eropah, sama ada gerakan tersebut mempunyai kaitan antara satu sama lain dan risiko yang mungkin timbul.
DI MANA BANTAHAN BERLAKU DAN MENGAPA?
Di Jerman, sebuah gerakan belia dikenali sebagai GenZ regelt, yang bermaksud "Gen Z mampu menanganinya", menganjurkan tunjuk perasaan di lebih 30 bandar pada Sabtu (31 Okt).
Gerakan itu menuntut pelaburan lebih besar dalam pendidikan, keselamatan sosial, penjagaan kesihatan dan perlindungan iklim, selain kos sara hidup yang lebih berpatutan.
Ia turut membantah sebarang usaha mengembalikan perkhidmatan tentera wajib.
Menurut pihak penganjur, sekitar 120,000 orang menyertai bantahan tersebut.
Seorang pelajar sekolah menengah di Berlin, Janelle Schulz, berkata lebih banyak dana perlu diperuntukkan bagi pendidikan.
Beliau mendakwa siling sekolahnya hampir runtuh akibat kerosakan air, selain kekurangan guru dan tandas yang rosak.
Di Perancis pula, bantahan bermula pada pertengahan September susulan kemerosotan keadaan sekolah, kekurangan guru dan rasa tidak puas hati terhadap sistem kemasukan universiti.
Menurut badan pemikir Amerika Syarikat, Council on Foreign Relations (CFR), gerakan itu bermula dengan mogok guru di sebuah sekolah menengah di Creteil, berhampiran Paris, sebelum merebak ke seluruh negara.
Lebih 1,000 sekolah menengah terjejas, dengan ratusan ribu orang menyertai tunjuk perasaan.
Bantahan kemudian berkembang kepada isu kenaikan kos sara hidup, perkhidmatan awam dan kepimpinan Presiden Emmanuel Macron, dengan sokongan kesatuan sekerja serta gerakan Jaket Kuning.
Pada 17 Oktober, tunjuk perasaan melibatkan sekitar 550,000 orang bertukar menjadi antara rusuhan paling buruk di Perancis sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lapor AP.
Bantahan diteruskan pada Sabtu (31 Okt), melibatkan sekitar 320,000 orang di seluruh negara, dengan lebih 560 orang diberkas menjelang malam.
Seorang pelajar berusia 21 tahun, Corentin Cabreux, mengadu tentang keadaan kediaman pelajar yang dikendalikan pemerintah, termasuk dinding lembap, cat mengelupas serta kehadiran lipas dan tikus.
Penyelidik CFR, Rafaela Uzan, berkata keadaan itu mencerminkan jurang antara generasi, apabila ramai golongan muda merasakan pemerintah Perancis lebih mengutamakan generasi lebih tua meskipun kadar pengangguran belia tinggi dan tekanan terhadap sistem pendidikan semakin meningkat.
Di Sepanyol, kemampuan memiliki atau menyewa rumah menjadi antara punca utama bantahan.
Pengusiran seorang wanita berusia 87 tahun dari rumah yang telah lama didiaminya di Madrid pada September, susulan kenaikan mendadak sewa, mencetuskan kemarahan di seluruh negara.
Para penunjuk perasaan menuntut pembekuan kadar sewa, penghentian pengusiran penyewa yang mudah terjejas serta peraturan lebih ketat terhadap penyewaan jangka pendek dan bilik.
Tunjuk perasaan di beberapa bandar termasuk Milan, Turin dan Bologna bertukar ganas pada pertengahan Oktober.
Bantahan serupa turut berlaku di Portugal, Belgium, Greece dan Albania.
Penolong Profesor Presiden di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Sascha Riaz, berkata meskipun punca bantahan berbeza mengikut negara, banyak rungutan berpunca daripada pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan penduduk yang semakin menua.
Menurut beliau, ekonomi Jerman hampir tidak berkembang sejak 2019.
Penolong Profesor Riaz berkata penglibatan besar golongan muda mencerminkan rasa ketidakadilan antara generasi.
Ini kerana golongan muda merupakan kumpulan pengundi minoriti dalam masyarakat Eropah yang semakin menua, sedangkan sebahagian besar perbelanjaan awam disalurkan kepada sistem pencen untuk generasi lebih tua.
Presiden merangkap Ketua Pengarah badan pemikir Europe Jacques Delors, Genevieve Pons, turut menyifatkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan sebagai faktor yang meningkatkan rasa tidak puas hati masyarakat.
Beliau berkata keadaan ekonomi semasa menyukarkan usaha mengekalkan model kebajikan sosial Eropah.
MENGAPA SEBAHAGIAN BANTAHAN BERTUKAR GANAS?
Walaupun kebanyakan tunjuk perasaan berlangsung secara aman, keganasan tercetus di beberapa bandar sehingga menyebabkan rompakan, kebakaran dan pertempuran dengan pihak polis.
Di Jerman, Menteri Dalam Negeri negeri Hesse, Roman Poseck, berkata sekitar 100 pelampau berhaluan kiri yang dikenal pasti telah menyusup masuk ke dalam bantahan di Frankfurt pada Sabtu (31 Okt).
Perusuh memecahkan tingkap kedai, menjarah premis perniagaan dan membaling bom petrol ke arah polis.
Antara premis yang menjadi sasaran ialah sebuah kedai senjata api.
Polis menyatakan seorang suspek diberkas dan dua senjata dirampas.
Di Cologne, polis menamatkan perarakan bantahan lebih awal selepas beberapa penunjuk perasaan menggunakan bahan piroteknik, membaling batu ke arah anggota polis dan menutup muka walaupun terdapat larangan.
Polis turut menggunakan semburan air bertekanan tinggi untuk menyuraikan para penunjuk perasaan.
Di Perancis, rusuhan pada 17 Oktober menyasarkan butik, pasar raya dan bangunan awam.
Di Marseille, perusuh menyerbu bangunan dewan bandar raya, manakala bangunan dewan bandar raya di Limoges dibakar.
Menurut CFR, sekitar 3,000 kedai, termasuk butik mewah dan perniagaan kecil, dijarah pada hari tersebut.
Sebahagian penunjuk perasaan mempertahankan penggunaan keganasan sebagai cara mendesak pemerintah memenuhi tuntutan mereka.
Seorang penunjuk perasaan memberitahu Mediacorp bahawa keadaan sekolah semakin merosot, manakala ramai penduduk menghadapi kesukaran mendapatkan wang yang mencukupi untuk makanan dan keperluan harian.
Beliau turut menyifatkan keganasan sebagai cara untuk mencapai tuntutan mereka.
Polis membalas dengan menggunakan bom pegun dan gas pemedih mata.
Presiden Macron menegaskan perlunya membezakan antara mereka yang mengadakan bantahan secara aman bagi menuntut taraf hidup dan pendidikan lebih baik dengan pihak yang melakukan keganasan serta penjarahan.
Menurut BBC, agensi risikan Perancis dan Belgium menyifatkan kebanyakan kejadian rompakan sebagai tindakan mengambil kesempatan.
Kekacauan itu dipercayai melibatkan keganasan tanpa tujuan jelas serta gangguan oleh golongan muda yang mempunyai kaitan dengan kumpulan radikal berhaluan kiri.
Media Perancis turut mempersoalkan sama ada aktivis radikal dan golongan muda dari kawasan kurang berkemampuan telah membentuk pakatan tidak rasmi, memandangkan kedua-dua kumpulan berkongsi rungutan berhubung diskriminasi dan tindakan polis.
Penolong Profesor Riaz berkata sebahagian besar penunjuk perasaan sebenarnya bertindak secara aman.
Namun, sekumpulan kecil yang bertindak ganas boleh menyebabkan kerosakan besar dan menarik perhatian meluas media.
Beliau menambah, gerakan bantahan yang tidak mempunyai struktur organisasi kukuh sukar menghalang penyusupan kumpulan pelampau atau individu yang hanya mahu mencetuskan kekacauan dan melakukan penjarahan.
Menurut beliau, tindak balas polis, khususnya di Perancis, turut memburukkan ketegangan.
Bagaimanapun, tindakan ganas itu tidak semestinya mencerminkan matlamat sebenar sesebuah gerakan.
Di Jerman, penganjur GenZ regelt secara jelas menolak keganasan serta menegaskan bahawa kumpulan pelampau, perkauman dan ucapan kebencian tidak mempunyai tempat dalam bantahan mereka.
ADAKAH BANTAHAN DI SELURUH EROPAH SALING BERKAITAN?
Penolong Profesor Riaz menyifatkan perkembangan itu sebagai penyebaran pengaruh, bukannya penyelarasan secara langsung.
Menurut beliau, setiap gerakan mempunyai tuntutan dan struktur organisasi tersendiri, namun para penunjuk perasaan jelas mendapat inspirasi antara satu sama lain.
Penolong Profesor Riaz membandingkan keadaan itu dengan gerakan pelajar pada akhir 1960-an, Revolusi Warna pada 2000-an dan Kebangkitan Arab, apabila bantahan merebak merentasi sempadan negara.
Menurut AFP, tunjuk perasaan diterajui belia di Jerman mendapat inspirasi daripada bantahan serupa di Perancis dan Itali.
Seorang pelajar berusia 20 tahun di Berlin, Milla, berkata penting bagi golongan muda menunjukkan solidariti terhadap gerakan bantahan di seluruh Eropah, termasuk di Perancis.
Di Itali, seorang penunjuk perasaan berusia 22 tahun, Riccardo, berharap bantahan tersebut sekurang-kurangnya dapat menarik perhatian terhadap masalah yang dihadapi golongan muda.
Di Perancis, video sekatan awal di sebuah sekolah menengah di Creteil tersebar dalam talian sebelum bantahan meluas ke sekolah-sekolah lain.
Di Barcelona, para pelajar digalakkan menyertai tunjuk perasaan menerusi tanda pagar #InstitutsIndignats, yang mengambil inspirasi daripada slogan bantahan pelajar Perancis.
Kempen digital di Portugal pula menggesa orang ramai turun ke jalan raya, dengan mengambil inspirasi daripada bantahan di Sepanyol.
Di Athens, seorang pelajar berusia 17 tahun, Yiannis Papanikolaou, berkata keadaan bangunan sekolah yang usang dan tidak diselenggarakan dengan baik menjadi antara sebab beliau menyertai bantahan.
Beliau berharap gerakan di Perancis dapat mendorong perubahan serupa di Greece.
APAKAH RISIKO BANTAHAN TERHADAP EROPAH DAN NEGARA LAIN?
Gelombang bantahan itu meningkatkan tekanan terhadap pemerintah negara-negara Eropah yang sudah berdepan pertumbuhan ekonomi yang lemah, kekangan kewangan dan perpecahan politik.
Menurut Penolong Profesor Riaz, pemerintah Eropah kini mempunyai ruang kewangan yang lebih terbatas untuk memenuhi tuntutan penunjuk perasaan berbanding gelombang bantahan terdahulu.
Semasa gerakan Jaket Kuning di Perancis, Presiden Macron dapat memperuntukkan berbilion euro bagi memenuhi sebahagian tuntutan kerana kos pinjaman ketika itu lebih rendah.
Namun, sebarang peruntukan tambahan pada masa kini mungkin memerlukan pemotongan perbelanjaan dalam bidang lain.
Beliau berpandangan bantahan itu sukar diselesaikan dalam masa terdekat kerana kemampuan kewangan pemerintah jauh lebih rendah daripada tuntutan penunjuk perasaan.
Di Sepanyol, Perdana Menteri Pedro Sanchez mencadangkan undang-undang perumahan kecemasan, termasuk melanjutkan larangan pengusiran penyewa sehingga 2030 dan mengawal penyewaan sementara.
Bagaimanapun, rang undang-undang itu ditolak di Parlimen, mendorong beliau mengumumkan pilihan raya mengejut pada 29 November.
Di Perancis, pihak berkuasa berikrar menempatkan 3,000 guru ganti tambahan bagi menangani kekurangan tenaga pengajar, selain membatalkan rancangan menaikkan yuran pendaftaran tertentu di universiti.
Keganasan itu turut membawa kesan ekonomi yang besar.
Badan pemikir Perancis, Fondation IFRAP, menganggarkan keganasan pada 17 dan 18 Oktober mungkin menyebabkan kerosakan serta kerugian ekonomi sehingga €1.1 bilion (S$1.57 bilion).
Bantahan tersebut juga berlaku menjelang pilihan raya presiden Perancis pada April 2027, sekali gus meningkatkan kepentingan politik bagi parti-parti yang cuba meraih sokongan daripada rasa tidak puas hati rakyat.
Calon presiden daripada parti berhaluan kanan jauh National Rally, Marine Le Pen, menyuarakan sokongan terhadap polis dan mengkritik cara pemerintah menangani kekacauan itu.
Beliau turut menyalahkan golongan berhaluan kiri jauh kerana mencetuskan keganasan.
Felo Kanan CFR, Matthias Matthijs, berkata kekacauan tersebut boleh memberi peluang kepada National Rally untuk menampilkan dirinya sebagai parti yang mengutamakan undang-undang dan ketenteraman.
Di sebalik kesan politik, bantahan itu turut menyerlahkan cabaran Eropah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi bagi mengekalkan perkhidmatan awam.
Puan Pons dari Europe Jacques Delors berkata pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh amat penting bagi menangani tekanan tersebut.
Menurut beliau, Eropah perlu memperkukuh pasaran dalamannya bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan model sosial rantau itu dapat terus dikekalkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.