Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Indonesia sambut Presiden baharu, apa yang boleh dijangkakan di bawah kepimpinan Prabowo

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Indonesia menyambut presiden baharu negara itu apabila mantan jeneral Prabowo Subianto mengangkat sumpah jawatan pada Ahad (20 Okt), menggantikan Encik Joko Widodo yang menyerahkan tampuk pemerintahan selepas sedekad berkuasa.

Majlis pelantikan Encik Prabowo sebagai Presiden dan gandingannya Encik Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden dijangka berlangsung selama kira-kira 90 minit.

Seluruh dunia akan memantau bagaimana Encik Prabowo, 73 tahun, akan mengemudi dasar ekonomi, pertahanan dan luar Indonesia, di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan sekarang.

Upacara angkat sumpah dijadual bermula pada 10.00 pagi waktu tempatan di kompleks parlimen di Jakarta Selatan, dipimpin Ketua Mahkamah Agung baharu yang dilantik, Encik Sunarto.

Encik Prabowo kemudian akan menyampaikan ucapan pertamanya sebagai presiden kepada anggota parlimen dan tetamu lain.

Pemimpin dunia serta orang kenamaan dijemput, kata Speaker Parlimen Ahmad Muzani.
"Hampir semua pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) akan hadir," kata Encik Muzani kepada wartawan pada Selasa (15 Okt), seperti dinukil laporan Tempo.
 
Mantan presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri dan Susilo Bambang Yudhoyono, serta mantan naib presiden juga dijadual hadir di upacara tersebut.

Dua calon presiden yang kalah pada pilihan raya presiden pada Februari, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, turut dijemput, tambah Encik Muzani.
Related article image
Presiden Jokowi (kiri) dan Prabowo Subianto di satu acara menyambut ulang tahun Tentera Indonesia pada 5 Okt 2022. (Gambar fail: Adek Berry/AFP)
Encik Jokowi juga akan hadir di mana beliau dan Encik Prabowo dijadualkan berjumpa lagi bagi acara penyerahan kuasa rasmi di istana presiden.

Di istana, Encik Prabowo dijangka mengumumkan Kabinetnya, yang menjadi perbualan dan perbahasan hangat di Indonesia sejak beberapa minggu lalu.

Encik Prabowo sudah mendapat sokongan 12 parti politik, dan sedang berusaha untuk bergabung dengan Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pimpinan Cik Megawati.

Gabungan tersebut membimbangkan penganalisis, kerana negara itu tidak akan mempunyai pembangkang dalam pemerintah buat kali pertama sejak kejatuhan Suharto pada 1998, iaitu presiden kedua Indonesia, yang memerintah negara itu secara kuku besi selama 30 tahun.
Pada usia 73 tahun, Encik Prabowo adalah Presiden Indonesia tertua, manakala Encik Gibran, 37 tahun, adalah naib presiden termuda negara itu.

Meskipun Encik Prabowo berjanji untuk meneruskan dasar pemerintah sebelumnya, penganalisis berkata beliau mungkin melaksanakan pendekatan berbeza dalam dasar ekonomi, pertahanan dan luar negaranyanya.

PERSEMBAHAN KENDERAAN, MUZIK - DAN KUDA?

Dari bangunan parlimen, Encik Prabowo dan Encik Gibran akan dipandu melalui jalan utama Jakarta menuju ke istana presiden.

Encik Hotman Paris, seorang peguam selebriti dan ahli pasukan undang-undang kempen Encik Prabowo, berkata minggu lalu bahawa beribu-ribu penyokong akan menyambut presiden kelapan negara itu di dua jalan terbesar di Jakarta iaitu Jalan Sudirman dan Jalan Thamrin.

Akhbar Kompas, yang memetik sumber tidak dinamakan, melaporkan bahawa penyokong Encik Prabowo sudah siap mengadakan "festival buat orang awam", dengan 10 pentas muzik disediakan di beberapa lokasi sepanjang dua jalan tersebut.

Butiran mengenai rancangan Encik Prabowo pada Ahad belum didedahkan. Namun, Kompas melaporkan bahawa pasangan Presiden dan Naib Presiden itu akan keluar daripada kenderaan dan bergaul dengan penyokong mereka. Jika laporan tersebut benar, ia sesuatu yang pernah dilakukan Encik Jokowi ketika beliau menyandang jawatan itu.
Related article image
(Gambar: Instagram/Yusril Ihza Mahendra via Kompas.com)
SIAPA YANG DISERTAKAN DALAM KABINET ENCIK PRABOWO

Encik Prabowo dijangka mengumumkan Kabinetnya pada Ahad petang.

Antara Isnin (14 Okt) dan Selasa, lebih 100 anggota politik dan teknokrat dijemput ke rumah Encik Prabowo bagi satu mesyuarat.

Ia termasuk menteri yang berkhidmat di bawah pentadbiran Encik Jokowi seperti Menteri Badan Usaha Milik Negara, Erick Thohir dan Dr Sri Mulyani Indrawati, yang mungkin menjadi Menteri Kewangan pertama untuk berkhidmat di bawah tiga presiden berbeza.
Media tempatan melaporkan bahawa mereka yang bakal dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dijemput ke villa Encik Prabowo di kawasan pergunungan luar Jakarta pada Rabu (16 Okt) dan Khamis. Secara keseluruhannya, 108 orang dijemput bagii sesi taklimat bersama Encik Prabowo.

Jika mereka dilantik menjadi anggota Kabinet, Encik Prabowo akan mempunyai jumlah menteri paling ramai dalam sejarah Indonesia.

Sebagai perbandingan, Encik Jokowi mempunyai 34 menteri, 17 naib menteri dan 11 pegawai peringkat menteri, manakala Encik Yudhoyono mempunyai 43 menteri, 17 naib menteri dan empat pegawai peringkat menteri.

Seperti uang sedia maklum, tidak seorang pun dari PDI-P atau Partai Nasional Demokrat (Nasdem) dijemput untuk menemui Encik Prabowo.

Ahli politik Nasdem Saan Mustopa berkata partnya ditawarkan jawatan, namun memerlukan lebih banyak masa untuk membincangkan perkara tersebut.

PDI-P adalah satu-satunya parti dalam parlimen yang tidak meluahkan niat untuk menyertai pentadbiran Encik Prabowo, meskipun salah seorang anggota kanannya, Cik Puan Maharani, berkata parti itu akan terus menyokong pentadbiran Encik Prabowo.
 
Related article image
(Gambar: MCI/Betty Chua)
PERANAN LEBIH BESAR DI PENTAS ANTARABANGSA?

Encik Prabowo berikrar untuk meneruskan legasi Encik Jokowi, termasuk usaha infrastruktur dan pemindahan ibu kota dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan Timur.

Namun, penganalisis memberitahu Mediacorp bahawa kemungkinan besar Encik Prabowo akan mengutamakan programnya sendiri dan janjinya ketika berkempen, seperti program makanan percuma bagi kanak-kanak sekolah serta ibu hamil.

Mantan general itu juga mungkin membuka peluang bagi tentera untuk memainkan peranan lebih besar di Indonesia.

Penganalisis menekankan fakta bahawa Encik Prabowo sudah memperuntukkan 165.2 trilion rupiah untuk kementerian pertahanan, yang terbesar berbanding kementerian yang lain.

Sebahagian rakyat Indonesia bimbang dengan rancangan memberi peranan lebih besar kepada pihak tentera yang dikaitkan dengan dakwaan penderaan oleh anggota tentera sebelumnya.

Penganalisis berkata Encik Prabowo mungkin akan menyemak semula undang-undang dan membenarkan anggota tentera memiliki perniagaan sendiri, yang menimbulkan kebimbangan konflik kepentingan dan kembalinya ke era Orde Baharu di bawah pemerintahan Encik Suharti, ketika tentera terlibat dalam pentadbiran pertahanan dan awam.

Encik Prabowo juga dijangka memainkan peranan lebih besar di peringkat antarabangsa termasuk mencari penyelesaian bagi konflik berterusan di Myanmar dan ketegangan di Laut China Selatan, serta pergeseran Amerika Syarikat-China di rantau ini.

Jika dibandingkan dengan Encik Jokowi, yang sering menghantar menteri luarnya Retno Marsudi ke sidang puncak dan forum antarabangsa, penganalisis berkata Encik Prabowo mungkin akan menghadiri lebih banyak acara dan melibatkan diri dengan pemimpin negara lain, yang membolehkan Indonesia meningkatkan kehadiran dan peranannya di arena antarabangsa.

Dalam tempoh enam bulan lalu, beliau sudah melawat kira-kira 20 negara dan menghadiri acara seperti Sukan Olimpik Paris. Pemerhati berkata, meskipun kebanyakan lawatan rasmi itu tertumpu kepada kerjasama pertahanan, terdapat lawatan yang tidak terkait dengan isu keselamatan Indonesia.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita