Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Mengapa Amerika Syarikat serang Iran?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa Amerika Syarikat serang Iran?
Kepulan asap dilihat selepas letupan berlaku menyusuli serangan yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran di Tehran, Iran, 28 Februari 2026. (Gambar: Majid Asgaripour/WANA melalui Reuters)
Diterbitkan : 01 Mar 2026 11:14AM Dikemas Kini : 01 Mar 2026 11:34AM

WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan yang paling hebat ke atas Iran dalam beberapa dekad pada Sabtu (28 Feb), dalam operasi yang membunuh pemimpin ulung Iran Ayatollah Ali Khamenei.

Pertaruhan terbesar dasar luar Presiden Donald Trump itu berlaku selepas beliau berkempen bagi pemilihan semula sebagai “presiden keamanan” dan menyatakan beliau lebih sukakan huraian diplomatik dalam kebuntuan dengan Iran.

Encik Trump tidak banyak berhujah kepada rakyat Amerika sebelum bertindak, tetapi membincangkan isu itu secara ringkas dalam ucapan Negara 'State of the Union' pada Selasa lalu dan kemudian dalam video pada Sabtu, sambil menyatakan objektif utama serangan.

HALANG IRAN MILIKI SENJATA NUKLEAR

Encik Trump berulang kali menyatakan bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear. Beliau mendakwa sudah “memusnahkan” program nuklear Iran dalam serangan Jun lalu, tetapi minggu ini menyatakan Tehran cuba membina semula program tersebut.

Salah satu sebab yang diberikan Amerika Syarikat dan Israel bagi mewajarkan serangan pada Jun lalu ialah Iran hampir mampu menghasilkan senjata nuklear.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) PBB dan masyarakat risikan Amerika menilai secara berasingan bahawa Iran tidak meneruskan program pembangunan senjata nuklear pada 2003 dan Tehran menafikan pernah mendapatkan senjata nuklear, walaupun sebagai pihak dalam Perjanjian Pengawalan, ia berhak memperkayakan uranium untuk tujuan sivil.

Kuasa Barat menyatakan tiada justifikasi sivil yang munasabah bagi pengayaan uranium Iran pada tahap yang dicapai, dan IAEA menyifatkannya sebagai kebimbangan serius.

KAWAL PROGRAM PELURU BERPANDU IRAN

Dalam ucapan Negara 'State of the Union' dan video pada Sabtu, Encik Trump menyebut kemajuan program peluru berpandu Iran sebagai ancaman yang meningkat kepada Amerika.

Beliau berkata Iran cuba “terus membangunkan peluru berpandu jarak jauh yang kini boleh mengancam rakan dan sekutu baik kami di Eropah, tentera kami di luar negara, dan mungkin boleh sampai ke tanah air Amerika.”

Tiada butiran disertakan untuk menyokong dakwaannya, walaupun penyiar negara Iran mendakwa Tehran sedang membangunkan peluru berpandu yang mampu sampai ke Amerika Syarikat.

MUSNAHKAN ANCAMAN KEPADA AMERIKA DAN NEGARA SEKUTU

Encik Trump berkata objektif serangan pada Sabtu ialah “untuk mempertahankan rakyat Amerika dengan menghapuskan ancaman segera dari rejim Iran, kumpulan kejam yang sangat berbahaya”.

Beliau menyatakan aktiviti mengancam Iran secara langsung membahayakan Amerika Syarikat, tentera, pangkalan di luar negara, dan sekutu di seluruh dunia.

Encik Trump merujuk serangan termasuk pengambilalihan ganas Kedutaan Amerika Syarikat di Tehran 1979, serangan proksi ke pangkalan Marin Amerika Syarikat di Beirut 1983 yang membunuh 241 anggota tentera, dan pelbagai tindakan lain terhadap tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah serta laluan perdagangan antarabangsa.

Encik Trump turut menekankan sokongan Iran kepada Hamas yang melancarkan serangan rentas sempadan di Israel pada 7 Oktober 2023.

HUKUMAN TERHADAP PENUNJUK PERASAAN

Dalam ucapan 'State of the Union', Encik Trump mendakwa Iran membunuh sekurang-kurangnya 32,000 penunjuk perasaan dalam beberapa bulan terakhir - angka yang tidak dapat disahkan.

Pada Sabtu lalu, beliau menyebut Iran membunuh “berpuluh-puluh ribu rakyatnya sendiri di jalanan ketika mereka sedang melakukan tunjuk perasaan”.

Kumpulan HRANA yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang memantau hak asasi manusia di Iran, melaporkan 7,007 kematian disahkan dan 11,744 masih disemak.

Menteri Luar Iran Abbas Araqchi berkata Tehran menerbitkan “senarai komprehensif” bagi semua 3,117 yang terbunuh semasa rusuhan itu.

Pegawai Iran memberitahu Reuters bahawa pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 5,000 kematian, termasuk kira-kira 500 anggota keselamatan.

PERUBAHAN REJIM

Pada Sabtu lalu, Encik Trump menyeru “rakyat Iran yang hebat” untuk bangkit mengambil alih kuasa daripada pemerintah mereka.

“Saya katakan malam ini bahawa waktu kebebasan anda sudah tiba,” katanya. “Apabila kami selesai, ambil alih pemerintah anda. Ia akan menjadi milik anda. Ini mungkin satu-satunya peluang bagi generasi anda.”

Encik Trump, yang memantau operasi dari resort tepi laut Mar-a-Lago di Florida, memaklumkan pada petang Sabtu bahawa pemimpin ulung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, meninggal dunia dalam serangan itu.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebelum itu berkata kompleks Ayatollah Ali Khamenei musnah, dan pegawai kanan Israel memberitahu Reuters bahawa jasadnya sudah ditemui.

Penyiar negara Iran kemudian mengesahkan Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam serangan itu.

Sambil menggesa rakyat Iran menggulingkan pemerintah, Encik Trump memberi amaran: “Pengeboman hebat dan tepat pada sasaran … akan diteruskan, tanpa henti sepanjang minggu atau selagi perlu untuk mencapai objektif kami untuk membawa keamanan di seluruh Timur Tengah dan dunia!”

Sumber : Reuters/IM/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita