Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: 'Kejayaan diplomatik' konflik Thai-Kemboja hasil usaha PM Anwar, ASEAN dan tekanan Amerika?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: 'Kejayaan diplomatik' konflik Thai-Kemboja hasil usaha PM Anwar, ASEAN dan tekanan Amerika?

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet (kiri) dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai (kanan) bersama Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (tengah) selepas perjanjian gencatan senjata pada 28 Julai 2025. (Gambar: Mohd Rasfan melalui AP)

Diterbitkan : 29 Jul 2025 11:51PM Dikemas Kini : 29 Jul 2025 11:52PM
KUALA LUMPUR: Gabungan insentif rundingan perdagangan daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, serta penyediaan platform “penyelamat maruah” bagi Thailand dan Kemboja untuk mengadakan rundingan damai membantu mencapai gencatan senjata yang bermula tepat pada tengah malam Selasa (29 Jul), kata para penganalisis kepada Mediacorp.

Masih terlalu awal untuk menentukan sama ada gencatan senjata itu dapat bertahan.

Namun dengan Thailand menuduh Kemboja melancarkan serangan bersenjata pada pagi Selasa - yang dinafikan oleh Kemboja - kini wujud keperluan mendesak untuk menghantar pasukan pemantau, tambah para pakar.

Mereka juga berkata laporan mengenai pertempuran kecil beberapa jam selepas gencatan senjata berkuat kuasa tidak mengejutkan, dan perjanjian itu merupakan satu “kejayaan diplomatik” bagi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Encik Anwar.

Ketegangan di sempadan antara kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu memuncak pada Khamis lalu sehingga menjadi konflik berdarah yang mengorbankan sekurang-kurangnya 38 orang dan memaksa ratusan ribu penduduk dipindahkan di kedua-dua negara.

Pada Isnin (27 Jul), Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bersetuju untuk memeterai gencatan senjata tanpa syarat selepas mengadakan rundingan di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Encik Anwar, yang juga Pengerusi ASEAN tahun ini.

PERANAN AMERIKA DAN CHINA

Mesyuarat khas itu dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat dengan “penyertaan aktif” China, menurut kenyataan media bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu.

Komander wilayah dari kedua-dua pihak juga dijadualkan bertemu pada pagi Selasa, dan ini mungkin disusuli dengan mesyuarat yang diketuai oleh pengerusi ASEAN itu, menurut kenyataan tersebut.

Jurucakap tentera Thailand berkata pada Selasa (28 Jul) bahawa Tentera Wilayah 1 (Trat dan Chanthaburi) sudah bertemu dengan pihak Kemboja.

Tentera Wilayah 2, yang meliputi wilayah Isaan termasuk empat wilayah yang terjejas oleh pertempuran itu, sedang menetapkan tarikh untuk pertemuan dengan pihak Kemboja.

Situasi di sempadan tenang pada Selasa, dengan Encik Phumtham berkata “tiada peningkatan ketegangan.”

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, turut menyatakan lebih awal bahawa “tiada pertempuran bersenjata berlaku di mana-mana kawasan”.

APA MAKNA GENCATAN SENJATA BAGI ASEAN DAN PM ANWAR?

Beberapa penganalisis menyifatkan perjanjian gencatan senjata ini sebagai “kejayaan diplomatik yang jarang berlaku” bagi ASEAN.

Ia mengukuhkan lagi kepentingan blok itu dalam menangani krisis serantau dalam kalangan anggotanya, kata Encik Jamil Ghani, calon PhD Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS).

“Di sebalik kritikan terhadap ASEAN dalam isu seperti Myanmar, gencatan senjata Kemboja-Thailand membuktikan bahawa blok ini masih mampu menghasilkan keputusan bermakna - apabila pengerusinya bertindak tegas,” kata Encik Jamil.

Encik Anwar bertindak pantas dan menunjukkan kemahiran diplomatiknya dalam merundingkan gencatan senjata, kata para penganalisis.

Beliau menawarkan lokasi berkecuali dan meletakkan rundingan di bawah naungan diplomatik ASEAN, memberikan kedua-dua pihak “ruang politik untuk meredakan ketegangan”, ujar Encik Jamil.

“Untuk menjaga maruah, Thailand mahupun Kemboja tidak akan bertindak untuk menghentikan konflik terlebih dahulu, maka Malaysia bertindak sebagai orang tengah.

"Malaysia memahami dilema kedua-dua negara, dan itu menjadi titik permulaan untuk menamatkan konflik,” kata Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan.

Walaupun ini merupakan satu “kejayaan” bagi Malaysia dan ASEAN, Encik Azmi serta pakar lain juga menekankan peranan Presiden Donald Trump dalam mendorong kedua-dua pihak ke arah perdamaian.

Kemboja dan Thailand kini berdepan tarif sebanyak 36 peratus ke atas barangan eksport ke Amerika, yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Ogos, kecuali jika rundingan dapat menurunkan kadar itu.

Pada Ahad (26 Jul), jurucakap Kementerian Luar China berkata Kemboja dan Thailand adalah anggota penting dalam ASEAN yang “bekerja keras” untuk mencapai gencatan senjata.

Encik Anwar sendiri menyifatkan perjanjian itu sebagai “bukti nyata kekuatan diplomatik ASEAN” dan berkata blok seramai 10 anggota itu “kekal bersatu dan berprinsip”.

Penyelarasan pelbagai faktor - termasuk tekanan daripada Amerika dan China - telah membawa kepada pengumuman gencatan senjata itu, kata mantan Duta Malaysia Ilango Karuppannan.

Bagi Encik Anwar, kejayaan ini bersifat simbolik dan strategik, yang dicapai hanya beberapa hari selepas ribuan rakyat Malaysia turun ke jalan raya untuk membantah kenaikan kos sara hidup dan rasa tidak puas hati terhadap kekurangan reformasi oleh Kerajaan MADANI - tunjuk perasaan besar-besaran yang pertama sejak beliau menyandang jawatan pada 2022.

“Dari sudut domestik, ia memberi pencapaian dasar luar yang berprofil tinggi semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN - yang boleh menguatkan kedudukan kerajaannya dan meningkatkan profil diplomatik Malaysia,” kata Encik Jamil.

Walaupun ia meningkatkan reputasinya di peringkat antarabangsa, “sama ada ia akan membantu situasi domestik, masih belum dapat dipastikan”, kata Encik Ilango.

PERLU PEMANTAUAN DI LAPANGAN

Namun demikian, dengan kemungkinan salah satu atau kedua-dua pihak melanggar gencatan senjata, para pakar berkata terdapat keperluan segera untuk menghantar pasukan pemantau dan pemerhati.

Adalah perkara biasa melihat sisa-sisa pertempuran kerana komander tentera mungkin belum menerima arahan sepenuhnya, kata Encik Ilango.

Walaupun terdapat perjanjian, salah satu pihak masih boleh melanggarnya, kata Encik Chong Ja Ian, penolong profesor sains politik di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Encik Chong berkata ASEAN secara teorinya boleh bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau menawarkan pasukan pengaman sendiri untuk memisahkan kedua-dua pihak.

Malaysia juga boleh cuba mengadakan rundingan lanjut antara Kemboja dan Thailand dengan harapan ia dapat membawa lebih kestabilan dalam hubungan dua hala, tambah beliau.

Kenyataan bersama selepas rundingan di Putrajaya menyatakan bahawa komunikasi langsung antara perdana menteri, menteri luar dan menteri pertahanan Kemboja dan Thailand akan disambung semula.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita