jelasBERITA: Mampukah bursa komoditi baharu Indonesia raih keyakinan pasaran?
Kejayaan rancangan Indonesia untuk melancarkan bursa komoditi bergantung pada keupayaannya membangunkan penanda aras yang diyakini serta kebolehan meyakinkan para pengeluar dan pedagang untuk menggunakannya, menurut para pakar.
Para pekerja memantau proses peleburan nikel di loji peleburan nikel PT Vale Tbk di Sorowako, Sulawesi Selatan, Indonesia, pada 30 Mac 2023. (Gambar: REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana)
Bursa yang dijadual dilancarkan pada 1 Januari itu bertujuan memberi Indonesia pengaruh lebih besar dalam menentukan harga eksport utama bagi produk-produk seperti nikel, minyak sawit dan arang batu.
Rancangan yang diumumkan Presiden Prabowo Subianto dalam ucapan belanjawan 2027 di parlimen pada 14 Ogos itu mendapat sambutan gemuruh daripada para anggota dewan.
"Selama berdekad-dekad, Indonesia menjadi antara pengeluar terbesar beberapa komoditi paling penting di dunia," kata Encik Prabowo kepada para anggota dewan.
"Namun, terlalu kerap, harga kekayaan kita, yang digali dari bumi kita dan dihasilkan dengan keringat rakyat kita, ditentukan di luar negara, di bursa komoditi negara lain," kata Encik Prabowo.
"Saya bertanya kepada para wakil rakyat, adakah kita mahu terus berada dalam keadaan seperti ini?"
"Tidak!" jawab para anggota dewan dengan lantang sambil berdiri.
Secara ringkas, bursa komoditi merupakan sebuah pasaran tersusun yang menghimpunkan pengeluar bahan mentah, pengilang, pedagang dan institusi kewangan untuk membeli dan menjual komoditi atau kontrak yang berkaitan dengannya.
Maklum balas industri terhadap rancangan tersebut bercampur-campur. Asosiasi Penambang Nikel Indonesia, yang sebelum ini menggesa supaya sebuah bursa mineral nasional ditubuhkan, mengalu-alukan rancangan tersebut tetapi menekankan pentingnya integriti data dan tadbir urus yang jelas, lapor Reuters.
Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI) memberitahu media Detik bahawa sebahagian besar anggotanya kini lebih cenderung membuat urus niaga secara langsung dengan pembeli berbanding menyenaraikan komoditi mereka di sebuah bursa.
Sementara itu, Asosiasi Pertambangan Batubara Indonesia (APBI) memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa pihaknya masih memantau bagaimana rancangan tersebut akan dilaksanakan sebelum memberikan ulasan lanjut.
Indonesia mempunyai rizab nikel terbesar di dunia dan merupakan pengeksport terbesar arang batu termal serta minyak sawit di dunia.
Rancangan untuk menubuhkan Indonesia Commodity Exchange (Icomex) dibuat sedang sektor komoditi berdepan beberapa cabaran, termasuk kejatuhan mendadak harga nikel, yang merosot daripada purata AS$21,474 (S$27,360.41) bagi setiap tan metrik pada 2023 kepada AS$15,349 (S$19,556.44) pada 2025.
Kemerosotan itu mendorong pemerintah mengurangkan sasaran pengeluaran bijih nikel daripada 379 juta tan pada 2025 kepada sekitar 250 juta tan tahun ini, dengan harapan langkah tersebut dapat mewujudkan kekurangan bekalan sementara untuk mendorong kenaikan harga.
Sasaran baharu yang diumumkan pada Januari itu menyebabkan harga melonjak dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua tahun, iaitu AS$19,350 (S$24,654.18) bagi setiap tan metrik pada April. Harga sejak itu kembali reda kepada sekitar AS$17,000 (S$21,660.00) bagi setiap tan metrik pada Ogos.
Rancangan menubuhkan bursa tersebut juga dibuat sedang Jakarta berusaha membanteras amalan perdagangan yang menyalahi undang-undang dan menurutnya menjejas hasil negara – khususnya "transfer pricing", iaitu apabila sesebuah syarikat menjual barangan pada harga terlalu rendah kepada syarikat sekutunya di luar negara untuk mengelakkan cukai dan yuran kastam yang lebih tinggi, serta "under-invoicing", apabila sesebuah syarikat mengisytiharkan nilai barangan dan urus niaga lebih rendah daripada nilai sebenar bagi tujuan pengelakan cukai.
Encik Prabowo sudah melancarkan beberapa dasar untuk menangani amalan tersebut, termasuk rancangan pada Mei untuk memusatkan eksport menerusi sebuah syarikat tunggal, Danantara Sumberdaya Indonesia, di bawah dana kekayaan negara Danantara.
Rancangan tersebut mencetuskan kebimbangan dalam pasaran komoditi, sekali gus memaksa Jakarta menjelaskan bahawa eksport komoditi akan dipantau dan bukannya dikawal oleh Danantara.
Inisiatif terbaharu Encik Prabowo ialah bursa komoditi tersebut.
"Harga yang terbentuk di bursa tersebut akan menjadi rujukan bagi banyak institusi seperti pejabat kastam dan pejabat cukai," kata ahli ekonomi dari Universitas Paramadina di Jakarta, Wijayanto Samirin.
Pakar seperti Encik Wijayanto memberitahu Mediacorp bahawa dengan memiliki bursanya sendiri, Indonesia dapat mencerminkan dengan lebih baik nilai strategik mineral dan komoditi yang dihasilkannya. Namun, pihak berkuasa perlu meyakinkan para pengeluar dan pedagang supaya beralih daripada bursa-bursa yang lebih mantap.
KEBIMBANGAN MENGENAI YURAN
Indonesia juga perlu meyakinkan para pengeluar komoditi tempatan bahawa mereka akan meraih manfaat dengan berdagang di bursa baharu tersebut.
Indonesia sudah mempunyai bursa bagi minyak sawit menerusi ICDX, "namun jumlah urus niaganya masih sangat kecil", kata Ketua Umum Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI), Eddy Martono, kepada Detik pada 19 Ogos.
Menurut laman ICDX, hanya sekitar 50 daripada kira-kira 2,000 syarikat minyak sawit Indonesia berdaftar untuk berdagang di bursa tersebut.
Sementara itu, portal berita Katadata melaporkan bahawa daripada eksport minyak sawit Indonesia bernilai 511 trilion rupiah (S$36.57 bilion) pada 2025, hanya 2.69 trilion rupiah (S$192.4 juta) diurusniagakan menerusi ICDX.
Encik Eddy berkata banyak syarikat minyak sawit keberatan untuk menggunakan bursa tersebut disebabkan oleh yuran keanggotaan, perdagangan dan penjelasan yang dikenakan bagi urus niaga di bursa berkenaan.
Sebaliknya, para pengeluar tidak perlu menanggung yuran tersebut dan malah boleh menerima bayaran pendahuluan sehingga 100 peratus apabila berurusan secara langsung dengan pembeli. Urus niaga langsung seperti itu sering menggunakan harga semerta di Bursa Malaysia Derivatives sebagai rujukan.
"Harga sebenarnya agak telus," kata Encik Eddy.
Menurut para penganalisis, Indonesia boleh cuba menangani sebahagian daripada kebimbangan tersebut dengan memastikan kos perdagangan di Icomex kekal rendah.
"Ini merupakan perkara besar bagi banyak pemain. Apa gunanya harga yang lebih baik, katakanlah bagi nikel, jika pelombong perlu menanggung kos tambahan?" kata Pengarah Eksekutif badan pemikir Center of Economic and Law Studies yang berpangkalan di Jakarta, Bhima Yudhistira.
Encik Prabowo sudah mengarahkan Otoritas Jasa Keuangan (OJK) supaya merangka peraturan bagi bursa tersebut dan memperkenalkannya pada 17 September.
Beliau juga menamakan Sarjito, mantan Deputi Komisioner Perlindungan Konsumen OJK, sebagai calon tunggal bagi jawatan Kepala Pengawas Perdagangan Komoditi di OJK. Encik Sarjito, yang hanya menggunakan satu nama, akan menggalas tanggungjawab untuk mengawas dan mengawal selia perdagangan di bursa baharu itu.
Dalam sesi "fit-and-proper" yang dijalankan komisi kewangan parlimen bagi jawatan tersebut pada 24 Ogos, Encik Sarjito berkata beliau komited untuk mewujudkan bursa yang "telus, adil dan teratur".
"Bursa itu tidak perlu menjadi besar pada hari pertama, tetapi ia perlu dipercayai sejak urus niaga pertamanya," kata beliau, seperti yang dilaporkan Reuters. Encik Sarjito berkata keutamaan pertama adalah memperincikan komoditi yang diwajibkan untuk didagangkan di bursa tersebut.
Beliau berkata perdagangan menerusi bursa itu akan diwajibkan, namun tidak menjelaskan sama ada ia akan merangkumi penjualan eksport atau pasaran domestik.
Namun, para penganalisis memberi amaran bahawa tindakan mewajibkan urus niaga komoditi untuk melalui bursa baharu tersebut boleh menimbulkan kerumitan bagi syarikat-syarikat yang sudah memeterai kontrak jangka panjang dengan pembeli di luar negara.
"Terdapat banyak risiko undang-undang kerana kontrak perlu dipinda disebabkan oleh keperluan untuk menggunakan bursa itu," kata Encik Bhima sambil menambah bahawa langkah tersebut berpotensi mendedahkan Indonesia kepada pertikaian dalam timbang tara antarabangsa.
Encik Eddy dari GAPKI juga bimbang pengeluar akan diwajibkan untuk menyertai bursa baharu tersebut.
"Jika terlalu banyak dasar menyebabkan harga kami tidak lagi berdaya saing, para pembeli boleh mencari alternatif lain," kata beliau, merujuk kepada minyak sayuran lain seperti minyak biji sesawi atau minyak bunga matahari.
Encik Tauhid dari INDEF berkata peraturan yang mengawal selia bursa baharu itu perlu mengelakkan daripada mengganggu kontrak sedia ada atau menimbulkan kerumitan undang-undang bagi para pembeli dan penjual.
Pemerintah juga perlu menjelaskan dengan terang bagaimana sistem baharu itu akan berfungsi bagi menangani kebimbangan dalam kalangan peserta pasaran, kata beliau sambil mempersoalkan sama ada tempoh untuk merangka peraturan dan melancarkan bursa itu "terlalu bercita-cita tinggi".
MULA SECARA KECIL-KECILAN?
Bursa baharu itu harus bermula secara kecil-kecilan dengan hanya memperdagangkan beberapa jenis komoditi, kata Encik Wijayanto dari Universitas Paramadina.
Menurutnya, bermula dengan sebilangan kecil komoditi akan membolehkan pengendali mengenal pasti masalah yang mungkin timbul dalam sistem perdagangan, penjelasan dan penyelesaian urus niaga. Ia juga memberi masa untuk menilai sama ada yuran urus niaga berdaya saing dan menentukan sama ada peraturannya menimbulkan kerumitan yang tidak dijangka bagi kontrak sedia ada.
"Ia perlu dilaksanakan secara bertahap-tahap. Ia perlu diuji terlebih dahulu," kata beliau.
Pendekatan secara bertahap-tahap bukanlah sesuatu yang luar biasa, menurut para pakar.
Sebagai contoh, Bursa Malaysia Derivatives bermula dengan hanya memperdagangkan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah apabila ditubuhkan pada 1980 dengan nama Kuala Lumpur Commodity Exchange.
Ia kemudian mula menawarkan kontrak niaga hadapan bagi produk minyak sawit lain seperti olein sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau serta minyak isirung sawit, selain komoditi lain seperti kacang soya, emas dan timah.
"Bursa yang berjaya perlu terus melabur dalam teknologi, memperkukuh sistem perdagangan dan penjelasan, memperkenalkan produk serta insentif baharu untuk menarik pelbagai jenis pelabur dan menyesuaikan peraturan mereka seiring dengan perkembangan pasaran," kata Encik Tauhid dari INDEF.
Bagi sesetengah bursa, mereka turut berdepan pelbagai cabaran dalam proses perkembangannya.
Sebagai contoh, bursa Malaysia perlu melalui beberapa penggabungan dan penstrukturan semula sebelum berkembang menjadi seperti yang ada sekarang.
Sementara itu, bursa-bursa di China perlu melalui program pembetulan ketat pemerintah serta usaha penyatuan yang bertujuan membendung spekulasi berlebihan dan ketidaktentuan pasaran pada tahun-tahun awal pembaharuan pasaran pada 1990-an.
Program tersebut menyaksikan jumlah bursa niaga hadapan berkurangan daripada sekitar 50 pada 1994 kepada hanya tiga – di Shanghai, Zhengzhou dan Dalian – menjelang 1998. Bursa-bursa yang kekal sejak itu berkembang menjadi pasaran komoditi utama, dengan sebahagian kontrak niaga hadapannya turut menarik penyertaan antarabangsa.
Menurut para penganalisis, Indonesia boleh mengambil iktibar daripada cabaran dan kejayaan bursa di negara lain, manakala Icomex boleh meraih manfaat besar jika ia berjaya.
"Dengan mempunyai bursa sendiri, kita akan mempunyai harga rujukan yang mencerminkan nilai mineral strategik yang dihasilkan di Indonesia," kata Encik Wijayanto dari Universitas Paramadina.
Bagi pengeluar tempatan, ia bermakna mereka akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai nilai komoditi mereka, sekali gus berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai lapisan pedagang dan orang tengah, kata beliau.
Namun, sistem yang sama boleh membawa kesan sebaliknya jika harga yang ditentukan Icomex dilihat lebih mencerminkan nilai yang dikehendaki pemerintah bagi sesuatu komoditi, dan bukannya nilai pasaran yang dianggap wajar oleh para pembeli antarabangsa.
"Ini sebaliknya boleh menimbulkan isu tadbir urus korporat dan mengganggu eksport," kata Encik Wijayanto sambil menambah bahawa bukan sahaja kredibiliti bursa berkenaan, malah pasaran komoditi Indonesia secara keseluruhannya juga boleh terjejas, sekali gus mendorong para pembeli untuk mendapatkan komoditi dari negara lain.
"Rancangan untuk menubuhkan bursa ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati dan dengan persiapan yang menyeluruh."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.