jelasBERITA: Isu kerugian FashionValet, sebab ia disiasat dan apa yang kita tahu setakat ini?
Wadah fesyen e-dagang dari Malaysia, FashionValet mendapat perhatian sejak kebelakangan ini menyusuli dakwaan salah urus dana oleh pengasas bersamanya, usahawan Vivy Yusof dan suaminya, Fadzarudin Shah Anuar yang menubuhkan syarikat itu pada 2010.
Di tengah-tengah siasatan pihak kuasa ke atas rekod kewangan syarikat itu, netizen juga melontarkan kritikan terhadap Cik Vivy berhubung penampilannya berbelanja serta gaya hidupnya yang mewah.
Kementerian Kewangan Malaysia dalam satu jawapan kepada parlimen pada 28 Oktober menyatakan bahawa dua syarikat berkaitan kerajaan - Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) - telah menjual pegangannya dalam FashionValet pada penghujung 2023 dengan harga RM3.1 juta (S$937,320).
Ia merupakan satu kerugian besar berbanding pelaburan gabungan sebanyak RM47 juta (S$14.2 juta) dalam syarikat itu pada 2018, sekali gus mencetuskan gesaan supaya siasatan dijalankan kerana ia membabitkan dana awam.
Pada Khamis (7 Nov), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menemui beberapa urus niaga mencurigakan melibatkan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan rakan kongsi pengasas FashionValet mulai 2018 hingga tahun lalu, walaupun ia tidak mendedahkan namanya.
"Kami melihat aliran sumber kewangan dan sebab ia masuk dan ke mana duit itu dibelanjakan untuk melihat jika terdapat elemen rasuah atau kesalahan lain melibatkan penipuan.
"Namun, kami percaya bahawa sesetengah pelaburan telah disalahgunakan, dan kami sedang mengenalpastinya," kata ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada media tempatan.
APA ITU FASHIONVALET?
FashionValet Sdn. Bhd. merupakan platform s-dagang fesyen yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia dan diasaskan pada 2010 oleh Vivy Yusof dan suaminya.
Sepanjang beberapa tahun, ia menjadi antara wadah e-dagang pertama di Malaysia dan pemain utama dalam sektor fesyen dan runcit negara itu, di mana ia menawarkan lebih 400 jenama dan 15,000 produk, menurut media tempatan.
Platform itu malah menggelar dirinya sebagai ruang pasaran bagi label fesyen tempatan untuk mendekati lebih ramai pelanggan.
Dengan aktiviti membeli-belah online semakin menjadi popular di Asia Tenggara, jenama itu meluaskan jangkauannya ke pasaran lain di rantau ini termasuk ke Singapura, Indonesia dan Brunei.
Semasa kemuncaknya, FashionValet mengendalikan lima kedai fizikal termasuk di pusat beli-belah mewah di Kuala Lumpur seperti Pavilion, Bangsar Village dan IOI City Mall.
Ia juga membuka cawangan di Orchard Road di Singapura yang sudah pun ditutup.
Pada 2022, di tengah-tengah persaingan yang meningkat dan cabaran perniagaan lain semasa pandemik COVID-19, Cik Vivy dan suaminya mengumumkan penutupan wadah e-dagang FashionValet untuk memberi tumpuan kepada dua jenamanya iaitu dUCK dan Lilit.
Menurut agensi berita tempatan Malay Mall, terdapat dakwaan bahawa FashionValet lebih mempromosikan dua jenamanya sendiri berbanding jenama-jenama lain yang menggunakan wadahnya untuk menjual produk mereka.
Ini walaupun syarikat itu memasarkan dirinya sebagai sebuah model perniagaan yang ingin menyokong usahawan tempatan.
APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI?
Menurut Malay Mail, kontroversi melibatkan FashionValet bermula pada September lalu menyusuli laporan oleh satu rencana teknologi yang menyatakan bahawa syarikat itu telah dijual oleh Khazanah dan PNB dalam satu jualan murah kepada syarikat pelaburan tempatan NXBT Partner.
Pada 2018, Khazanah melaburkan RM27 juta (S$8.1 juta) manakala PNB pula RM20 juta (S$6 juta) ke dalam FashionValet.
"Kerugian keseluruhan daripada penjualan saham FashionValet tidak begitu banyak apabila dibandingkan dengan keseluruhan hasil pendapatan Khazanah dan PNB bagi tahun berkaitan," kata kementerian kewangan dalam jawapan bertulis pada 28 Oktober.
Kementerian itu sebelum ini menyatakan pada September bahawa pelaburan itu selaras dengan mandat dana kekayaan negara pada ketika itu untuk mempromosikan usahawan teknologi tempatan dan membolehkan mereka mendapat pendedahan dalam sektor e-dagang yang berkembang.
Menyusuli reaksi awam berhubung kerugian itu, kedua-dua pengasas syarikat - Cik Vivy dan Encik Fadzarudin - memaklumkan akan melepaskan jawatan mereka pada 1 November lalu.
Pada 2 November, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan Malaysia mengarahkan Khazanah supaya menjalankan pemeriksaan audit menyusuli kerugian pelaburan yang dialami.
Encik Anwar yang juga adalah pengerusi Khazanah, berkata arahan itu selaras dengan mandat sebelum ini bagi Jabatan Audit Negara menyemak lebih 2,000 syarikat dikaitkan dengan kerajaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian mengesahkan pada hari yang sama menerusi kenyataan media bahawa siasatan masih dijalankan.
Pada 6 November, media tempatan melaporkan SPRM telah menyita 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan bernilai sekitar RM200,000 (S$60,626) dalam serbuan ke atas rumah pasangan itu di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Beberapa akaun bank peribadi dan milik syarikat bernilai sekitar RM1.1 juta (S$330,911) milik pasangan itu juga dibekukan, lapor Malay Mail.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.